Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih ramai pemilik hartanah, penyewa bawa isu sewa ke Tribunal Tuntutan Kecil

Mar 11, 2024 | 2:57 PM
Bilangan tuntutan telah meningkat setiap tahun sejak 2019, dengan 1,063 tuntutan dibuat pada 2020; 1,104 pada 2021 dan 1,114 pada 2022.
Bilangan tuntutan telah meningkat setiap tahun sejak 2019, dengan 1,063 tuntutan dibuat pada 2020; 1,104 pada 2021 dan 1,114 pada 2022. - Foto ST

Ledakan sewa sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah membawa kepada lonjakan kes pemilik hartanah dan penyewa menggunakan huraian perundangan untuk menyelesaikan pertikaian mereka.

Pada 2023, Tribunal Tuntutan Kecil (SCT) menerima 1,510 tuntutan berkaitan pertikaian berkaitan sewa – naik 62 peratus daripada 930 kes pada 2019, sebelum wabak Covid-19.

Bilangan tuntutan meningkat setiap tahun sejak 2019, dengan 1,063 tuntutan dibuat pada 2020; 1,104 pada 2021 dan 1,114 pada 2022, lapor The Straits Times.

Kira-kira satu daripada tiga kes SCT yang difailkan antara 2019 dengan 2023 yang melibatkan pertikaian sewa diakhiri dengan perintah tribunal, kata jurucakap Mahkamah Singapura.

Baki kes sama ada ditolak, dihentikan atau ditarik balik, tambahnya.

SCT, yang ditubuhkan pada 1985 dan merupakan sebahagian daripada Mahkamah Negara, adalah jalan untuk menyelesaikan pelbagai tuntutan kecil sehingga $20,000, termasuk pertikaian berkaitan perjanjian penyewaan kediaman sehingga dua tahun.

 Had tuntutan boleh dinaikkan kepada $30,000 jika kedua-dua pihak bersetuju.

Peguam Rajan Supramaniam, seorang pengantara bertauliah di Mahkamah Negara yang menjadi pengantara kes di SCT, berkata kenaikan pertikaian penyewaan sejajar dengan peningkatan kesedaran hak undang-undang dalam kalangan penyewa dan pemilik hartanah, serta pergantungan yang semakin meningkat kepada ejen perumahan untuk mendapatkan nasihat.

“Ejen hartanah cenderung menyebelahi pelanggan mereka sendiri dan cuba menasihati mereka tentang hak mereka. Saya telah melihat banyak kejadian apabila ejen hartanah tidak memberikan nasihat yang adil, justeru perkara itu dibawa ke SCT,” kata Encik Supramaniam.

Beberapa pemerhati pasaran juga menyatakan bahawa lonjakan permintaan untuk unit sewa – didorong oleh kelewatan akibat pandemik dalam sektor pembinaan – menyebabkan bayaran sewa yang lebih tinggi dan pemilik hartanah enggan berunding apabila timbul isu.

Encik Supramaniam, dari firma Regent Law, berkata pertikaian berkaitan sewa merangkumi pelbagai isu, termasuk soal deposit jaminan, kerosakan harta benda, penamatan kontrak awal dan sewa yang tidak dibayar.

Beliau menekankan deposit jaminan sebagai punca biasa perbalahan dengan pemilik hartanah mahu menggunakan wang itu bagi membayar kos pembaikan ekoran tindakan penyewa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg