Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 11,000 pelanggan DBS, Bank of China terjejas selepas serangan data

Maklumat pelanggan yang terdedah termasuk nama, alamat rumah serta butiran berkaitan saham atau nombor akaun pinjaman
Apr 8, 2025 | 2:01 PM
Kedua-dua bank telah meletakkan akaun yang terjejas di bawah pemantauan lebih ketat dan sedang menghubungi pelanggan yang terjejas, kata Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Kedua-dua bank telah meletakkan akaun yang terjejas di bawah pemantauan lebih ketat dan sedang menghubungi pelanggan yang terjejas, kata Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS). - Foto ST

Maklumat pelanggan di dua bank Singapura telah dicuri dalam satu serangan perisian tebusan, atau ransomware, yang menyasarkan vendor percetakan, mujur tiada maklumat log masuk pelanggan terjejas.

Dalam kenyataan bersama lewat 7 April, Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berkata dua bank yang terjejas itu ialah DBS Bank dan Bank of China Singapura (BOC).

DBS memaklumkan bahawa penyata bank bagi kira-kira 8,200 pelanggan mungkin terjejas, manakala BOC pula berkata kira-kira 3,000 pelanggan yang surat mereka dicetak dan diedarkan oleh Toppan Next Tech terjejas akibat serangan itu.

Sistem kededua bank tidak terjejas, dan wang pelanggan kekal selamat, lapor The Straits Times (ST).

DBS juga berkata setakat ini, tiada bukti urus niaga tanpa kebenaran telah berlaku akibat insiden tersebut.

Menurut DBS, sebilangan besar pelanggan yang terjejas adalah pengguna khidmat broker DBS Vickers dan khidmat pinjaman jangka pendek Cashline, dengan maklumat daripada penyata atau surat yang dihantar kepada pelanggan antara Disember 2024 dan Februari 2025 mungkin terjejas.

Maklumat pelanggan yang terdedah dalam penyata bank ini termasuk nama, alamat rumah, serta butiran berkaitan saham yang dipegang di bawah DBS Vickers dan pinjaman Cashline, jelas DBS.

Bank itu menambah bahawa dokumen yang terjejas tidak mengandungi maklumat log masuk, kata laluan, butiran Kad Pengenalan (NRIC), jumlah baki simpanan, atau aset keseluruhan pelanggan.

DBS berkata ia menghantar penyata bank sebegini kepada Toppan dalam bentuk fail sulit. 

Bank itu juga berkata ia telah menghentikan semua kerja percetakan dengan Toppan dan meningkatkan pengawasan untuk memantau aktiviti luar biasa pada akaun yang mungkin terjejas dek serangan tersebut.

BOC berkata maklumat pelanggan yang terjejas termasuk nama, alamat, dan dalam beberapa kes, nombor akaun pinjaman pelanggan.

CSA sedang membantu Toppan dengan siasatan, sambil memberi panduan kepada syarikat itu berkenaan langkah-langkah pembendungan. 

MAS juga sedang berhubung dengan bank terjejas mengenai langkah-langkah mengurangkan risiko.

Kedua-dua bank telah meletakkan akaun yang terjejas di bawah pemantauan lebih ketat dan sedang menghubungi pelanggan yang terjejas, kata CSA dan MAS.

Toppan melaporkan serangan itu kepada Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) pada petang 6 April, menurut kenyataan bersama.

Dalam kenyataan berasingan pada 7 April, Toppan berkata laman Joo Koon Circle mereka “adalah mangsa serangan tebusan rawak terhadap operasi perniagaan mereka”.

Toppan menambah, ia “segera memutuskan titik masuk dari mana penggodam memasuki rangkaian (mereka)“ dan sedang memantau situasi itu dengan teliti.

Toppan telah melantik sebuah syarikat pakar penyiasat forensik untuk membantu menyelidik punca insiden.

Pengarah Urusan Toppan, Encik Chia Yan Heng, berkata: “Kami amat kesal dengan kejadian ini dan memohon maaf dengan sepenuh hati kepada pelanggan kami atas sebarang gangguan atau kebimbangan yang timbul.

“Kami kini sedang menjalankan audit keselamatan ke atas semua sistem bagi memastikan kami terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg