Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Makmal biologi, pembantu robot

Dua robot menjadi ‘pekerja’ penting syarikat Ugene Laboratory Services
Jul 19, 2023 | 06:44 PM



DI Ugene Laboratory Services, beberapa ujian mikrobiologi dikendalikan oleh pekerja bukan biologi yang tidak perlu cuti sakit atau rehat tengah hari, hanya penjagaan baik. 

Dua robot – dinamakan Ms dan Mr Ugene – kini sangat penting hingga pengasas yang juga pengarah teknikal syarikat itu, Cik Eunice Ng, memasukkan mereka bilangan pekerja syarikat itu berjumlah sekitar 30 orang.

Perniagaan teras Ugene Lab ialah menjalankan ujian mikrobiologi, yang “membantu menyelamatkan nyawa” dengan memastikan makanan yang dihasilkan sesuai dimakan manusia, kata Cik Ng. 

Ia dijalankan di sebuah kemudahan seluas hampir 8,000 kaki persegi, yang beliau rasa paling besar di Singapura. Banyak daripada 20 pelanggan teratas syarikat itu ialah syarikat berbilang negara (MNC).

Dalam bidang keselamatan makanan, Ugene Lab juga menjalankan audit kebersihan di kilang pelanggan mereka, memastikan permukaan dan udara bersih. Audit sedemikian penting untuk mendapatkan pensijilan untuk mengeksport produk.

Sejak diasaskan pada 1997, syarikat itu telah berkembang ke bidang seperti ujian kimia yang membantu pekilang menghasilkan label khasiat bagi produk mereka, lapor The Business Times.


Pelanggan mereka telah berkembang melebihi pengeluar makanan, kepada pembuat kosmetik dan makanan haiwan.

Pada 2023, syarikat itu menceburi ujian vegan – menggunakan biologi molekular untuk menguji kehadiran daging dalam produk yang sepatutnya vegan. 

Ia juga sedang mempertimbangkan menceburi ‘spesiasi’ – membantu  mengesahkan, misalnya, apakah sesebuah produk daging lembu itu benar-benar 100 peratus daging lembu.

Walaupun Cik Ng sudah menghabiskan masa lebih 30 tahun dalam bidang mikrobiologi, beliau menceburi bidang itu secara tidak sengaja.

Rancangan asalnya ingin menjadi doktor dilupakan apabila beliau mendapati ijazah perubatan di Amerika Syarikat mengambil masa lapan tahun – terlalu lama, memandangkan beliau perlu membiayai pengajiannya sendiri.

Apabila beliau tanya seorang profesor, apakah yang paling dekat dengan menjadi seorang doktor, profesor itu menyarankan beliau menjadi pakar mikrobiologi. 

Permulaan sukar


Mengikut nasihat profesor itu, Cik Ng lulus dengan ijazah dalam mikrobiologi daripada Universiti Washington State dan bekerja di Amerika beberapa tahun sebelum pulang ke Singapura. 

SeIepas beberapa tahun bekerja di sebuah makmal di sini, beliau membuat keputusan untuk menggabungkan minatnya dalam bidang sains dan perniagaan dengan menubuhkan sebuah syarikat bersama dua kawan pada 1997.

Namun kededua kawannya memutuskan untuk meninggalkan syarikat itu beberapa bulan kemudian, meninggalkan beliau seorang dengan hanya $500 dalam bank, imbas beliau mengenai tempoh paling mencabar dalam perniagaannya itu.

Perjalanan automasi Ugene Lab juga terpaksa mengharungi pelbagai rintangan.

Apabila Cik Ng mula mencadangkan menggunakan robot di makmal itu, kakitangannya khuatir mereka akan menjadi lapuk.

Pada masa sama, penentang memberitahunya jika automasi boleh dilakukan, pemain besar sudah melakukannya.

Namun, Cik Ng tetap berkeras. Selepas berbincang berulang kali, pengurusan Ugene Lab meyakinkan kakitangannya robot tidak akan menggantikan mereka, sebaliknya akan membebaskan mereka untuk melakukan kerja bernilai lebih tinggi dan mengembangkan perniagaan.

Syarikat itu bekerjasama dengan jurutera dari Jepun untuk membina sebuah robot.

Kakitangan terlibat dalam proses itu, sekali gus membantu mereka menerima idea tersebut.

Robot pertama, Ms Ugene, menyertai kakitangan pada 2014. Pada 2022, syarikat itu memperoleh robot kedua, Mr Ugene.

Automasi penting bagi Ugene Lab kerana pelbagai sebab, kata Cik Ng. Pertama, ia memastikan makmal itu boleh menangani sembarang lonjakan mendadak untuk menguji sampel, yang mungkin diperlukan jika sebuah kilang mengalami wabak di kemudahan mereka.

Kedua, ia mengekalkan konsistensi dalam cara ujian dikendalikan.

Ketiga, robot membantu dalam penyimpanan rekod digital dan dengan itu boleh meningkatkan kebolehkesanan, yang membolehkan pelanggan mengesan sampel selama tujuh tahun lalu.

Automasi – yang tidak menimbulkan sembarang masalah sumber manusia, kata Cik Ng – terutamanya penting memandangkan masalah tenaga kerja industri.

Berkhidmat kepada pelanggan


Ugene Lab tidak pernah mempunyai pasukan penjualan, pasukan pembangunan perniagaan atau pasukan pemasaran yang khusus – tetapi terus berkembang hasil khidmat pelanggan yang baik, kata Cik Ng.

“Kami mengendalikan sampel pelanggan seolah-olah ia jenama kami sendiri,” ujar beliau.

Untuk mengekalkan pelanggan, memberi perkhidmatan bermutu tinggi adalah kunci, kata Cik Ng. Ini maksudnya, antaranya, menjelaskan keputusan ujian dan membimbing pelanggan tentang kejadian pencemaran dan bukan sekadar menyediakan laporan.

Menyelesaikan masalah untuk pelanggan telah terbukti menjadi pemacu utama bagi pertumbuhan. Banyak perkhidmatan yang ditawarkan oleh Ugene Lab pada awalnya atas desakan pelanggan sedia ada, kata Cik Ng.

Untuk pertumbuhan selanjutnya, peluasan daerah sedang dalam perancangan.

“Untuk kami membawa makmal seperti ini ke negara lain agak mudah,” kata Cik Ng. Vietnam adalah salah sebuah negara yang berpotensi dengan ramai pelanggan telah memindahkan pengeluaran mereka ke sana kerana kos lebih rendah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >