Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dulu belum pasti...kini sudah ada wadah tempahan 'online' sendiri

Oct 9, 2021 | 5:30 AM
NIAGA KELUARGA: (Dari kiri) Pemilik kedai, Cik Maslinda Mansuri bersama anggota keluarganya yang juga bekerja dengannya - kakaknya, Cik Maisarah Mansuri; ibunya, Cik Sarintan Kanting; dan makcik, Cik Junainah Kanting. - Foto BH oleh KEVIN LIM
NIAGA KELUARGA: (Dari kiri) Pemilik kedai, Cik Maslinda Mansuri bersama anggota keluarganya yang juga bekerja dengannya - kakaknya, Cik Maisarah Mansuri; ibunya, Cik Sarintan Kanting; dan makcik, Cik Junainah Kanting. - Foto BH oleh KEVIN LIM -

APABILA pandemik melanda tahun lalu, Cik Maslinda Mansuri yang mengendalikan kedai produk beku di Pasar dan Pusat Makanan Bedok, menerima banyak permintaan pelanggan untuk tempahan dalam talian serta penghantaran.

Meskipun tidak begitu bijak teknologi, Cik Maslinda, 38 tahun, memberanikan diri dan mengambil langkah berani meneroka dunia dalam talian.

Sebagai permulaan, beliau mencuba-cuba mengambil tempahan menerusi Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Ini terus merangsang permintaan pelanggan dan merintis jalan untuknya memulakan wadah dalam talian bagi kedai Nenek Intan Frozen Foods serta menawarkan khidmat penghantaran.

Disebabkan permintaan yang menggalakkan itu juga, Cik Maslinda berkata satu unit kedainya itu tidak mencukupi bagi menampung bekalan produknya lantas beliau meluaskan kedainya dengan menyewa dua lagi unit kedai.

Menjelaskan lebih lanjut tentang pengalamannya itu, ibu empat anak itu yang membuka kedainya lima tahun lalu berkata:

"Semasa berlakunya krisis Covid-19, ramai pelanggan kami meminta kami untuk menghantar produk serta mengambil tempahan dalam talian.

"Pada masa itu, kami tidak pasti bagaimana prosesnya atau bagaimana untuk melakukannya.

"Jadi kami cuba-cuba dahulu di Facebook, buat promosi dan ambil tempahan.

"Sebab kami juga sedar semasa itu perniagaan juga agak lembap. Disebabkan pasar ini dihadang, ramai fikir ia ditutup jadi ramai yang tidak ke sini."

Kini selain daripada mempunyai wadah tempahan dalam talian kendaliannya sendiri, beliau juga menyertai wadah seperti Tada Fresh.

"Paling penting ialah di tengah-tengah pandemik ini dan masa sukar, kami mahu menawarkan kemudahan kepada pelanggan kami jadi mereka tidak perlu keluar untuk beli barang, jimat masa dan tenaga," terang Cik Maslinda yang berhenti pekerjaan sepenuh masa untuk berniaga sepenuh masa tiga tahun lalu selepas perniagaannya itu dikendalikan oleh ibunya sebelumnya.

Kini penjualan dari wadah dalam talian menyumbang kepada 60 peratus penjualan keseluruhan, dan 40 peratus dari kedai.

Sebelum ini, Cik Maslinda telah memulakan usaha pendigitalan perniagaannya dengan menggunakan sistem E-Pos dan sistem pengawanan (cloud).

Contohnya, pelanggannya boleh menggunakan kaedah bayaran seperti PayNow dan AliPay meskipun kedainya di pasar.

Selain itu, beliau telah memanfaatkan teknologi untuk memudahkannya memantau penjualan dan inventori dari mana sahaja.

"Pendigitalan banyak membantu perniagaan kami. Saya dapat memantau penjualan dan inventori kami dari rumah atau mana-mana sahaja serta membuat keputusan strategik.

"Ini sekaligus membolehkan setiap pekerja memberi tumpuan kepada tugas masing-masing," tambahnya.

Menyentuh tentang cabaran dihadapi ekoran pandemik, Cik Maslinda berkata masalah utama ialah kekurangan bekalan kerana pembekal berdepan dengan cabaran memperolehi bekalan disebabkan oleh tenaga kerja, pengiriman tertangguh dan kos meningkat.

"Sehingga sekarang banyak produk kami yang tiada bekalan, seperti ada makanan ringan popular tiada bekalan selama tiga bulan.

"Banyak kilang luar negara hadapi cabaran disebabkan pandemik," kongsinya.

Namun, mujur disebabkan kedainya ada dalam dan luar talian, penjualan keseluruhan tidak begitu banyak terjejas, kata Cik Maslinda.

"Kami tahu pandemik ini tidak menentu. Justeru dalam berjualan, kami juga mahu membantu masyarakat menerusi kerjasama dengan baucar CDC dan membolehkan penggunaan baucar fidyah untuk keluarga memerlukan," ujar beliau.

"Pendigitalan banyak membantu perniagaan kami. Saya dapat memantau penjualan dan inventori kami dari rumah atau mana-mana sahaja serta membuat keputusan strategik. "Ini sekaligus membolehkan setiap pekerja memberi tumpuan kepada tugas masing-masing.'' - Cik Maslinda Mansuri

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg