Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MoneyHero berhentikan 80 pekerja untuk kurangkan kos

Jul 25, 2024 | 2:45 PM
Encik Rohith Murthy, ketua eksekutif kumpulan MoneyHero, yang mengelolakan platform seperti Seedly dan SingSaver di Singapura.
Encik Rohith Murthy, ketua eksekutif kumpulan MoneyHero, yang mengelolakan platform seperti Seedly dan SingSaver di Singapura. - Foto ST

Kumpulan Moneyhero, yang mengelolakan platform seperti Seedly dan SingSaver di Singapura, telah memberhentikan 80 pekerja sebagai langkah mengurangkan kos.

Syarikat teknologi kewangan (fintech) itu berkata di laman webnya bahawa ia mempunyai lebih 300 pekerja di pejabat dalam lima pasaran, termasuk Singapura.

Ia, bagaimanapun, belum menjawab pertanyaan The Business Times (BT) tentang lokasi pekerja tersebut.

Dalam e-mel kepada kakitangannya pada petang 24 Julai, ketua eksekutifnya, Encik Rohith Murthy, berkata keputusan mengurangkan saiz “pasukan seluruh perusahaan” adalah “malang tetapi perlu”.

“Pemberhentian ini semata-mata untuk meningkatkan kesihatan kewangan jangka panjang dan keuntungan MoneyHero. Tidak ada isu lebih besar di sini,” katanya dalam e-mel yang dilihat BT.

Beliau menambah, syarikat itu kekal dalam mod pertumbuhan dengan “pasukan kepimpinan yang kukuh, bahagian pasaran yang dominan, strategi yang terbukti, kedudukan tunai yang kukuh dan akses kuat kepada modal yang tidak dapat dipadankan oleh rakan setara lain”.

MoneyHero mengendalikan platform kewangan peribadi dalam talian yang mengesyorkan produk kewangan di Singapura, Hong Kong, Filipina dan Taiwan.

Laporan Oktober 2023 di The Straits Times (ST) berkata kumpulan itu menggajikan 349 kakitangan di lima pasaran, 99 daripadanya di Singapura.

Encik Murthy, yang memegang jawatan ketua eksekutif pada Februari, berkata penjajaran semula strategik adalah salah satu sebab pemotongan itu.

MoneyHero akan menyokong pekerja yang diberhentikan dengan pakej “komprehensif” sama ada cuti khas segera atau bayaran ex-gratia untuk tempoh peralihan, katanya.

Pekerja terjejas juga akan diberikan perlindungan insurans sehingga Disember 2024, kaunseling kesihatan profesional dan mental, sokongan penempatan, surat pengesyoran daripada pemimpin kanan MoneyHero, dan komputer riba.

MoneyHero disenaraikan di Nasdaq pada Oktober 2023 selepas bergabung dengan Bridgetown Holdings, sebuah syarikat pemerolehan tujuan khas yang disokong firma teroka milik pengasas bersama PayPal, Encik Peter Thiel, dan Pacific Century Group milik taikun Hong Kong, Encik Richard Li.

Namun, ia menghadapi sentimen pelabur yang lemah. Harga sahamnya jatuh kira-kira 52 peratus daripada penampilan sulungnya, ditutup pada AS$1.62 ($2.18) pada 23 Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg