PLATFORM rangkaian kenalan LinkedIn memberhentikan sebahagian kakitangan pengambilan pekerjanya di peringkat global pada Selasa (14 Februari) kerana pengambilan pekerja semakin perlahan di tengah-tengah pertumbuhan yang merosot dalam sektor teknologi yang lebih luas.

Firma itu enggan mendedahkan berapa ramai - jika ada - pekerja yang diberhentikan di pejabat Singapura di Pusat Kewangan Marina Bay, yang merupakan ibu pejabat LinkedIn di Asia-Pasifik.

Ia berkata bahawa ia akan memberikan sokongan selaras dengan amalan pekerjaan tempatan kepada mereka yang terjejas.

Seorang jurucakap memberitahu akhbar The Straits Times pada Khamis:

"Dengan pengurangan keperluan untuk pengambilan pekerja ini, kami telah membuat keputusan yang sukar untuk mengurangkan saiz pasukan pemerolehan bakat global kami."

Pemotongan itu merupakan sebahagian latihan lebih meluas di firma induk Microsoft, yang memberi isyarat pada Januari tentang hasratnya untuk memberhentikan kira-kira 10,000 pekerja, atau kira-kira 5 peratus daripada tenaga kerja globalnya.

Pemberhentian di Microsoft dan anak syarikatnya berikutan penurunan 12 peratus dalam pendapatan bersih tahun ke tahun bagi suku kedua fiskal disebabkan kelembapan global selepas pertumbuhan yang memberangsangkan yang didorong oleh pendigitalan yang disebabkan oleh Covid-19.

Platform penghantaran makanan Deliveroo juga tidak terlepas, dengan 300 hingga 350 peranan - 9 peratus daripada tenaga kerja globalnya - akan dipotong, ketua eksekutif dan pengasas Will Shu mengumumkan minggu lalu.

Pemberhentian pekerja itu tertumpu di ibu pejabat firma itu di London, tetapi jurucakap enggan menyatakan jika mana-mana kakitangan Singapura terjejas.

Encik Shu berkata syarikat itu mengembangkan bilangan pekerjanya dengan cepat untuk mengikuti permintaan berkaitan Covid-19 tetapi kini menghadapi masalah yang serius dan tidak dijangka.

Beliau menambah bahawa dengan keluarnya firma itu baru-baru ini daripada pasaran Belanda dan Australia juga bermakna tenaga kerja yang lebih kecil boleh menyokong operasinya.

"Secara terang-terangan, asas kos tetap kami terlalu besar untuk perniagaan kami," kata Encik Shu.

"Saya sepatutnya mengambil pendekatan yang lebih seimbang untuk pertumbuhan bilangan pekerja. Ini terletak pada saya, dan saya tidak akan melakukan kesilapan yang sama pada masa hadapan."

Yahoo adalah sebuah lagi firma teknologi yang terpaksa memotong jumlah kakitangan.

Ia berkata pada 9 Februari bahawa ia akan menghapuskan kira-kira 1,000 pekerjaan - sekitar 12 peratus daripada jumlah pekerjanya.

Ia adalah pusingan pertama pemotongan pekerja dalam rancangan yang lebih besar untuk menyusun semula bahagian teknologi pengiklanannya, yang akhirnya akan menyaksikan bilangan pekerja dikurangkan separuh menjelang akhir 2023, menyumbang lebih daripada 20 peratus jumlah tenaga kerja Yahoo.

Jurucakap Yahoo tidak menjawab pertanyaan ST sama ada pejabat Singapura turut terjejas.

"Walaupun makan bertahun-tahun usaha dan pelaburan dibuat, strategi ini tidak menguntungkan," tambah jurucakap itu.

"Keputusan ini tidak pernah mudah, tetapi kami percaya perubahan ini akan memudahkan dan mengukuhkan perniagaan pengiklanan kami untuk jangka masa panjang."