Topik diikuti
Pergi ke BHkuMengapa firma telekom perlu patuhi spektrum frekuensi
Mengapa firma telekom perlu patuhi spektrum frekuensi
Mengapa firma telekom perlu patuhi spektrum frekuensi
Pada 18 Mei, IMDA menggantung semakan bidaan $1.43 bilion Simba Telecom untuk pemerolehan M1.
Langkah ini menyusul siasatan ke atas Simba.
IMDA mendakwa Simba mungkin telah melanggar peraturan dengan menyediakan perkhidmatan mudah alih menggunakan jalur frekuensi radio tanpa kebenaran.
Apa itu spektrum frekuensi?
Spektrum atau jalur frekuensi radio merupakan gelombang udara yang berfungsi membawa isyarat tanpa wayar.
Gelombang ini menjadi nadi kepada komunikasi harian, merangkumi siaran radio dan televisyen, perhubungan satelit bagi sektor penerbangan dan maritim, serta penghantaran data selular mudah alih.
IMDA bertanggungjawab memperuntuk dan membahagikan spektrum tersebut kepada setiap pengendali mudah alih bagi kegunaan khusus, di mana syarikat telekomunikasi diwajibkan hanya menggunakan jalur yang telah ditetapkan untuk mereka.
Proses agihan spektrum bagi perkhidmatan mudah alih biasanya dilaksanakan secara kompetitif, contohnya menerusi bidaan lelongan yang diuruskan oleh IMDA.
Syarikat telekomunikasi boleh mengemukakan permohonan berasingan bagi mendapatkan kebenaran menggunakan frekuensi tertentu untuk tempoh dan lokasi yang terhad.
Langkah ini bertujuan memperkukuh keupayaan rangkaian mereka bagi menampung keperluan pelanggan sewaktu berlangsungnya acara berskala besar, seperti sambutan ambang Tahun Baru.
Bagaimana syarikat telekomunikasi boleh tersasar ke jalur lain?
Menurut penjelasan pakar, perbuatan menggunakan spektrum di luar peruntukan boleh berlaku akibat faktor teknikal yang tidak disengajakan, seperti kesilapan manusia atau ralat pada konfigurasi sistem, mahupun tindakan sengaja demi melonjakkan kelajuan serta kapasiti rangkaian.
Naib Presiden Digital Defence Alliance Singapore, Encik Aaron Ang, berpendapat bahawa gangguan sedemikian mungkin berpunca daripada proses pelarasan yang kurang rapi, penggunaan perkakasan lama atau penetapan tahap kuasa yang berlebihan pada stesen pangkalan mudah alih.
Stesen pangkalan ini merupakan alat penghantar-terima radio tetap yang bertindak sebagai penghubung antara peranti telefon pintar dengan sistem rangkaian telekomunikasi utama.
“Ia mungkin berpunca daripada kesilapan teknikal oleh jurutera yang tersalah memasukkan parameter, ataupun cubaan meminda tetapan bagi meraih kapasiti tambahan, yang boleh diumpamakan seperti tindakan meluaskan lorong sendiri secara haram,” ujar Encik Ang.
Dalam sesetengah keadaan, syarikat telekomunikasi akan menyatukan jalur frekuensi milik mereka bagi membolehkan capaian Internet yang lebih tangkas.
Tambahnya lagi, jika proses pengauditan yang teliti tidak dijalankan, sistem tersebut berisiko menyerap jalur kosong kepunyaan syarikat pesaing ke dalam gabungan berkenaan tanpa disedari.
Pemasangan antena di dalam premis seperti pusat beli-belah, stesen MRT serta bangunan pejabat turut dikenal pasti sebagai punca pelanggaran peraturan ini.
Memandangkan sistem ini kerap kali dipasang oleh pihak kontraktor luar, terdapat kemungkinan antena tersebut dilaraskan pada frekuensi yang menawarkan liputan paling stabil, walaupun hak milik frekuensi itu sebenarnya milik pengendali lain.
Mengapa syarikat telekomunikasi perlu patuhi jalur yang diluluskan?
Sekiranya sesebuah pengendali bertindak menggunakan spektrum di luar peruntukan rasmi, tindakan tersebut bukan sahaja memberikan kelebihan persaingan yang tidak adil, malah berisiko mencetuskan gangguan teknikal terhadap rangkaian milik syarikat telekomunikasi pesaing, menurut kenyataan IMDA pada 18 Mei.
Pihak berkuasa tersebut menegaskan bahawa jumlah spektrum yang dimiliki secara sah akan mempengaruhi strategi perancangan rangkaian, skala pelaburan prasarana, serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pengguna. Justeru, IMDA memberikan amaran keras terhadap sebarang bentuk penggunaan frekuensi tanpa kebenaran yang sah.
“Situasi ini boleh diibaratkan seperti keperluan kenderaan kekal di lorong jalan raya yang betul atau pesawat yang mesti mematuhi laluan udara ditetapkan demi mengelakkan sebarang risiko perlanggaran,” jelas pihak berkuasa tersebut bagi menggambarkan kepentingan penyelarasan frekuensi.
