OTTAWA (Kanada): Menteri-Menteri Tenaga dari kumpulan 20 negara (G20) telah bersetuju tentang perlunya kestabilan harga minyak dan sebuah pasaran yang berfungsi dengan baik.
Mereka bagaimanapun tidak memperincikan bagaimana ini dapat dilakukan, kata Menteri Sumber Asli Kanada, Encik Seamus O' Regan.
Seruan G20 itu "adalah berkenaan mencari mekanisme untuk mencapai kestabilan harga," Encik O'Regan memberitahu wartawan menerusi sidang video sejurus selepas mesyuara berakhir.
Kesemua negara bersetuju ekonomi mereka memerlukan sebuah "pasaran yang berfungsi dengan baik dan harga minyak yang stabil" dan bersetuju untuk mengadakan satu kumpulan fokus bagi menyelaraskan respons G20 baginya melangkah ke depan.
"Kami belum berada di mana kami sepatutnya berada," ujarnya lagi sambil menambah, angka bagi membataskan pengeluaran minyak belum lagi dibincangkan.
Menteri Tenaga Russia, Encik Alexander Novak, menyatakan semalam bahawa beliau menjangkakan pengeluaran minyak akan dikurangkan oleh negara-negara di luar Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (Opec) dan kumpulan sekutu-sekutunya (Opec+) kepada lima juta tong sehari.
Encik Novak memberitahu saluran berita Russia, Rossiya-24, bahawa Kanada, yang bukan anggota Opec+, bersedia mengurangkan jumlah pengeluaran minyak kepada sekitar 1 juta tong sehari. Kanada merupakan negara pengeluar minyak ke-4 terbesar dunia, menghasilkan sekitar 4.9 juta tong bagi Februari lalu.
Perdana Menteri Kanada, Encik Justin Trudeau, berkata semalam, usaha untuk mengurangkan lebihan minyak harus dilakukan "secara bersama", tanpa menyatakan sama ada negaranya akan membataskan pengeluarannya.
"Kami akui ini merupakan cabaran dunia yang dihadapi banyak negara dan mengadakan pendekatan bersama adalah sangat penting," kata Encik Trudeau dalam satu sidang akhbar dalam usaha memantapkan harga minyak.
Pandemik koronavirus telah mengurangkan permintaan minyak sedang negara-negara menghentikan sebahagian besar ekonomi mereka, dan Opec kini telah membanjiri dunia dengan pengeluaran minyak sedang ia bertikai dengan Russia.
Negara-negara anggota G20 terdiri daripada Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Kesatuan Eropah, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Italy, Jepun, Mexico, Russia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Korea Selatan, Turkey, Britain, dan Amerika Syarikat. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg