Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT BAGI MASYARAKAT HADAPI MASA DEPAN

Mendaki perluas bidang tumpuan liputi pelajar dewasa

Mahu jadi institusi pembelajaran sepanjang hayat dalam usaha persiap masyarakat bagi masa depan
Feb 04, 2022 | 05:30 AM



YAYASAN Mendaki akan meluaskan bidang tumpuannya dengan meliputi golongan pelajar dewasa dan mahu dilihat sebagai sebuah institusi pembelajaran sepanjang hayat.



Ini dalam usahanya mahu lebih giat mempersiap masyarakat Melayu/Islam bagi masa depan, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad.



Encik Zaqy berkata pertubuhan itu menyifatkan pelajar dewasa sebagai satu segmen masyarakat yang wajar diberi perhatian berikutan trend ekonomi dan pekerjaan yang pesat berubah-ubah.



Pada masa sama, Mendaki akan meneruskan usaha membantu golongan pelajar prasekolah hingga pengajian tinggi.



Menjelaskan lebih lanjut mengenai fokus yang lebih luas ini, Encik Zaqy berkata:



"Sebagaimana kita memandang serius tentang latihan sebelum pekerjaan seperti program Skim Tuisyen Mendaki (MTS) yang penting buat pelajar di sekolah, kini satu lagi laluan yang kami ingin bina adalah untuk pelajar dewasa dan pekerja.



"Saya fikir penting bagi masyarakat melihat Mendaki sebagai satu pertubuhan pembelajaran sepanjang hayat… buat masa ini, ramai yang hanya tahu kami sebagai menyediakan khidmat kepada golongan pada peringkat sekolah sahaja.



"Namun, landskap telah berubah jadi Mendaki perlu mengukuhkan peranan dan skop khidmatnya."



Tambah beliau, ini merupakan langkah lanjutan daripada hasil positif yang dicapai daripada program-program untuk golongan pada peringkat sekolah.



Justeru, Mendaki akan terus menyemak kerjasama yang dijalin untuk memberi manfaat lebih baik kepada golongan pelajar dewasa, jelas Encik Zaqy.



"Apa yang penting sekarang ialah untuk kita meneliti dan melihat bagaimana membantu pelajar dewasa serta meluaskan skop khidmat kami.



"Ini sebabnya kami terus menyemak kerjasama yang ada dan melihat bagaimana meluaskan daya usaha pada peringkat nasional sebagaimana yang kami lakukan untuk MTS," terang Encik Zaqy.



Peluasan bidang tumpuan ini juga didorong oleh perangkaan pelajar dewasa yang mengikuti kursus latihan semakin bertambah.



Ini sekali gus mencerminkan keperluan menawarkan latihan kemahiran untuk segmen itu di samping mengisi jurang yang ada dalam pasaran.



Menurut Encik Zaqy lagi, ini semakin penting dalam dunia pascapandemik dengan trend pekerjaan yang sudah berubah.



"Pandemik ini menunjukkan, sementara ada sektor terjejas seperti pelancongan dan penerbangan, ada juga sektor yang terus berkembang dan memerlukan kemahiran digital - misalnya, logistik dan bidang kewangan.



"Dan kita melihat yang masyarakat kita, khususnya pekerja kita memahami perubahan trend ini dan mula sedar bahawa apa sahaja kelulusan atau kelayakan yang diraih 10 atau 15 tahun dahulu, mungkin tidak lagi relevan dan perlu dipertingkat," jelasnya.



Memandang ke depan, Encik Zaqy mengenal pasti beberapa sektor yang bakal memacu trend pekerja.



Salah satu ialah sektor sekitaran dan kemampanan yang akan mencorak ekonomi mesra alam di negara ini.



"Kita boleh menjangkakan lebih banyak peluang pekerjaan dalam industri ini… jadi jika kita tidak luaskan kemahiran dan keupayaan, kita akan ketinggalan untuk menggarap peluang ini," tambahnya.




"Sebagaimana kita memandang serius tentang latihan sebelum pekerjaan seperti program Skim Tuisyen Mendaki (MTS) yang penting buat pelajar di sekolah, kini satu lagi laluan yang kami ingin bina adalah untuk pelajar dewasa dan pekerja.

Saya fikir penting bagi masyarakat melihat Mendaki sebagai satu pertubuhan pembelajaran sepanjang hayat… buat masa ini, ramai yang hanya tahu kami sebagai menyediakan khidmat kepada golongan pada peringkat sekolah sahaja.

Namun, landskap telah berubah jadi Mendaki perlu mengukuhkan peranan dan skop khidmatnya."

- Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >