Topik diikuti
Pergi ke BHkuLulusan SIT bantu pacu pendigitalan kilang
Lulusan SIT bantu pacu pendigitalan kilang
Di tengah ketidaktentuan ekonomi sejagat serta perubahan teknologi yang pesat, Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) terus menarik komitmen pelaburan yang kukuh ke Singapura pada 2025. Singapura kekal berdaya saing dalam menarik pelaburan meskipun berdepan persekitaran sejagat yang semakin mencabar. Berita Harian (BH) menelusuri dua kisah individu yang berada di sebalik peralihan industri itu.
Lulusan SIT bantu pacu pendigitalan kilang
Berbekal latar belakang dalam bidang mekatronik, Cik Fathimah Mumina Mohamed Sadik, menyangka kerjayanya akan bermula dalam dunia robotik.
Namun, seperti lumrah kehidupan yang sering membawa sesetengah individu ke arah yang tidak diduga, lulusan Sistem Mekatronik dari Institut Teknologi Singapura (SIT) itu, akhirnya beralih ke bidang yang tidak pernah dirancang, iaitu pendigitalan operasi kilang.
“Saya punya latar belakang robotik… tetapi disebabkan minat terhadap penyelesaian masalah dan ingin mencuba perkara baharu, saya memilih kerjaya sebagai jurutera teknologi operasi,” katanya yang kini dalam tempoh percubaan kerja.
Dengan kerjaya di syarikat teknologi perubatan, ResMed, Cik Mumina, 26 tahun, adalah sebahagian daripada tenaga kerja yang berusaha menjadikan operasi pengeluaran lebih cekap dan telus melalui penggunaan data masa nyata.
Dalam menggalas peranannya, anak bongsu tiga beradik itu bekerjasama rapat dengan jurutera dan pakar penyelia untuk menukar data pengeluaran kepada gambaran lebih jelas.
Kerjasama itu, katanya, adalah penting dalam meningkatkan kefahaman operasi di kilang agar penambahbaikan boleh dilakukan.
Cik Mumina, yang juga memiliki Diploma Teknologi Sekitaran dan Air daripada Politeknik Ngee Ann (NP), akur sejurus sahaja tamat pengajian universiti dan menjejakkan kaki ke alam pekerjaan sekitar lima bulan lalu, rasa gentar menyelubungi jiwa pada awalnya.
“Memang ada rasa takut sebab saya tidak begitu faham bagaimana operasi kilang berjalan. Tambahan pula, saya bekerja dengan ramai kakitangan yang lebih berpengalaman,” katanya.
Menurut Pengarah Kanan ResMed, Encik Dheeraj Madan, syarikat itu menggajikan sekurang-kurangnya 15 lulusan baharu setiap tahun.
“Di ResMed, usaha membina hab perkilangan yang bersedia untuk masa depan bukan sekadar bergantung pada pelaburan dalam teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), bahkan juga pada pelaburan terhadap tenaga kerja.
“Pengambilan lulusan baharu dan bakat muda membawa perspektif segar, kefasihan digital serta keberanian mencabar cara kerja tradisional.
“Dengan memupuk bakat muda seiring penggunaan teknologi terkini, ResMed bukan sahaja mengubah bentuk operasinya, malah turut membangun generasi baharu ke arah kecemerlangan dalam sektor perkilangan maju,” kongsinya kepada Berita Harian (BH).
Singapura telah mencatat pelaburan sebanyak $14.2 bilion, dengan sekitar 15,700 pekerjaan dijangka diwujudkan dalam lima tahun mendatang, kata Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), baru-baru ini.
Langkah itu akan mewujudkan peluang untuk kededua golongan lulusan baharu dan pekerja pertengahan kerjaya, jelas Pengerusi EDB, Encik Png Cheong Boon.
“Peluang pekerjaan ini bukan sahaja membuka ruang kepada lulusan baharu dan pekerja pertengahan kerjaya, malah menawarkan laluan kerjaya yang bermakna, khususnya kepada mereka yang mempunyai kepakaran serta prestasi cemerlang.
“Ia juga memberi peluang untuk pekerja ini mempelajari kemahiran baharu dan meneroka peranan berbeza,” katanya.
Pekerjaan di sektor tersebut, seperti yang disertai Cik Mumina pada masa ini, merangkumi 37 peratus daripada peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan, tambah EDB.
Ini di samping sektor perkhidmatan yang menyumbang bahagian terbesar sebanyak 40 peratus, diikuti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi (23 peratus), dengan kebanyakan jawatan berada dalam kategori karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET).
Sambil mengimbau kembali perjalanan kerjayanya setakat ini, Cik Mumina melahirkan rasa syukur kerana dikelilingi rakan sekerja yang terbuka berkongsi ilmu serta membimbingnya sepanjang proses penyesuaian.
“Saya banyak belajar dengan bertanya dan melihat sendiri bagaimana sesuatu proses itu berjalan.
“Apabila kita faham keseluruhan aliran kerja, lebih mudah untuk kita mencari penyelesaian,” ujarnya.
Tidak dinafikan kepuasan dalam kerja datang apabila sesuatu masalah dapat dikenal pasti lebih awal dan seterusnya dapat diperbaiki dengan segera.
“Bila kita dapat selesaikan sesuatu isu, rasanya puas. Ia buat kita lebih bersemangat untuk terus belajar dan memperbaiki mutu kerja kita lagi,” tambahnya.
Menurutnya, peranan seperti yang dilakukan kini semakin penting, selari dengan usaha Singapura memperkukuh sektor perkilangan maju yang lebih berteraskan teknologi dan data.
Peralihan daripada bidang robotik kepada sektor perkilangan maju mungkin kelihatan besar, namun, bagi Cik Mumina, kededua bidang itu berkongsi satu persamaan utama, iaitu penyelesaian masalah.
“
“Saya datang daripada latar belakang robotik… tetapi disebabkan minat terhadap penyelesaian masalah dan ingin mencuba perkara baharu, saya memilih kerjaya sebagai jurutera teknologi operasi... Saya banyak belajar dengan bertanya dan melihat sendiri bagaimana sesuatu proses itu berjalan. Apabila kita faham keseluruhan aliran kerja, lebih mudah untuk kita mencari penyelesaian.”