PEKERJA warga asing akan ditempatkan buat sementara di tempat penginapan lepas pantai mulai minggu hadapan sebagai sebahagian daripada usaha nasional mengekang penularan Covid-19 di sini.
Kerja-kerja mempersiap dua tempat penginapan itu kini sedang dijalankan oleh Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) yang menjalin kerjasama dengan pengendali terminal perkapalan, PSA Singapore, Keppel Offshore & Marine, Bibby Maritime Limited dan The Ascott Limited untuk membawa masuk dua tempat penginapan lepas pantai tersebut.
"Tempat penginapan lepas pantai itu akan digunakan untuk menempatkan pekerja asing yang sihat mulai minggu depan. Semua pekerja warga asing harus menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk ujian kesat sebelum dibenarkan ke tempat penginapan tersebut," kata MPA dalam kenyataannya hari ini.
Sejajar dengan Langkah Jarak Selamat Diperketat yang dilaksanakan ke atas seluruh Singapura, pekerja warga asing juga perlu mematuhi peraturan kesihatan awam yang ketat seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, seperti mengurangkan hubungan dengan penghuni lain.
Keperluan asas penghuni, termasuk penghantaran makanan, akan dijaga. Sebuah kemudahan perubatan, dikendali jururawat dan doktor dari Fullerton Healthcare, akan dibangunkan di tanah besar, bagi memastikan sokongan perubatan disediakan. Kemudahan pengasingan juga akan dibangunkan.
Penginapan lepas pantai ini akan juga memanfaatkan Pasukan Jaminan Sokongan Barisan Depan bagi menyokong dormitori di bawah Kementerian Tenaga Manusia sekiranya ia diperlukan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg