Syarikat katering makanan Neo Group telah membeli operasi perniagaan rangkaian kedai bakeri tempatan, PrimaDeli, daripada Prima Food.
Namun, harga pembelian perniagaan tersebut tidak dinyatakan.
Ditubuhkan pada 1992, PrimaDeli adalah francais bakeri pertama di Singapura yang menawarkan pelbagai jenis kek, biskut dan roti.
Ia juga francais makanan yang paling lama beroperasi di negara ini, menurut laman web syarikat tersebut.
PrimaDeli diuruskan oleh Prima Food, cabang pengilangan makanan kepada syarikat pembekal tepung, Prima Ltd.
Neo Group tidak memperoleh sebarang pegangan saham daripada Prima Food, lapor The Business Times (BT).
Menjawab soalan media, Pengarah Eksekutif Prima Food, Encik Tony Loke, berkata bahawa sudah tiba masanya untuk syarikat tersebut “berundur daripada industri hiliran”, setelah “mencapai misi PrimaDeli untuk mengubah dan menaik taraf perusahaan bakeri tempatan”.
Beliau menambah bahawa Prima Food akan menumpukan usaha kepada mengembangkan lagi perniagaan pengilangan tepung bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada perusahaan berasaskan tepung tempatan.
Dalam satu kenyataan media bersama yang berasingan pada 10 Jun, Neo Group dan PrimaDeli menyatakan:
“Langkah strategik ini menandakan permulaan era baru pertumbuhan dan inovasi bagi francais bakeri tempatan yang pertama di Singapura.”
PrimaDeli kini akan dikendalikan sepenuhnya oleh Neo Group Bakery, sebuah entiti perniagaan baru di bawah Neo Group.
Ia ditubuhkan untuk menyelia perniagaan berkaitan bakeri syarikat tersebut.
Kesemua cawangan PrimaDeli akan terus beroperasi di bawah jenama sedia ada, dengan kesemua pekerjanya akan dikekalkan oleh Neo Group Bakery.
Neo Group Bakery merancang mencari lebih banyak rakan strategik dan pemegang francais untuk mengembangkan jenama PrimaDeli.
Di samping itu, ia akan terus mengekalkan kerjasama dengan pemegang francais PrimaDeli sedia ada.
Kededua pihak tersebut menyatakan: “Peralihan ini menawarkan peluang unik untuk menggabungkan ekuiti jenama PrimaDeli yang mantap dengan pendekatan inovatif dan kecemerlangan operasi Neo Group Bakery, memberikan pengalaman lebih kaya kepada pelanggan kami.”
Pengurus Besar PrimaDeli, Encik George Lim, berkata: “Kami percaya Neo Group Bakery berada pada kedudukan baik untuk meningkatkan PrimaDeli ke tahap lebih tinggi.
“Ini sambil mengekalkan legasinya sebagai jenama francais bakeri perintis di Singapura.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg