Topic followed successfully
Go to BHkuLaba bersih Second Chance junam 23.1%, prospek lemah akibat penularan Covid-19
Laba bersih Second Chance junam 23.1%, prospek lemah akibat penularan Covid-19
Laba bersih Second Chance junam 23.1%, prospek lemah akibat penularan Covid-19
KEUNTUNGAN bersih Kumpulan Second Chance Properties Ltd (SCP) menjunam 23.1 peratus kepada $1.4 juta bagi suku kedua berakhir 29 Februari lalu meskipun pendapatannya meningkat sedikit.
Namun, kumpulan diasaskan pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Salleh Marican itu membayangkan prospek lemah akibat penularan Covid-19 yang akan menjejas perniagaan itu.
Penjualan Hari Raya akan terjejas dan ia juga tidak mendapat pendapatan sewa daripada penyewa akibat langkah perintah berkurung di Malaysia, menurut kenyataan syarikat kepada Bursa Singapura (SGX) kelmarin.
"Pandemik Covid-19 telah menyebabkan ketidaktentuan ekonomi di dunia. Ini beserta pertumbuhan ekonomi sejagat yang lemah menjadi satu cabaran bagi operasi kumpulan pada masa hadapan,'' kata Encik Salleh.
Perniagaan pakaian First Lady amat mencabar di Singapura dan Malaysia.
"Malaysia berada dalam perintah berkurung dari 18 Mac hingga 14 April dan tidak ada ketentuan apakah akan berlaku selepas itu. Perintah berkurung di Malaysia dan langkah pencegahan dilaksanakan pemerintah Singapura disebabkan Covid-19 akan menjejas penjualan musim Hari Raya,'' tambahnya.
Pendapatan SCP secara keseluruhan meningkat 2.3 peratus dengan mencapai $7.2 juta.
Namun, pendapatan perniagaan First Lady susut $0.23 juta kepada $1.16 juta. Daripada $1.16 juta, operasi Malaysia menyumbangkan $0.74 juta berbanding $0.84 juta tahun lalu.
"Penutupan butik terbesar kami di Tanjong Katong Complex, pengurangan harga penjualan pakaian, perubahan pilihan pelanggan dan trend pembelian dalam talian menyumbang kepada kemerosotan pendapatan segmen itu,'' ujar kenyataan itu.
Namun, pendapatan perniagaan emas, Golden Chance, meningkat $0.48 juta kepada $7.26 juta disebabkan harga emas yang meningkat.
Pendapatan sewa kumpulan juga susut $0.19 juta kepada $3.09 juta disebabkan sewa lebih rendah dan penjualan sebuah hartanah pelaburan.
"Disebabkan wabak Covid-19, kami memberikan rebat sewa kepada penyewa kami di Singapura dan menjangkakan beberapa penyewa tidak akan memperbaru sewa mereka. Di Malaysia, kami tidak dapat pendapatan sewa disebabkan perintah berkurung. Jika ia juga berlaku di Singapura, kami juga tidak akan dapat pendapatan sewa di Singapura,'' ujar Encik Salleh, sambil menyatakan ia akan menjejas pendapatan sewa mereka.
Sementara itu, SCP menyatakan hartanah pelaburannya bernilai $159.55 juta. Sehingga 29 Februari lalu, modal kerjanya positif mencecah $28.47 juta.

