Selepas tiga setengah tahun menjalani kerja-kerja kejuruteraan dan pembesaran, Lapangan Terbang Changi akan mula beroperasi di sayap utara Terminal 2 (T2) pada Khamis.
Terminal yang diperbaharui itu yang mempunyai ruang tambahan 15,500 meter persegi, dijangka dibuka sepenuhnya pada hujung Oktober, dengan kedai dan restoran dibuka secara berperingkat dalam beberapa minggu ini. Kemudahan di sayap utara Terminal 2 kini tersedia untuk kegunaan penumpang.
Dalam satu kenyataan, pengendali lapangan terbang, Changi Airport Group (CAG) berkata penerbangan Singapore Airlines (SIA) ke Asia Tenggara, Bangladesh dan Sri Lanka, dan syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa, serta Swiss International Air Lines akan mula beroperasi dari sayap utara Terminal 2 pada Khamis.
Penerbangan Air Japan, All Nippon Airways, Etihad Airways, IndiGo dan SIA ke Maldives dan Nepal bakal menyusul pada Oktober, dengan bilangan syarikat penerbangan yang beroperasi di Terminal 2 meningkat daripada 12 kepada 16 syarikat.
Selain itu, khidmat penerimaan daftar masuk kelas pertama SIA dan bilik istirahat daftar masuk premier Sats telah dibuka di terminal itu, menurut CAG.
Kapasiti keseluruhan Lapangan Terbang Changi akan meningkat kepada 90 juta penumpang setahun, dengan pembukaan semula sayap utara Terminal 2. Kapasiti pengendalian Terminal 2 akan naik daripada 23 juta kepada 28 juta penumpang setahun.
Sehingga Ogos, trafik penumpang Lapangan Terbang Changi berada pada 87 peratus daripada tahap sebelum Covid-19, menurut CAG.
Terminal 2 ditutup untuk kerja peningkatan pada Mei 2020, ketika bilangan penumpang merosot semasa pandemik.
Sayap selatan terminal itu telah dibuka semula secara berperingkat pada 2022, bermula dengan kawasan utama seperti imigresen ketibaan dan kawasan tuntutan bagasi pada Mei, dan dewan pelepasan pada Oktober. Ini bagi meningkatkan kapasiti Lapangan Terbang Changi untuk berkhidmat kepada lebih ramai penumpang, dengan kelonggaran sekatan sempadan antarabangsa apabila pandemik semakin surut.
Dewan pelepasan Terminal 2 yang diubah suai kini merangkumi zon Cepat (Perjalanan Cepat dan Lancar) dengan lebih banyak kios daftar masuk automatik dan mesin masuk beg. Dewan imigresennya juga telah diperluaskan untuk menampung lebih banyak laluan imgresen automatik.
Dengan peningkatan ini, Terminal 2 telah menjadi terminal Changi pertama yang mempunyai lorong bantuan khas automatik, yang membenarkan pelepasan imigresen automatik bagi pengguna berkerusi roda dan keluarga yang mempunyai kanak-kanak di dewan imigresen ketibaan dan pelepasan.
Sistem dan peralatan lama terminal itu juga dinaik taraf kepada model lebih cekap, seperti loji pendingin baru yang mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 30 peratus.
Dua kawasan tuntutan bagasi terminal 2 juga telah dipanjangkan untuk mengendali jumlah bagasi lebih tinggi bagi pesawat lebih besar.
Sistem pengendalian bagasi yang diperbaharui itu dilengkapi ciri keselamatan lebih baik dan sistem simpanan bagasi awal automatik sepenuhnya. Ini membolehkan 2,400 beg disimpan pada satu-satu masa. Ciri-ciri ini akan meningkatkan produktiviti dengan ketara, kata CAG.
Beberapa ciri lain termasuk kawasan permainan baru bertemakan beruang untuk kanak-kanak kecil dan ruang istirahat televisyen dengan LED besar; pilihan makanan dan minuman baru diperkenalkan di kawasan awam T2.
Buat masa ini, 80 peratus daripada kedai dibuka di T2, kata CAG. Pembukaan semula T2 sepenuhnya dijangka pada awal November dengan semua kedai dan pilihan tempat makan dibuka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg