Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

SENI BANGKIT SEMULA

Lebih banyak acara, lebih ramai penonton...

Ada rancang acara hibrid - gabungkan persembahan secara langsung dan penstriman dalam talian
Dec 19, 2020 | 05:30 AM



Rasa teruja timbul di hati anak seni dan penggerak acara hiburan dengan pengumuman Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, mengenai Fasa 3 pembukaan semula ekonomi Singapura bermula 28 Disember ini. Apakah harapan mereka bagi bisnes seni kembali seperti tempoh pra-Covid-19? Bagaimana persiapannya? Apakah rancangan hiburan dalam talian masih kekal dimanfaatkan meskipun acara awam di lokasi fizikal kembali bersemarak? BERITA HARIAN melaporkan.




RASA rindu menganjurkan acara yang dapat menarik ramai penonton berhimpun dan berhibur di samping mengetengahkan kemahiran seni bakat tempatan yang mencari ruang mendedahkan kebolehan mereka mengisi ruang hati Encik Olly Ismail.



Sebagai penganjur acara dan pengurus bakat daripada Voz Management, Encik Olly, 46 tahun, masih ingat betapa bersemangatnya beliau dan rakan-rakannya 'jamming' termasuk pada malam Raya ketika peraduan lagu Lebaran, Viral Voice Raya, diadakan di pusat beli-belah Kinex, Tanjong Katong Road.



Wabak Covid-19 mengubah segalanya dengan Encik Olly dan rakan seperjuangannya daripada CMX International, Encik Sham Wahab, beralih ke wadah digital bagi mengendalikan rancangan hiburan dan gaya hidup mingguan, Dasyat Giler.



Program itu kemudian dikembangkan pada rancangan carta lagu tempatan, Carta Dasyat Giler, yang menyatukan anak seni Singapura di samping membakar semangat mereka agar terus berkarya dalam kesulitan pandemik ini.



Justeru, Encik Olly adalah antara ramai penganjur acara dan penggiat seni yang teruja apabila Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, mengumumkan Fasa 3 pembukaan semula ekonomi Singapura pada Isnin lalu.



Dengan pengumuman yang menetapkan 28 Disember sebagai tarikh permulaan Fasa 3, sekatan bagi persembahan awam adalah antara yang dilonggarkan dengan membolehkan sehingga 250 orang menghadiri sesuatu acara hiburan yang diadakan.



Ketika dihubungi, Encik Olly, yang sedang merancang acara Anugerah Dasyat Giler pada Mac depan bagi meraikan artis-artis yang lagunya memasuki carta, berkata:



"Saya dan rakan-rakan amat mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri tentang Fasa Ketiga yang membolehkan konsert atau 'gig' ditambah penontonnya sehingga 250 orang.



"Sebelum ini, kami masih memikirkan untuk mengadakan Anugerah Dasyat Giler hanya di wadah dalam talian kerana belum mendapat kata putus bilangan penonton yang boleh ditampung dalam sesebuah dewan.



"Justeru, kemungkinan besar kami akan adakan acara hibrid dengan menyatukan persembahan secara langsung dan juga penstriman dalam talian bagi Anugerah Dasyat Giler.



"Seronok kalau dapat libatkan peminat yang ingin menyokong artis kesayangan mereka daripada setakat menonton di telefon bimbit dari jauh.



"Kami masih berbincang dan menanti pengumuman lanjut mengenai ketetapan yang diperlukan dalam menganjurkan konsert di luar serta langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil," katanya.



Beliau juga tidak fikir wadah digital yang banyak membantu dan dijadikan penyelamat bagi anak seni terus berkarya ketika Covid-19 akan lenyap begitu sahaja selepas Fasa Ketiga.



"Penstriman dalam talian kekal relevan malah membuka peluang baru buat anak seni meneroka bermacam idea kreatif.



"Lagi pun, saya fikir masih ada golongan masyarakat yang was-was ingin ke acara awam dengan lautan penonton meskipun hanya ratusan sahaja dibenarkan.



"Dari segi kos, memang wadah dalam talian menjimatkan. Namun, sejujurnya, penganjur acara banyak kehilangan pendapatan kerana penjualan tiket acara dalam talian memang payah nak dapat sambutan. Ramai yang mahukannya percuma.



"Duit sendiri yang banyak digunakan pengendali rancangan dalam talian jika geran digital tidak diperolehi," tambah Encik Olly lagi.



PUSAT SENI SUDAH BERSIAP SIAGA



Pusat seni Esplanade telah pun membentangkan sajian hiburan yang boleh dinikmati awam sepanjang Januari hingga Mac yang menjelang.



Salah satu acara yang menarik perhatian ramai adalah konsert Tahun Baru, Rock 21, di Dewan Konsert Esplanade, yang menggabungkan dua legenda rok, Yazid Lovehunters dan Hanafie Warren, serta pelapis muzik rok, Eiss (Iskandar Ismail).



Baru sehari tiket dijual di laman Sistic kelmarin, banyak yang telah laris dan hanya tinggal tiket individu sahaja.



Beberapa acara lain yang berbayar dalam siri Mosaic Music, Coffee Morning & Afternoon Tea, The Studios, konsert waktu makan tengah hari Munch! dan program interaktif kanak-kanak PLAYtime! sudah siap untuk disajikan.



Begitu juga dengan siri persembahan percuma yang diadakan secara harian di ruang legar Esplanade.



Dalam jawapan e-melnya, Pengarah Lokasi Persembahan dan Perancangan, The Esplanade, Cik Rachelle Tan, berkata sejak bulan lalu, pihaknya telah menjalankan persembahan percubaan perintis untuk sehingga 250 penonton di Dewan Konsert dan Teater Esplanade, sejajar dengan ketetapan Majlis Seni Kebangsaan (NAC).



"Garis panduan persembahan seni pada Fasa 3 yang menetapkan sehingga 250 penonton (dibahagi dalam lima zon sehingga 50 orang setiap satu) adalah sesuatu yang telah kami rancang dan sudah sedia melakukannya.



"Kami sudah kembalikan persembahan langsung dengan langkah pengurusan selamat serta menanti masa membawa lebih banyak acara seni secara langsung buat penonton kami tahun depan," jelasnya.



Beliau menambah sejak 1 November lalu, Esplanade adalah antara lokasi yang dikenal pasti NAC sebagai ruang seni yang membolehkan kehadiran sehingga 100 penonton bagi sesebuah acara. Mereka terbahagi kepada dua zon dengan 50 penonton setiap zon.



Persembahan percubaan di Teater Luar buat sehingga 100 penonton juga diadakan hasil kerjasama dengan NAC dan Kementerian Kesihatan (MOH).



UJIAN DIKENDALIKAN DEMI KESELAMATAN



Ujian pantas antigen (ART) sebagai salah satu langkah pengurusan selamat sebelum acara dimulakan turut dikendalikan bagi persembahan melibatkan lebih ramai penonton.



Penonton bagi acara percuma ini perlu mengunjungi kemudahan ujian berasingan yang dibuka 24 jam dan mendapatkan pengesahan mereka tidak dijangkiti koronavirus sebelum dibenarkan masuk.



Cik Tan menambah pihaknya bekerjasama dengan agensi penjualan tiket Sistic bagi memastikan tempat duduk penonton dikelompokkan agar jarak selamat dapat diamalkan.



"Ini bermakna tampungan bagi setiap acara berkurangan disebabkan keperluan mempakej penjualan tiket secara berpasangan atau berkelompok agar ia berbaloi buat kami dan juga penonton."



"Sebagai contoh, kami perlu menjual lebih banyak tiket berpasangan bagi ruang seni lebih kecil dan bagi sesetengah persembahan," katanya.



Ujian praacara juga menimbulkan satu lagi cabaran sebagaimana yang dilakukan bagi acara Voices - A Festival of Song.



"Daripada satu tinjauan penonton yang kami kendalikan, sesetengah daripada mereka menyatakan agak payah mendapatkan slot bagi ART di kemudahan ujian luar kerana kebanyakan klinik tutup pada hujung minggu.



"Mereka juga kata, agak leceh untuk menjalani ujian hanya untuk menghadiri sesebuah persembahan. Namun, sebagai pusat seni pementasan nasional, keselamatan dan kesihatan penonton kekal sebagai keprihatinan kami.



"Justeru, kami akan terus menyokong ujian praacara dibuat jika ia wajib bagi membolehkan persembahan berskala besar diteruskan secara selamat," jelas Cik Tan.



SAMBUT 2021 DENGAN HARAPAN BARU



Tahun Baru 2021 disambut dengan semangat baru konsert yang dipentaskan secara langsung dengan barisan bintang handalan akan menjadi kenyataan.



Penganjur konsert langsung, IMC Live Global, kembali menyajikan siri konsert eksklusif AL!VE yang mengembalikan seni dan muzik yang terhenti semasa tempoh pemutus litar pandemik Covid-19.



Setiap acara boleh dihadiri sehingga 250 penonton dengan langkah keselamatan diamalkan.



Ujian swab atau ART tidak diperlukan bagi acara ini mengikut ketetapan pemerintah yang menyatakan hanya acara melebihi 500 orang memerlukan ujian tersebut.



Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Asia IMC, Encik Romell Song, berkata:



"IMC Live Global bangga dapat berada di hadapan memperkasa kembali persada seni, budaya dan muzik Singapura yang disajikan secara langsung.



"Sebagai siri konsert langsung pertama di Singapura pada 2021, AL!VE bukan sahaja menandakan kembalinya persembahan langsung tetapi ia juga isyarat tersematnya harapan baru dan kebingkasan kita dalam menyambut Tahun Baru dengan nadi positif."



Konsert antara 21 dengan 23 Januari dan 5 hingga 6 Februari di Panggung Capitol ini antara lain akan dijayakan Art Fazil, Hyrul Anuar, kumpulan Jive Talkin' dan Rahila Rashun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >