APABILA wabak Covid-19 berlaku, khidmat pengurup disediakan syarikat International Exchange Company milik Encik Abdul Qadir Abdul Rahim yang terletak di Peninsula Plaza terjejas teruk.
Khidmat itu menyumbang 40 peratus daripada penjualan syarikat itu.
Mujur syarikat itu sudah lama menawarkan khidmat pemindahan duit ke luar negara (remittance) yang membantu menyokong perniagaan tersebut.
Encik Qadir, 70 tahun, merupakan seorang mantan banker dengan bank milik Switzerland, Habib Bank AG Zurich selama 17 tahun. Sejak menyertai bank itu pada 1973, beliau yang mempunyai pengalaman bekerja di Dubai dan Colombo, diamanahkan menjadi Ketua Kewangan dan Pengurus Cawangan bank.
Beliau kemudian dilantik oleh bank itu untuk bekerja di anak syarikat bank, HBZ International Exchange Company sebagai Pengurus Negeri dari 1991 hingga 2017.
Pada 2017, beliau diberi perkongsian saham oleh bank untuk mengambil alih HBZ dan kemudian menamakannya International Exchange Company.
Dengan pengalaman yang lama, beliau mempunyai ramai pelanggan tetap yang setia bersama mereka.
"Sebelum Covid-19, perniagaan pengurup kami amat laris. Kami mempunyai ramai pelancong dan juga pelanggan korporat dari negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, Vietnam dan India yang datang ke Singapura. Sebagai pemborong, mereka membeli barangan elektronik dari Singapura dan membawa wang tunai yang banyak bagi menukar dolar Singapura di kedai kami. Perniagaan itu terhenti sejak Covid-19 melanda,'' ujarnya.
Sejak 40 tahun lalu, syarikat itu juga telah menawarkan khidmat pemindahan wang ke luar negara. Sebagai ejen syarikat Western Union, syarikat itu berupaya menyediakan khidmat itu ke seluruh negara di dunia hasil kerja sama dengan bank-bank.
"Perniagaan pemindahan wang ini membantu menyokong perniagaan kami untuk terus menakat. Kami menarik ramai pembantu rumah dan pekerja asing yang menggunakan khidmat kami. Mereka mempunyai kepercayaan terhadap kami kerana telah menjadi pelanggan kami sekian lama,'' ujar Encik Qadir.
Meskipun syarikat itu terpaksa berhadapan dengan persaingan sengit dari institusi kewangan dan firma teknologi kewangan (fintech) yang menawarkan khidmat itu dalam talian, beliau berkata 'kadang-kala mereka lebih inginkan sentuhan peribadi dalam melakukan urus niaga itu meskipun boleh melakukannya dalam talian.'
Meskipun demikian, bagi memudahkan pelanggannya, beliau menyediakan khidmat Paynow yang membolehkan pelanggan memindahkan duit mereka secara digital.
"Kami juga menghadapi persaingan daripada bank yang tidak kenakan sebarang bayaran khidmat bagi pemindahan wang secara digital. Tetapi, apa yang membantu kami ialah kadar kami biasanya adalah lebih baik dan ia menarik bagi pelanggan kami,'' katanya.
Khidmat pemindahan wang ke luar negara memerlukan Lesen Khidmat Pembayaran di bawah Akta Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Oleh itu, pengurup tidak dibenarkan menyediakan khidmat pemindahan wang kecuali mereka bermohon mendapatkan lesen itu, kata Encik Qadir, yang mempunyai lima orang kakitangan, berbanding lapan sebelum Covid-19.
"Perniagaan pemindahan wang ini membantu menyokong perniagaan kami untuk terus menakat. Kami menarik ramai pembantu rumah dan pekerja asing yang menggunakan khidmat kami. Mereka mempunyai kepercayaan terhadap kami kerana telah menjadi pelanggan kami sekian lama,' ... "Kadang-kala, mereka lebih inginkan sentuhan peribadi dalam melakukan urus niaga itu meskipun boleh melakukannya dalam talian.'' - Encik Abdul Qadir Abdul Rahim


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg