Beberapa peniaga telah menyaksikan kesan positif seperti peningkatan pelanggan dan penjualan menyusuli pembukaan tujuh stesen MRT di bawah Tahap Empat Laluan Thomson-East Coast (TEL4).
Mereka yang ditinjau Berita Harian berkata bahawa jumlah pelanggan mereka bertambah antara 10 peratus dengan 40 peratus.
Menjangkau 10.8 kilometer, tujuh stesen MRT baru – Tanjong Rhu, Taman Katong, Tanjong Katong, Marine Parade, Marine Terrace, Siglap dan Bayshore – dibuka pada 21 Jun.
Antara peniaga yang meraih manfaat daripada pembukaan stesen baru ialah Cik Noorsiah Ibrahim, pemilik gerai Mim’s Spices di Pasar dan Pusat Penjaja Marine Terrace, berdekatan stesen MRT Marine Terrace.
Menurut beliau, kawasan kejiranan itu menjadi lebih riuh dengan kunjungan penduduk dari Woodlands dan Punggol.
“Kami menerima agak ramai pengunjung pada hari pembukaan stesen MRT. Ia agak sibuk pada Ahad (hari pembukaan stesen baru), sekitar 10 peratus peningkatan jumlah pelanggan,” jelas Cik Noorsiah, 44 tahun.
“Setakat ini, peningkatan jualan harian kami adalah antara $50 dengan $80,” tambah beliau, yang turut berkongsi bahawa waktu operasi kedainya kini terpaksa dilanjutkan kerana beliau masih menerima pelanggan selepas waktu operasinya pada 11 pagi.
Dengan peningkatan bilangan pelanggan, para peniaga yang ditinjau berkata kini terdapat keperluan untuk mengambil langkah dan strategi bagi memenuhi permintaan pelanggan yang bertambah.
Pemilik kedai Aziza Putu Piring, Encik Rahamad Jabbar, yang sebelum ini pelanggannya merupakan golongan pekerja, kini menerima “semakin ramai pelanggan berkeluarga” selepas pembukaan stesen MRT Marine Parade.
“Jumlah pelanggan yang saya terima meningkat sebanyak 40 peratus,” kongsi Encik Rahamad, yang sudah lima tahun menguruskan perniagaannya di Pasar dan Pusat Penjaja Marine Parade di Marine Parade Central.
Peniaga 32 tahun itu menjangkakan permintaan akan lebih rancak kerana lokasi kedainya yang strategik menghadap pintu keluar stesen Marine Parade, terletak benar-benar di luar pusat penjaja.
Justeru, Encik Rahamad antara lain merancang meningkatkan jualan pisang goreng di samping menyediakan lebih banyak makanan.
Namun, tidak semua peniaga mengambil tindakan segera dan langkah tambahan seperti Encik Rahamad.
Encik Muhamad Syuhadak Surhan, ketua tukang gunting rambut di Albatross Barbershop yang melihat peningkatan jumlah pelanggan sebanyak 20 peratus, berkongsi bahawa beliau “tidak mempunyai sebarang rancangan untuk meningkatkan operasi seperti melanjutkan waktu operasi buat masa ini”.
“Namun, kami akan memikirkannya pada masa akan datang,” tambah beliau, yang mahu memantau dahulu prestasi perniagaannya dekat dengan MRT Marine Terrace itu dalam beberapa bulan mendatang.
Walaupun ramai menyatakan bahawa akses yang dipertingkat telah menghubungkan penduduk dari utara ke timur serta mendorong peningkatan ketara dalam jumlah pelanggan dan kegiatan perniagaan, ada peniaga berkata bahawa masih terlalu awal untuk menentukan kesan penuh terhadap prestasi perniagaan mereka.
Dalam pada itu, terdapat juga sesetengah peniaga yang tidak mengalami sebarang perubahan dalam perniagaan mereka.
Misalnya, Cik Suhana Mohamed, yang menguruskan kedai Lambaian Kasih Bonda berhampiran kedai Cik Noorsiah, berkata penjualannya sama seperti sebelum pembukaan stesen MRT Marine Terrace.
“Sering kali yang datang ialah pelanggan tetap dan mereka yang tinggal berdekatan sahaja,” ujar Cik Suhana, yang menjual barangan kering dan barangan dalam tin.
Walaupun beliau melihat pelanggan baru seperti penduduk dari Woodlands, beliau tidak melihat peningkatan dalam penjualannya dan akur bahawa “pasaran bagi barangan kering dan dalam tin tidak semaju dan selaris perniagaan lain”.
Beliau berpendapat kerancakan perniagaan turut bergantung kepada faktor lain seperti jenis barangan yang dijual.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg