Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laluan kemahiran baru dalam bidang keselamatan siber dilancar untuk peserta baru, pertengahan kerjaya

Jul 9, 2024 | 7:48 PM
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, mengumumkan Laluan Kemahiran baru untuk Keselamatan Siber, di Forum SkillsFuture 2024, pada 9 Julai.
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, mengumumkan Laluan Kemahiran baru untuk Keselamatan Siber, di Forum SkillsFuture 2024, pada 9 Julai. - Foto ST

Peserta baru dan pertengahan kerjaya yang bercita-cita menyertai bidang keselamatan siber kini akan mempunyai panduan jelas tentang latihan berkaitan industri yang perlu mereka jalani, dan jenis pensijilan yang perlu mereka perolehi.

Laluan kerjaya berstruktur untuk sektor itu, dilancarkan oleh Persatuan Komputer Singapura (SCS) – sebuah komuniti infokom dan media digital untuk karyawan industri, pemimpin, pelajar dan peminat teknologi – dalam peranannya sebagai rakan kongsi pembangunan kemahiran yang dilantik oleh SkillsFuture Singapura (SSG).

Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, mengumumkan Laluan Kemahiran Baru untuk Keselamatan Siber, di Forum SkillsFuture 2024 pada 9 Julai.

Beliau berkata dengan laluan keselamatan siber baru itu, 13 majikan termasuk ST Engineering dan Temasek, akan menawarkan peluang latihan dan temu duga pekerjaan kepada individu yang telah memperoleh pensijilan industri terpilih.

Encik Chan berkata: “Ini akan memberi individu yang ingin beralih ke sektor keselamatan siber isyarat jelas tentang kemahiran dan pensijilan yang perlu mereka peroleh, dan peluang untuk menunjukkan keupayaan mereka kepada syarikat melalui latihan dan temu duga.”

Beliau menambah, majikan yang mengambil bahagian juga mendapat manfaat dengan mempunyai akses kepada kumpulan bakat yang lebih luas untuk memenuhi keperluan perniagaan.

Beliau berkata demikian pada Forum SkillsFuture yang diadakan di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat di Paya Lebar.

Forum sehari itu, yang memberi tumpuan kepada pengiktirafan kemahiran dan membina kerjaya, dianjurkan oleh SSG dan disokong oleh The Business Times dan SPH Media.

Sebuah jawatankuasa penasihat yang terdiri daripada Agensi Keselamatan Siber Singapura, SSG, Persatuan Profesional Keselamatan Maklumat dan 13 majikan pengasas termasuk Synapxe dan Singapore Airlines, akan mengenal pasti set kemahiran penting untuk sektor keselamatan siber dan memastikan perkaitan pensijilan yang diberikan.

Encik Alan Goh, penolong ketua eksekutif Synapxe, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa sebagai agensi teknologi kesihatan nasional, keselamatan siber adalah amat penting.

Sebagai satu daripada 13 majikan yang mengambil bahagian dalam laluan kemahiran keselamatan siber baru, beliau berkata bahawa matlamat menyertai program pensijilan dan latihan adalah untuk memadankan peserta yang memasuki bidang keselamatan siber dengan lebih baik.

“Terdapat jurang yang agak luas perbezaan dari segi tahap kelayakan seseorang. Begitu ramai orang juga telah menyeberang ke industri ini dari bidang lain,” kata Encik Goh.

Tambahnya, terdapat keperluan untuk menyeragamkan beberapa set kemahiran ini supaya lebih sepadan dengan apa yang dicari oleh majikan, tanpa perlu melalui banyak calon untuk mencari yang sesuai.

Inisiatif baru itu akan menyediakan individu untuk empat peranan pekerjaan peringkat permulaan dalam keselamatan siber – penganalisis pusat operasi keselamatan siber; tindak balas insiden siber dan penganalisis forensik; penganalisis risikan ancaman siber; dan penguji penembusan siber.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg