Syarikat Mapletree Logistics Trust (MLT) menjangka kadar sewa lebih rendah di China akan berterusan sepanjang beberapa suku akan datang, dengan kadar sewa baru bagi pajakan yang bakal berakhir dijangka mengikut harga pasaran terkini, kata pengurus syarikat itu pada 11 Julai.
Pengurus MLT – syarikat dana amanah pelaburan hartanah logistik di Singapura – berkata China sedang menghadapi “persekitaran pajakan mencabar” disebabkan pemulihan lebih lemah daripada jangkaan selepas pandemik Covid-19, selain bekalan ruang gudang yang berlebihan ketika ini.
Berdasarkan latar belakang itu, penyewa di China kini lebih berhati-hati dan lebih memilih serta tidak memperbaharui pajakan sebelum tamat tempohnya, atau membuat tempoh pajakan lebih pendek, disebabkan prospek pasaran yang tidak menentu, tambahnya.
Pengurus tersebut menyatakan demikian ketika menjawab beberapa pertanyaan daripada pemegang unit dana amanah itu, menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat itu pada 17 Julai.
MLT telah menyiarkan senarai soalan yang ditanya berserta jawapannya dalam satu kenyataan, lapor The Straits Times (ST).
Seorang pemegang unit telah bertanya tentang kemungkinan penyewa di China memperbaharui pajakan mereka di tengah-tengah cabaran yang dihadapi sektor logistik di negara itu, dan sama ada kadar sewa dijangka terus menurun.
Beliau, yang merujuk kepada laporan tahunan syarikat itu, berkata bahawa 29.6 peratus daripada pajakan yang diterima dana amanah itu perlu diperbaharui pada tahun kewangan akan datang.
Daripada jumlah pajakan itu, 13.2 peratus pajakan adalah bagi perniagaan di China.
Dalam jawapannya, pengurus MLT itu menyebut pelbagai cabaran dalam persekitaran pajakan, pemulihan pascapandemik lebih lemah, dan lebihan bekalan hartanah yang memberi tekanan kepada harga sewa, selain membuat penyewa mengambil sikap berhati-hati.
Beliau menambah bahawa syarikat itu mengutamakan usaha mengekalkan kadar penyewaan dan penghunian yang stabil berbanding kenaikan sewa, dan berkata pasukannya telah mencapai “kemajuan baik” dalam memperbaharui atau menggantikan pajakan yang tamat.
Seorang lagi pemegang unit dana amanah itu bertanya sama ada MLT akan terjejas oleh kadar penghunian yang menurun di China.
Pengurus tersebut menjawab bahawa berdasarkan rekod sebelum ini, ia berjaya mengekalkan kadar penghunian pada paras lebih 90 peratus.
Kadar penghunian ialah 78.2 peratus secara purata bagi China.
Apabila ditanya mengenai faktor yang akan mendorong pemulihan aset logistik di China, pengurus MLT itu berkata bahawa bekalan ruang logistik dijangka berkurangan pada 2024 berbanding 2023, yang boleh mencetuskan pemulihan.
Beliau menambah, MLT dijangka meraih manfaat daripada kepelbagaian rantaian bekalan, memandangkan Asia Tenggara kini menjadi destinasi menarik bagi perniagaan yang mencari pangkalan perkilangan alternatif.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg