Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MAS kekalkan dasar dolar S’pura di tengah tarif AS

Dalam usaha tangani risiko tarif AS terhadap ekonomi
Jul 30, 2025 | 7:11 PM
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) turut mengekalkan ramalan inflasi teras bagi 2025 pada 0.5 peratus hingga 1.5 peratus, secara purata.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) turut mengekalkan ramalan inflasi teras bagi 2025 pada 0.5 peratus hingga 1.5 peratus, secara purata. - Foto ST

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengekalkan dasar nilai dolar Singapura selepas ekonomi mencatat prestasi kukuh yang tidak dijangka dalam separuh pertama 2025, walaupun menghadapi kesan tarif Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

MAS turut mengekalkan ramalan inflasi teras bagi 2025 – yang tidak termasuk kos pengangkutan dan penginapan privet untuk menggambarkan perbelanjaan isi rumah dengan lebih baik – pada 0.5 peratus hingga 1.5 peratus, secara purata.

MAS akan mengekalkan kadar kenaikan semasa bagi jalur dasar Kadar Tukaran Efektif Nominal Dolar Singapura (S$Neer), kata bank pusat itu pada 30 Julai.

Berbeza dengan bank pusat lain, MAS mengurus dasar kewangannya dengan membiarkan nilai dolar Singapura naik atau turun berbanding sekumpulan mata wang negara rakan dagang utama Singapura, dalam satu jalur dagangan yang tidak didedahkan, iaitu S$Neer.

MAS turut menyatakan walaupun prospek ekonomi kini tidak menentu, ekonomi sejagat dan ekonomi domestik Singapura terus berdaya tahan setakat ini, lapor The Straits Times (ST).

Singapura mencatat Pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebanyak 4.3 peratus pada suku kedua 2025, berbanding suku kedua 2024, selepas meraih pertumbuhan 4.1 peratus pada suku pertama.

Pertumbuhan tersebut melebihi ramalan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) yang menjangka pertumbuhan sifar hingga 2 peratus bagi 2025.

Dalam pada itu, inflasi teras mencapai 0.6 peratus pada Jun 2025 berbanding Jun 2024 – paras yang sama seperti Mei.

Pakar ekonomi di syarikat penganalisis sejagat, Oxford Economics, Cik Sheana Yue, berkata:

“Kami berpandangan bahawa halangan utama kepada dasar kewangan yang lebih longgar adalah rentak pertumbuhan yang kukuh pada suku lalu.”

Pada umumnya, daya tahan ekonomi Singapura disebabkan pengimport dari Amerika yang membuat tempahan barangan dalam jumlah lebih besar daripada biasa pada separuh pertama 2025, untuk mengelak kesan kenaikan kos niaga akibat tarif baru yang dijangka dikenakan.

Strategi pengimport yang membuat pesanan awal tersebut telah meningkatkan eksport dari banyak negara Asia, termasuk Singapura, sehingga mencapai tahap tinggi luar biasa dalam tempoh tersebut.

Namun, ramai penganalisis berpendapat negara-negara Asia kini memasuki “fasa pembetulan” selepas menikmati pertumbuhan luar biasa sebelum ini.

Pesanan awal bagi barangan eksport dijangka mula berkurangan pada separuh kedua 2025 kerana pengimport akan menggunakan bekalan barangan yang disimpan sepanjang enam bulan pertama 2025.

Oleh itu, eksport dan pengeluaran sektor pengilangan dijangka berkurangan berbanding prestasi separuh pertama 2025, manakala inflasi dijangka kekal sederhana.

Rentak pertumbuhan bagi baki 2025 dijangka lebih sederhana, dengan pesanan awal bagi barangan eksport dijangka berkurangan, tambah MAS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg