Pemberhentian pekerjaan di Singapura telah meningkat lebih seganda pada suku kedua tahun ini, dengan seramai 8,130 pekerja diberhentikan pada suku kedua yang berakhir Jun lalu, berbanding 3,220 pada suku pertama tahun ini, menurut perangkaan terbaru yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM). Dengan bilangan pemberhentian pekerja dijangka terus meningkat, banyak usaha dijalankan bagi membantu golongan yang diberhentikan. Mereke yang diberhentikan kerja juga telah menunjukkan semangat yang kental untuk bangkit semula demi menyara kehidupan keluarga. BERITA MINGGU (BM) meninjau.
BUKAN sekali tetapi sebanyak dua kali Encik Isman Abdul Rahman diberhentikan kerja.
Tetapi, pemberhentian kerja yang terbaru ini amat 'parah' bagi bapa lima orang anak itu yang menjadi satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga. Isterinya seorang suri rumah.
Apabila diberhentikan sebagai seorang pengarah operasi di sebuah syarikat Korea Selatan Julai lalu, beliau tertanya 'mengapa aku diberhentikan lagi?'
"Saya diberhentikan buat pertama kali pada 2004 setelah empat tahun bekerja sebagai seorang pengurus mutu dan keselamatan. Apabila diberhentikan sekali lagi Julai lalu, saya tertanya mengapa ia berlaku kepada diri saya lagi. Ia amat sukar. Tanggungan lebih besar. Anak lima dan tiga masih bersekolah. Isteri tidak bekerja. Rumah masionet. Masa kali pertama saya diberhentikan, anak hanya dua,'' kongsinya.
Tetapi, beliau tidak boleh berpatah hati.
Segala macam usaha dilakukan untuk mendapat kerja termasuk belajar membuat resume yang baik dan meningkatkan penjenamaannya dalam media sosial seperti LinkedIn.
Sekitar 300 permohonan kerja telah dihantar, sekitar 30 temu duga telah dilalui.
Tetapi karyawan berusia 48 tahun yang memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) sering kali kecewa apabila pegawai yang menemu duga menyatakan beliau mempunyai kelayakan terlalu tinggi.
"Saya amat terbuka untuk menceburi bidang baru. Setelah sekian lama bekerja dalam bidang korporat, saya sanggup bekerja dalam bidang lain. Saya juga tidak kisah jika gaji diberikan lebih rendah. Kalau gaji diberikan adalah kurang separuh daripada gaji lima angka saya terima sebelum ini, pun saya terima.
"Tetapi, setiap kali pergi ke temu duga, bakal majikan, mereka tidak beri saya peluang. Mereka kata kelayakan saya terlalu tinggi.
"Ia bagai satu tamparan kepada diri saya. Yang saya perlukan hanya kerja yang stabil untuk beri anak isteri makan. Tipu jika saya kata ego saya tidak terjejas. Mujur sebagai orang Islam kita tahu qada' dan qadar. Isteri saya juga amat teguh dalam memberikan saya sokongan,'' kata Encik Isman.
Beliau terbuka menyertai latihan di bawah pakej SGUnited cuma beliau berharap selepas enam bulan menjalani latihan, kerja dapat dijamin.
Berbeza dengan lepasan sekolah, beliau berkata karyawan sepertinya yang mempunyai keluarga untuk dijaga, perlu memastikan ada pekerjaan menanti mereka selepas menjalani latihan.
Untuk menanggung keluarganya, Encik Isman mengambil lesen memandu Grab dan menjual nasi lemak secara kecil-kecilan bersama isterinya.
Pendapatan memandu Grab jauh dari jumlah pendapatan yang diterima sebelum ini.
"Kehidupan kami berubah. Kalau dulu, kita boleh makan di luar sesuka hati, Kini, dah tak boleh lagi. Sambut ulang tahun anak juga di rumah sahaja,'' kata Encik Isman.
Baru-baru ini, beliau menerima tawaran bekerja sebagai seorang pegawai pemeriksaan (audit dan pemeriksaan) sementara untuk setahun.
"Saya amat bersyukur mendapat tawaran kerja. Pertama kali pegawai yang temu duga tidak kata kelayakan saya terlalu tinggi. Gaji $4,000 saya terima dengan hati terbuka. Harap-harap saya dapat tunjukkan kelakonan baik dan setelah setahun, saya harap dapat diberi tugas sepenuh masa,'' tambah Encik Isman mengharap.
" ... Setiap kali pergi ke temu duga, bakal majikan, mereka tidak beri saya peluang. Mereka kata kelayakan saya terlalu tinggi. Ia bagai satu tamparan kepada diri saya. Yang saya perlukan hanya kerja yang stabil untuk beri anak isteri makan. Tipu jika saya kata ego saya tidak terjejas. Mujur sebagai orang Islam kita tahu qada' dan qadar. Isteri saya juga amat teguh dalam memberikan saya sokongan. - Encik Isman Abdul Rahman.
TINGKATKAN PELUANG DAPAT PEKERJAAN BARU
Panduan daripada Konsultan Kanan (Unit Pendekatan Pihak Berkepentingan, Divisyen Khidmat Kerjaya) di agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG), Cik Rasidah Rasid:
Panduan dari pengasas Tin Communications, Cik Kartina Rosli:
Bagi mereka yang mencari pekerjaan, 90 peratus mereka yang menggajikan pekerja menggunakan media sosial LinkedIn untuk mencari calon yang tepat.
Justeru ia merupakan satu 'pelaburan' yang bermanfaat untuk membuat penjenamaan peribadi yang menarik di wadah seperti LinkedIn. Berikut adalah beberapa panduan meningkatkan jenama peribadi di LinkedIn.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg