Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Kutipan cukai turun 7.3% tahun kewangan lalu; $28.2 bilion geran diberi Iras

Sep 02, 2021 | 10:06 PM



PUNGUTAN cukai berkurangan sebanyak 7.3 peratus pada tahun kewangan lalu manakala geran sejumlah $28.2 bilion disampaikan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) bagi menyokong pekerjaan dan perniagaan sewaktu pandemik Covid-19.



Iras pada Khamis (2 September) berkata jumlah cukai yang dikumpulkan secara keseluruhan berjumlah $49.6 bilion, mewakili 73.6 peratus hasil kendalian pemerintah dan 10.6 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura.



Jumlah keseluruhan kutipan cukai jatuh kerana kegiatan perniagaan yang hambar dalam pandemik di Singapura ini, kata Iras.



Walaupun kesan Covid-19 terasa, tunggakan cukai kekal rendah pada 0.72 peratus. Tunggakan bagi cukai pendapatan, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan cukai hartanah merosot kepada $323.8 juta, daripada $357 juta pada tahun kewangan lalu.



Pihak berkuasa juga telah menyediakan rebat cukai korporat dan hartanah, lanjutan tempoh tamat mengisi borang cukai dan tundaan bayaran cukai pendapatan serta bayaran ansuran bagi meringankan alir tunai buat pembayar cukai yang terjejas oleh Covid-19.



Iras telah mengagihkan geran nasional kepada perusahaan menerusi Skim Kredit Pendapatan (WCS), Skim Bantuan Pekerjaan (JSS), geran tunai pemerintah dan Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI).



Pada tahun kewangan 2020, ia mengagihkan $25.7 bilion berupa bantuan JSS kepada lebih 150,000 majikan dan $134 juta dalam bentuk bayaran JGI kepada lebih 25,000 majikan.



Lagi $2.1 bilion berupa bayaran JSS dan $304 juta bayaran JGI disampaikan pada Jun.



Sekitar $1.4 bilion pula diagihkan dalam bentuk bantuan WCS kepada lebih 90,000 majikan mengikut kelayakan tambahan pendapatan dari 2017 hingga tahun lalu, sementara $969 juta dalam bentuk geran tunai pemerintah disampaikan kepada lebih 116,000 pemilik hartanah yang layak bagi memberikan bantuan sewa buat penyewa. 



Singapura telah menggunakan simpanannya bagi membiaya pelbagai pakej sokongan dalam tempoh pandemik ini.



Namun, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 29 Ogos lalu bahawa Republik ini harus menukar gear bagi memberi tumpuan semula pada masa depannya. 



Ia bukan lagi perihal mengeluarkan simpanan demi "memastikan diri kita bergantung pada sokongan hidup," kata PM Lee, tetapi ia melibatkan usaha menjana pertumbuhan baru, pekerjaan dan kemakmuran bagi masa depan negara ini.



Jumlah keseluruhan cukai pendapatan melibatkan cukai pendapatan korporat, cukai pendapatan individu dan cukai penangguhan yang membentuk 62 peratus pungutan Iras.



Cukai pendapatan yang dikumpulkan keseluruhannya  berjumlah $30.5 bilion, 0.9 peratus lebih rendah daripada $30.8 bilion yang dikumpulkan dalam tahun kewangan sebelum ini, jelas Iras.



Kutipan cukai pendapatan korporat adalah $16.1 bilion, 3.7 peratus lebih rendah daripada jumlah yang dikumpulkan pada tahun kewangan lalu, manakala cukai pendapatan individu pula bertambah sebanyak 3 peratus kepada $12.8 bilion.



Sementara itu, kutipan GST pula turun sebanyak 7.3 peratus kepada $10.3 bilion.



Kutipan cukai hartanah pula sebanyak $3.1 bilion, 34.3 peratus lebih rendah daripada tahun kewangan lalu manakala kutipan duti setem pula turun sebanyak 7.2 peratus kepada $3.9 bilion.



Cukai taruhan - terdiri daripada duti taruhan, cukai kasino dan duti loteri privet juga turun banyak sekitar 34.3 peratus kepada $1.7 bilion.



Iras menjelaskan kemerosotan kutipan bagi cukai pendapatan korporat dan hartanah kebanyakannya adalah kerana pelaksanaan langkah sokongan bagi perniagaan seperti rebat cukai.



Pungutan GST, duti setem dan cukai taruhan adalah lebih rendah melihat pada keadaan ekonomi yang lemah serta langkah pemutus rantaian jangkitan Covid-19 yang diperkenalkan pada tahun itu, tambahnya.



"Cukai yang dikumpulkan telah digunakan bagi menyokong program ekonomi dan sosial Singapura bagi mencapai pertumbuhan bermutu dan masyarakat inklusif," kata Iras.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >