Topik diikuti
Pergi ke BHkuLadang telur keempat timbang semula rancangan niaga di S’pura
Ladang telur keempat timbang semula rancangan niaga di S’pura
Ladang telur keempat Singapura sedang menimbangkan semula rancangan untuk membuka perniagaan di sini.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa ladang milik syarikat tempatan ISE Foods Holdings (IFH) itu yang dijadual beroperasi menjelang 2024, mengalami kerja pembinaan yang tertangguh disebabkan kos meningkat, selain cabaran yang dikaitkan dengan langkah biokeselamatan syarikat itu.
Ladang menelan belanja $100 juta itu direka untuk mempunyai kapasiti menghasilkan 360 juta telur setahun.
Bersama tiga lagi ladang telur sedia ada, kesemua empat ladang itu dijangka dapat memenuhi sehingga 50 peratus keperluan pengambilan telur di Singapura.
Pada 2023, ketiga-tiga ladang itu memenuhi 31.9 peratus keperluan pengambilan telur di sini, lapor The Straits Times (ST).
Dalam kenyataan terkini kepada Bursa Singapura pada 29 Julai, syarikat Ellipsiz, yang memiliki ladang telur keempat itu melalui pegangan 80 peratus dalam ISE Capital Management, penyokong utama IFH, menyatakan bahawa garis masa bagi pembangunan ladang telur itu perlu diubahsuai.
Menurut Ellipsiz, kos pembangunan ladang telur itu telah “meningkat dengan ketara” daripada anggaran awal.
Ini disebabkan kesan pandemik Covid-19, gangguan rantaian bekalan dan tekanan inflasi akibat ketegangan geopolitik, serta keperluan meningkatkan langkah biokeselamatan ladang disebabkan insiden penyakit yang meningkat di rantau ini, jelasnya.
Ini menimbulkan pelbagai cabaran dalam melaksanakan projek tersebut, menangguhkan lagi pembangunan ladang telur itu.
IFH sedang berbincang dengan Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk mendapatkan lebih banyak sokongan pembiayaan dan peruntukan tanah lebih besar bagi menampung langkah biokeselamatan tambahan itu.
IFH juga sedang berbincang dengan SFA mengenai garis masa pembangunan ladang itu dan lanjutan pajakan.
“Masa agak panjang dan usaha besar diperlukan untuk menangani pelbagai isu ini.
“Dengan latar belakang ini, syarikat ini mungkin perlu menimbangkan semula rancangan membuka ladang telur ini, dengan konsultasi bersama pihak berkuasa berkaitan,” kata Ellipsiz dalam satu kenyataan terkini.
Perkembangan tersebut berlaku sedang pengeluaran makanan secara keseluruhan turun pada 2023, disebabkan tekanan inflasi, selain harga tenaga dan kos tenaga pekerja yang terus meningkat.
Namun, pengeluaran telur meningkat daripada 28.9 peratus jumlah pengambilan telur pada 2022, kepada 31.9 peratus.
Singapura kini mempunyai tiga lagi ladang telur iaitu Chew’s Agriculture, Seng Choon Farm dan N&N Agriculture – yang mengimport anak ayam berumur sehari untuk diternak bagi tujuan bertelur.
Ladang IFH akan menjadi ladang pertama yang menyediakan keseluruhan ekosistem pengeluaran telur di sini.
Antara lain, ia dijangka menempatkan kemudahan untuk ayam bertelur di Lim Chu Kang dan tempat penetasan ayam berumur sehari di tapak sama, serta kawasan ladang menternak ayam yang akan membesar untuk bertelur di Tuas dan Sungei Tengah.