Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelbagai cara tingkat pendapatan ke arah simpanan lebih besar

Sep 9, 2024 | 5:30 AM
Encik Sani Hamid memberi nasihat tentang cara meningkatkan pendapatan dan mengembangkan aset.
Encik Sani Hamid memberi nasihat tentang cara meningkatkan pendapatan dan mengembangkan aset. - Foto fail

SOALAN: Gaji saya rendah pada sekitar $3,000 sebulan dan saya mempunyai komitmen seperti menanggung keperluan pendidikan anak-anak dan juga penjagaan ibu bapa. Apa cara terbaik untuk mengembangkan pendapatan dan simpanan tanpa risiko besar agar saya dapat mencapai kebebasan kewangan?

JAWAPAN: Cara terpantas untuk mengembangkan pendapatan dan simpanan mungkin adalah dengan cuba menambah bahagian pendapatan anda.

Biasanya, individu mempunyai apa yang kita panggil pendapatan dan perbelanjaan.

Pendapatan selepas ditolak perbelanjaan adalah baki wang anda.

Jika anda membawa pulang gaji $3,000 dan anda membelanjakan $2,000, anda mempunyai baki $1,000.

Kemudian $1,000 itu anda boleh melabur untuk cuba mengembangkan aset anda.

Anda boleh cuba mengembangkannya melalui pelaburan, sama ada amanah saham atau apa sahaja, dan kemudian anda kembangkan aset itu.

Usaha mengembangkan aset adalah lebih perlahan berbanding usaha meningkatkan pendapatan.

Biar saya jelaskan.

Jika anda mempunyai simpanan $10,000 hari ini, dan anda melaburkannya ke dalam sesuatu yang menjana keuntungan, katakan 10 peratus setahun, pada akhir 12 bulan, $10,000 itu meningkat kepada $11,000, yang bermakna anda meraih keuntungan $1,000.

Jika anda melakukan pekerjaan tambahan yang memberi anda tambahan $500 sebulan, dan anda darab $500 itu dengan 12 bulan, sebagai contoh, ialah $6,000.

Oleh itu, $6,000 adalah pendapatan tambahan, berbanding $1,000 yang juga merupakan pendapatan tambahan tetapi datang daripada pelaburan anda.

Apa yang saya ingin katakan ialah ia mungkin memenatkan tetapi cara terpantas, dan apa yang boleh dikatakan cara paling selamat – kerana pelaburan boleh turun jika anda mengambil terlalu banyak risiko – adalah melakukan kerja tambahan.

Ini mungkin seperti memandu kereta sewa privet atau berniaga dalam talian atau bekerja lebih masa jika anda boleh, maka anda akan mendapati bahawa pendapatan anda akan meningkat.

Pasti akan ada pengorbanan, yang bermakna anda mempunyai kurang masa untuk keluarga dan sebagainya.

Tetapi usaha menambah pendapatan melalui pelbagai sumber pendapatan adalah cara lebih cepat berbanding dengan melabur untuk mengembangkan pendapatan anda.

Namun, usaha meningkatkan pendapatan seseorang tidak semestinya memerlukan anda melakukan pekerjaan tambahan selepas waktu bekerja dan sebagainya.

Kenaikan pendapatan boleh berlaku dalam pekerjaan sama yang anda miliki tetapi ia akan mengambil jangka masa lebih panjang dan anda perlu meningkatkan kemahiran.

Oleh itu, anda naik pangkat daripada pekerja kepada penyelia, pengurus dan jawatan lebih tinggi.

Setiap kali anda naik pangkat dan gred, anda akan mendapati gaji anda semakin tinggi, dan anda juga mempelajari kemahiran baru dan sebagainya.

Itu juga langkah meningkatkan pendapatan selain pelaburan dan mengembangkan sumber pendapatan anda.

Tetapi ia mengambil masa lebih lama dibandingkan dengan cara lain, contohnya, apabila anda melakukan kerja tambahan untuk meningkatkan pendapatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg