Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Luaskan niaga ayam di pasar secara digital

Oct 9, 2021 | 5:30 AM
HASIL BERBALOI: Encik Mohammed Rasul Sheikh Mohammed (kiri), bersama kakaknya, Cik Banu Bibi, yang tidak pernah terlintas menggunakan teknologi dalam perniagaan, mendapati usaha meneroka wadah dalam talian memberikan hasil yang baik. - Foto BH oleh ONG WEE JIN
HASIL BERBALOI: Encik Mohammed Rasul Sheikh Mohammed (kiri), bersama kakaknya, Cik Banu Bibi, yang tidak pernah terlintas menggunakan teknologi dalam perniagaan, mendapati usaha meneroka wadah dalam talian memberikan hasil yang baik. - Foto BH oleh ONG WEE JIN -

Sementara pandemik Covid-19 masih lagi belum kelihatan penghujungnya, seruan untuk melaksanakan pendigitalan terus bergema di minda banyak perniagaan yang perlu mencari cara merancakkan niaga. Perniagaan tradisional di pasar-pasar basah tidak terkecuali dalam usaha ini. BERITA HARIAN memaparkan dua profil perniagaan yang telah mengalami sendiri manfaat pendigitalan.

SEJAK 22 tahun lalu, perniagaan keluarga gerai menjual ayam, Dollah Milah Tekka Chicken Stall, di Pasar Tekka, beroperasi secara tradisional.

Malah, generasi kedua pemilik gerai itu - Encik Mohammed Rasul Sheikh Mohammed, 43 tahun; abangnya, Sheikh Abdullah Sheikh Mohammed, 50 tahun; dan Cik Banu Bibi, 52 tahun; - tidak terlintas untuk memanfaatkan teknologi dan wadah dalam talian.

Namun apabila tiba peluang untuk menawarkan produk ayam segar mereka menerusi dalam talian, tiga beradik yang mengambil alih perniagaan ibu bapa mereka itu memutuskan tiba masanya untuk mendigitalkan perniagaan.

Kini perniagaan mereka lebih rancak dengan produk ditawarkan di wadah Tada Fresh and Grab Mart.

Ekoran permintaan dalam talian yang semakin meningkat, khususnya, di tengah-tengah pandemik Covid-19, tempahan gerai itu melonjak sehingga 60 peratus.

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Mohammed Rasul berkata sejak berlakunya pandemik, sebagai peniaga, ada kekhuatiran yang bekalan ayam tidak akan terjual dengan lebih ramai yang takut-takut keluar rumah.

Kebimbangan ini lebih ketara semasa Singapura melaksanakan tempoh pemutus litar pada tahun lalu, jelas beliau.

"Semasa tempoh pemutus litar, kami agak bimbang yang stok ayam kami tidak akan terjual sebab pada masa itu orang ramai tidak banyak keluar apatah lagi ke pasar basah.

"Selepas tempoh itu, pelanggan tetap kami terus datang dan beli dari kami.

"Namun lebih ramai datang pada hujung minggu, manakala pada hari biasa agak berkurangan," ujarnya.

Lantaran itu, apabila mendapat tahu tentang khidmat yang ditawarkan oleh laman web Tada Fresh, mereka bertiga tidak berfikir dua kali dan terus merebut peluang itu.

"Memang kami tidak mempunyai jangkaan tinggi. Kami menganggapnya sebagai satu saluran alternatif untuk menjual ayam segar kami.

"Jadi kami fikir kalau ada rezeki lebih, Alhamdulilah," terang Encik Mohammed Rasul.

Selain dari laman web itu, adik-beradik peniaga itu juga berjinak-jinak menggunakan wadah Grab Mart.

Hasil memanfaatkan wadah digital itu ternyata di luar jangkaan mereka, kongsi Encik Mohammed Rasul.

"Misalnya, di Tada, kami cuma menjangkakan kurang 10 tempahan. Bagaimanapun, tempahan kami terima adakala sehingga 30 sehari, paling kurang sekitar 13 tempahan.

"Meskipun sudah masuk setahun lebih kami menawarkan secara dalam talian, perangkaan agak konsisten jadi kami amat bersyukur," jelasnya.

Apakah nasihat beliau kepada rakan peniaga yang masih keberatan untuk meneroka pendigitalan, Encik Mohammed Rasul berkata beliau menggalak mereka agar mempertingkatkan perniagaan mereka.

Ini memandangkan trend pembelian dan pengguna sudah berubah.

"Zaman sekarang ramai anak muda tidak ke pasar basah, hanya golongan ibu-ibu kita atau wanita lebih berusia.

"Anak-anak muda sekarang lebih suka membeli barangan menerusi dalam talian atau paling tidak, mereka ke pasaraya.

"Jadi walaupun anda ada kedai, dengan kehadiran dalam talian, ada juga peningkatan dalam perniagaan," tambahnya.

SEKILAS SOKONGAN UNTUK PENDIGITALAN

  1. Program 'SME Go Digital'
  2. Skim 'Grow Digital'
  3. Geran Huraian Produktiviti (PSG)
  4. Geran Pembangunan Perusahaan
  5. Program Pemimpin Digital
  6. Bonus Daya Tahan Digital (DRB)
  7. Hab Digital Tech SME
  8. Pakej Rangsangan E-Perniagaan
  9. Pakej Rangsangan E-Penghantaran
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg