Panel gesa Belanjawan perkukuh latihan AI, sokong SME
Walaupun kecerdasan buatan (AI) bakal memacu peningkatan dari segi kecekapan dan daya penghasilan, latihan diperlukan bagi memastikan tenaga kerja bersedia, menurut satu panel menjelang Belanjawan.
Sesi perbincangan anjuran Institut Akauntan Bertauliah Singapura (ISCA) pada 6 Februari itu turut menggesa diadakan sokongan tambahan bagi perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang terus berdepan cabaran harian seperti peluasan ke pasaran luar negara dan peralihan digital.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Karyawan Sumber Manusia (IHRP), Encik Aslam Sardar, memberi amaran bahawa tenaga kerja berisiko ketinggalan teknologi, dan menggesa pemimpin perniagaan agar bekerjasama dengan pasukan sumber manusia untuk mempersiapkan pekerja dalam memanfaatkan teknologi baru.
“Selalunya, syarikat menerapkan teknologi tetapi tidak meraih daya penghasilan sepenuhnya kerana tenaga kerja tidak cukup terlatih dan bersedia,” katanya.
Beliau berkata semakin banyak syarikat sedang menubuhkan pasukan petugas untuk mengkaji cara meraih faedah daripada AI.
Tumpuan syarikat kini beralih daripada penggunaan kepada pelaksanaan AI dalam aliran kerja serta program peningkatan kemahiran pekerja dengan kerjasama pemimpin sumber manusia, tambahnya.
Rakan kongsi dan Ketua Bahagian Cukai di KPMG Singapura, Encik Ajay Sanganeria, berkata banyak firma melantik ketua bahagian AI bagi memacu kecekapan, namun kejayaan langkah itu memerlukan usaha terselaras serta kepimpinan yang memahami pelaksanaan AI secara beretika, agar selari dengan matlamat sebuah pertubuhan.
Beliau menekankan jurang kemahiran dalam menggabungkan AI ke dalam tugas harian.
“Jurang ini bukan berkaitan pembinaan model AI, sebaliknya ia mengenai kemahiran praktikal seperti memberi arahan tepat kepada AI, meneliti hasilnya dan membuat pertimbangan wajar,” katanya.
Tambahnya, pertubuhan perlu menumpukan perhatian pada dua perkara – membolehkan perusahaan menggunakan AI dengan berkesan, dan melengkapkan pekerja dengan kemahiran untuk menggunakannya dengan yakin.
Ketua Ekonomi OCBC Bank, Cik Selena Ling, berkata walaupun AI menjanjikan peningkatan daya penghasilan, teknologi itu mungkin secara senyap menggantikan jawatan peringkat permulaan, latihan amali dan pekerjaan latihan siswazah, jenis jawatan di mana orang biasanya mempelajari asas pekerjaan.
Jika peluang awal bagi pekerja muda itu menyusut, dalam lima hingga 10 tahun akan datang mungkin berlaku kekurangan tenaga berpengalaman untuk mengisi jawatan pertengahan kerjaya, katanya.
Presiden Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME), Encik Ang Yuit, turut membangkitkan kebimbangan mengenai AI dan sistem agentik – ejen yang berpotensi menggantikan pekerja peringkat permulaan dan pekerja muda, sekali gus menimbulkan cabaran pekerjaan.
Cik Ling berkata kursus AI di bawah SkillsFuture perlu lebih disesuaikan dan mencadangkan kredit khas bagi AI.
Presiden Persatuan Komputer Singapura (SCS), Cik Lim Bee Kwan, berkata penggunaan AI masih tertumpu kepada daya penghasilan individu dan syarikat perlu menilai bagaimana ia mengubah proses kerja.
Kata beliau, pemerintah boleh membantu syarikat kecil menerapkan pendigitalan, dan menimbangkan pendekatan jenis ekosistem, atau mencipta platform yang sama untuk melancarkan aliran proses.
Panel itu turut membincangkan cabaran berterusan SME, termasuk tekanan sewa, tekanan gaji, kekangan kredit dan bekalan tenaga kerja.
Encik Ang berkata isu ini memerlukan pendekatan lebih tersusun berbanding geran atau baucar, sambil menambah, perubahan perusahaan kurang diberi perhatian.
Sokongan bagi syarikat yang ingin mempelbagaikan pasaran luar negara turut dibincangkan.
Ketua Dasar di Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Musa Fazal, berkata satu daripada tiga syarikat telah memasuki pasaran baru, dengan Asean sering menjadi destinasi pertama.
Namun had $100,000 di bawah Geran Bantuan Kesediaan Pasaran (MRA) mungkin tidak mencukupi kerana kos penerokaan boleh lebih tinggi.
Pengarah Dewan Perniagaan dan Perusahaan India Singapura (SICCI), Encik Maneesh Tripathi, berkata aliran tunai ketat sering memaksa syarikat menghentikan operasi dan menggesa kelonggaran dalam klausa penamatan awal kontrak.
Beliau turut memuji pelbagai inisiatif Enterprise Singapore (EnterpriseSG), termasuk skim perkongsian risiko pinjaman bagi menyokong pembiayaan SME.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dijangka membentangkan Belanjawan 2026 pada 12 Februari, dengan isu tekanan kos, ketidaktentuan dunia dan kesan teknologi antara tumpuan utama.

