Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih ramai pemilik kereta lanjut tempoh COE

Jul 29, 2024 | 3:25 PM
Lebih ramai pemilik kereta terus guna kenderaan mereka melebihi had 10 tahun sebagai langkah berjimat cermat.
Lebih ramai pemilik kereta terus guna kenderaan mereka melebihi had 10 tahun sebagai langkah berjimat cermat. - Foto ST

Ramai pemilik kereta pilih untuk perbaharui tempoh guna kenderaan mereka melebihi had 10 tahun, disebabkan harga kereta baru yang terlalu mahal ketika ini.

Sebanyak 3,949 kereta telah melanjutkan tempoh Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) dalam lima bulan pertama 2024.

Jumlah tersebut hampir menyamai 4,403 kereta yang perbaharui COE sepanjang 2023.  

Ia juga 74 peratus lebih tinggi daripada 2,270 kereta dengan COE yang diperbaharui dalam tempoh sama pada 2023, lapor The Straits Times (ST).

Sebagai perbandingan, terdapat 15,946 kereta yang dibatalkan pendaftarannya antara Januari dengan Mei 2024.

Ini adalah 46 peratus lebih tinggi daripada 10,928 kereta yang dibatalkan pendaftarannya dalam tempoh sama pada 2023.

Beberapa pakar industri berkata jumlah COE yang diperbaharui meningkat kerana pemilik yang ingin terus menggunakan kereta mendapati harga melanjutkan COE lebih menjimatkan berbanding membeli kereta baru yang jauh lebih mahal.

Berdasarkan sejarah, bilangan pembaharuan COE Kategori A untuk kereta lebih kecil, berkuasa rendah dan kenderaan elektrik (EV), adalah lebih tinggi berbanding bilangan pembaharuan COE Kategori B untuk kereta lebih besar dan EV.

Sebanyak 2,396 kereta Kategori A mempunyai COE yang dilanjutkan dalam lima bulan pertama 2024, melonjak daripada 1,006 kereta sedemikian dalam tempoh sama pada 2023.

Daripada 2,396 kereta dengan COE yang diperbaharui, 1,421 adalah COE yang diperbaharui selama lima tahun, peningkatan ketara daripada 474 COE yang diperbaharui dalam tempoh sama pada 2023.

COE kenderaan di sini sah digunakan selama 10 tahun.

Pemilik kenderaan boleh melanjutkan COE selama lima atau 10 tahun untuk terus menggunakan kenderaannya.

Ini boleh dilakukan sebelum COE tamat tempohnya, atau hingga sebulan selepas tempohnya berakhir.

Harga COE yang dilanjutkan selama 10 tahun lagi ditetapkan berdasarkan purata harga COE dalam tiga bulan sebelumnya.

Harga COE yang dilanjutkan selama lima tahun adalah separuh daripada harga tersebut.

Perunding industri kenderaan, Encik Vincent Ng, menjangka bilangan COE yang dilanjutkan pada 2024 melebihi bilangan pada 2023.

Ini kerana terdapat lebih banyak kereta baru yang didaftar 10 tahun lalu iaitu pada 2014 berbanding 2013.

Di samping itu, beliau berpandangan bahawa pengguna kini menerima bahawa harga kereta baru tidak akan turun dalam masa terdekat, kerana harga COE yang dijangka akan terus berada pada paras tinggi.

“Oleh itu, pemilik kereta yang ingin terus guna kereta akan mempertimbang melanjutkan COE, disebabkan harga kereta yang tinggi,” jelasnya.

Kereta Toyota Corolla Altis baru berharga lebih $158,000 pada Mei 2024, berbanding $84,550 untuk melanjutkan COE bagi kereta keluarga setanding yang telah digunakan selama 10 tahun.

Laporan berkaitan
Harga COE naikJul 29, 2024 | 1:02 PM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg