Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Rancangan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) telah melancarkan inisiatif global terbuka yang dikenali sebagai Universal Trusted Credentials (UTC) untuk meningkatkan akses pembiayaan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME).
Inisiatif ini dikendalikan dengan kerjasama Bank Ghana, Yayasan Pengenalpasti Entiti Guaman Global dan Forum Kewangan SME. Ia juga mengusulkan rangka kerja bagi mewujudkan bukti kelayakan yang menjelaskan ciri-ciri kelayakan pembiayaan MSME berdasarkan kedua-dua set data sumber dan set data terbitan.
Di bawah data sumber, maklumat tentang sebuah MSME boleh disahkan daripada pelbagai sumber seperti pembekal utiliti, wadah perdagangan dan pendaftaran negara. Ini termasuk data tentang aliran perdagangan, serta pembayaran bil utiliti dan telekomunikasi yang tepat pada masanya.
Selain data sumber, data terbitan — seperti kesediaan untuk meningkatkan kemahiran celik kewangan — akan membantu meningkatkan keupayaan MSME “untuk membayar balik pinjaman”.
Ini akan memberi lebih keyakinan kepada institusi kewangan bahawa SME itu boleh dipercayai untuk membayar balik pinjaman yang diberikan, menurut MAS dan UNDP dalam satu kenyataan bersama pada Selasa.
Pada masa ini, UTC diuji di Ghana, di mana bank pusat dan institusi kewangan di pasaran lain yang baru muncul akan memperhalusi dan menguji aplikasinya merentas sempadan.
MAS, UNDP dan rakan kongsi mereka berhasrat untuk melanjutkan usaha pembinaan kapasiti sedia ada mereka untuk membangun “ekosistem penyedia sumber data yang sesuai yang akan menyumbang ke arah penciptaan set data alternatif untuk UTC”.
Ini termasuk meneroka jawatankuasa pemandu bank pusat, institusi kewangan dan agensi pelbagai hala, dengan tujuan untuk mengenal pasti sumber data yang sesuai dan menapis penerbit UTC antarabangsa.
Mereka juga berhasrat untuk bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa merentasi kedua-dua sektor swasta dan awam untuk membangunkan piawaian UTC yang sama untuk melancarkan operasi antarabangsa.
“UTC mempunyai peluang untuk menambah cagaran tradisional yang dihadapi oleh hampir semua SME, ke arah pendekatan menyeluruh yang merangkumi bukti kelayakan tidak berdasarkan kewangan dan berdasarkan kewangan yang perlu dimiliki oleh setiap MSME.
“Dengan konsensus global baru di sekitar UTC, terdapat lebih banyak penyelesaian inovatif yang akan meningkatkan kesan pembiayaan, perbankan digital dan pertumbuhan rentas sempadan untuk banyak ekonomi,” kata ketua pegawai teknologi kewangan (fintech) MAS, Encik Sopnendu Mohanty.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg