Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pencipta aplikasi Muslim Pro dapat suntikan dana AS$20j

Bitsmedia peroleh dana dalam pusingan pembiayaan dana Siri A; akan diguna antaranya bagi kembangkan keupayaan AI
Dec 7, 2023 | 4:33 PM
TERIMA SUNTIKAN DANA: Dari atas (kiri ke kanan): Pengarah Urusan Bitsmedia, Encik Nafees Khundker; CEO  Bitsmedia, Cik Faradilla Abdullah; Rakan Kongsi Pengurusan CMIA Capital Partners, Encik Lee Chong Min; Rakan Kongsi Pengurusan Gobi (Malaysia), Encik Jamaludin Bujang; dan Pengasas dan CEO Bintang, Encik Johan Rozali-Wathooth.
TERIMA SUNTIKAN DANA: Dari atas (kiri ke kanan): Pengarah Urusan Bitsmedia, Encik Nafees Khundker; CEO Bitsmedia, Cik Faradilla Abdullah; Rakan Kongsi Pengurusan CMIA Capital Partners, Encik Lee Chong Min; Rakan Kongsi Pengurusan Gobi (Malaysia), Encik Jamaludin Bujang; dan Pengasas dan CEO Bintang, Encik Johan Rozali-Wathooth. - Foto BITSMEDIA

Bitsmedia, pencipta aplikasi gaya hidup Muslim yang popular, Muslim Pro, telah berjaya memperoleh AS$20 juta ($26.8 juta) dalam pusingan pembiayaan dana Siri A.  

Pembiayaan dana diberikan oleh firma penyedia modal yang memberi tumpuan kepada perniagaan di Asia, Gobi Partners, di samping pelabur sedia ada, iaitu CMIA Capital Partners dan Bintang Capital Partners.

Menurut satu kenyataan akhbar Bitsmedia pada 7 Disember, dana yang baru disuntik itu akan digunakan khususnya dalam memajukan keupayaan Kecerdasan Buatan (AI) dan memperkaya kandungan di wadah penstriman Bitsmedia, Qalbox.

Kandungan Qalbox antara lain meraikan pelbagai identiti dan budaya Muslim di peringkat sejagat.

Di samping itu, dana tersebut akan turut dimanfaatkan untuk menghasilkan pelbagai ciri pendidikan secara berterusan dan menambah baik pengalaman masyarakat Islam dalam membaca dan mendampingi Al-Quran di aplikasi Muslim Pro, kata kenyataan itu.

Pembiayaan dana Siri A merujuk kepada pusingan pertama pembiayaan dana daripada penyedia modal bagi sesebuah syarikat baru.

Berpangkalan di Singapura, Bitsmedia menawarkan ciri-ciri keagamaan Islam, di samping gaya hidup dan komuniti yang komprehensif buat umat Islam sebagai inspirasi kepada mereka untuk menjadi Muslim lebih baik.

Dalam kenyataan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bitsmedia, Cik Faradilla Abdullah, berkata: “Visi kami bagi Muslim Pro adalah untuk ia berkembang menjadi wadah komprehensif yang memenuhi pelbagai keperluan masyarakat Islam.

“Ini menandakan permulaan komitmen kami untuk menambah baik pengalaman Muslim (yang mengguna wadah ini) dan menjalin hubungan lebih mendalam dalam kehidupan mereka.”

Pengarah Urusan Bitsmedia, Encik Nafees Khundker, berkata pelaburan dana itu menjadi bukti komitmen syarikat itu untuk meneroka sempadan inovasi dan meluaskan jangkauan untuk memasuki pasaran antarabangsa utama seperti Amerika Syarikat, Britain, Indonesia dan Malaysia, serta wilayah baru di negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

CMIA Capital Partners dan Bintang Capital Partners telah melabur dalam Bitsmedia sejak 2017.

Sejak itu Bitsmedia telah berkembang daripada menyediakan aplikasi komuniti yang berkisar kepada Al-Quran, kiblat, waktu solat dan ciri-ciri lain kepada satu wadah yang menerapkan gaya hidup, pengetahuan, dan pelbagai perkhidmatan yang memenuhi keperluan masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg