LOS ANGELES: Syarikat khidmat penstriman video, Netflix, mungkin mengalami penambahan bilangan pelanggan baru yang paling sedikit dalam lima suku bagi tempoh tiga bulan dari April hingga Jun.
Ini disebabkan pertumbuhan mendadak yang dinikmati syarikat itu hasil tindakan kerasnya menghalang perkongsian kata laluan antara pengguna, kini semakin surut.
Di samping itu, ramai penonton kini mengalihkan tumpuan daripada Netflix kepada acara sukan musim panas, termasuk kejohanan bola sepak Eropah, Euro 2024.
Syarikat itu menambah sekitar 4.82 juta pelanggan baru pada suku kedua 2024, menurut data LSEG.
Ia adalah penambahan paling sedikit sejak suku pertama 2023 dan kira-kira separuh daripada 9.3 juta pelanggan baru yang diraih pada suku pertama 2024.
Namun begitu, usaha syarikat itu memasarkan khidmat penstriman video yang disokong oleh “peringkat iklan berharga lebih rendah” untuk perniagaan telah menghasilkan pertumbuhan pendapatan iklan yang kukuh.
Pendapatan iklan Netflix dijangka meningkat lebih seganda bagi suku April hingga Jun.
Pendapatan keseluruhan syarikat itu mungkin meningkat 16.4 peratus kepada AS$9.53 bilion ($12.8 bilion), menandakan pertumbuhan terpantas sejak suku kedua 2021.
Rancangan Netflix seperti drama kisah cinta, Bridgerton dan siri terhad drama komedi Baby Reindeer – berdasarkan pengalaman pelawak Richard Gadd dengan seorang peminat menyeramkan atau ‘stalker’, menduduki tempat teratas carta bagi drama paling banyak ditonton pada suku kedua, menurut data Nielsen.
Apabila Netflix melaporkan keputusan suku kedua pada 18 Julai, pelabur dijangka meneliti usaha syarikat itu mengembangkan pelan perniagaan iklannya, selain mendapatkan kemas kini mengenai pemacu pertumbuhan baru syarikat itu.
Pada Mei, syarikat itu menyatakan khidmat penstriman videonya yang disokong iklan berjaya menarik 40 juta pengguna aktif bulanan di seluruh dunia.
Ia membentuk 40 peratus daripada jumlah pelanggan di negara yang menyediakan khidmat Netflix, naik daripada 23 juta pada Januari.
Secara bermusim, bilangan tontonan pada bulan-bulan musim panas bagi Netflix dan pesaingnya seperti Disney+ turut terjejas sedang ramai menikmati percutian pada waktu itu.
Pada 2024, Sukan Olimpik yang bermula pada 26 Julai juga dijangka mengalihkan tumpuan ramai penonton daripada Netflix, menurut penganalisis.
Bagi mendorong fasa pertumbuhan seterusnya, Netflix pada Mei mengumumkan rancangan membina wadah teknologi iklan dalamannya sendiri, yang akan menawarkan pemilik perniagaan lebih banyak cara untuk membeli iklan, selain mengukur prestasi iklan mereka.
Ia dikatakan cenderung memilih syarikat Microsoft untuk membina “tulang belakang” bagi wadah iklan tersebut. –Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg