Pengecas pantas yang mampu mengecas bateri kenderaan elektrik (EV) sehingga 80 peratus dalam kurang setengah jam, berbanding pengecas biasa yang mengambil masa beberapa jam, telah dipasang di beberapa tempat.
Kumpulan pertama tempat pengecas pantas awam untuk EV yang dipasang oleh EV-Electric Charging (EVe) telah dilancarkan pada 4 November di Woodlands Civic Centre.
EVe merupakan anak syarikat Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang bertanggungjawab untuk menyediakan tempat pengecasan pantas EV di bawah tender LTA.
Menurut EVe, empat pengecasan di Woodlands yang terdiri daripada satu pengecas dengan dua port itu merupakan yang pertama daripada 20 tempat pengecasan yang akan dibangunkan berdasarkan kontrak yang diberikan kepada pengendali pengecasan, Volt Singapore dan CDG-Engie pada Jun.
Volt Singapore adalah cabang pengecasan Keppel, manakala CDG-Engie merupakan usaha sama antara ComfortDelGro dengan syarikat utiliti berbilang negara Perancis, Engie.
Sebanyak lapan pengecas akan dipasang dua pengendali itu menjelang Mac 2025, dengan kesemua 20 pengecas siap dipasang menjelang akhir 2025, lapor The Business Times.
Ini adalah fasa pertama daripada rancangan pemerintah untuk memasang 120 pengecas pantas di sekitar 60 tempat letak kereta Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), kompleks komersial, pusat bandar, pusat kejiranan serta premis industri JTC, seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (CoS) pada awal 2024.
Berucap di majlis pelancaran itu, Dr Amy Khor, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), menyatakan bahawa pemandu yang banyak memandu seperti pemandu teksi atau kereta sewa, dan kenderaan ringan komersial khususnya, memerlukan khidmat pengecas pantas di tengah-tengah perjalanan mereka.
“Kami mahu menjadikan (prosesnya) semudah mungkin (untuk mereka), sejajar dengan peningkatan dalam kadar penggunaan EV,” tambahnya.
Di majlis pelancaran itu, Dr Khor turut memperkenalkan panduan EV baru yang dibangunkan LTA dengan input daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti pemandu, pemilik tempat letak kereta, pengendali pengecasan dan penyedia perkhidmatan mobiliti, untuk menggalakkan etika pengecasan yang baik.
Menurut beliau, pemerintah mungkin akan membenarkan pengendali tempat pengecasan mengenakan ‘caj hogging’ iaitu bayaran tambahan untuk pemilik kenderaan yang membiarkan kenderaan mereka terus dicas walaupun bateri sudah selesai dicas.
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata di Parlimen pada Ogos bahawa sasaran Singapura untuk memastikan setiap bandar HDB dilengkapi dengan tapak pengecasan menjelang 2025 berjalan lancar, dengan sekitar satu daripada dua tempat letak kereta HDB sudah mempunyai tapak pengecasan.
Singapura menyasarkan untuk menyediakan 60,000 tapak pengecasan menjelang 2030, dengan 40,000 daripadanya berada di tempat letak kereta awam dan 20,000 di premis privet.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg