Pendapatan boleh diagih Dana Amanah Pelaburan Hartanah (Reit) Keppel jatuh 1.9 peratus kepada $160.6 juta bagi sembilan bulan pertama tahun ini, terutama disebabkan oleh kos pinjaman yang lebih tinggi, kata pengurus Reit itu pada 22 Oktober.
Ini termasuk pengagihan ulang tahun sebanyak $15 juta yang sama dengan tempoh yang sama pada 2023.
Pendapatan hartanah bersih (NPI) untuk sembilan bulan pertama 2024 meningkat 10.8 peratus kepada $148.5 juta, berbanding $134 juta pada 2023.
Pertumbuhan itu berikutan prestasi operasi yang kukuh dengan kadar penghunian yang lebih tinggi di bangunan Ocean Financial Centre di Singapura dan KR Ginza II di Tokyo serta sumbangan daripada bangunan pejabat Reit, iaitu 2 Blue Street dan 255 George Street di Sydney, Australia, lapor The Business Times.
Encik Koh Wee Lih, ketua pegawai eksekutif pengurus, berkata penghunian kekal tinggi pada 98.9 peratus bagi portfolio Keppel Reit Singapura manakala NPInya untuk sembilan bulan pertama 2024 meningkat 3.8 peratus.
Bagi portfolio di Australia, penghunian terus meningkat pada suku ketiga 2024 kepada 95 peratus berbanding 93.6 peratus pada suku kedua 2024, manakala NPI bagi sembilan bulan pertama 2024 mencatatkan peningkatan kukuh sebanyak 17.4 peratus.
Dua hartanahnya di Asia Utara juga kekalkan 100 peratus penghunian dan mencatat pertumbuhan kukuh 15.5 peratus dalam NPI, kata Encik Koh.
“Melihat ke hadapan, kami kekal fokus pada pengurusan aset yang proaktif sambil mengekalkan struktur modal yang berhemat dan fleksibel untuk memberi jumlah pulangan jangka panjang yang mampan kepada pemegang unit,” tambahnya.
Sementara itu pinjaman Keppel Reit ialah pada kadar tetap merangkumi 68 peratus daripada jumlah pinjaman.
Purata jangka masa kematangan pinjaman ialah 2.9 tahun.
Sementara itu, kadar faedah keseluruhannya ialah 3.38 peratus setahun dengan nisbah perlindungan faedah diselaraskan pada 2.7 kali dan pembiayaan berfokus pada kemampanan membentuk 81 peratus daripada jumlah pinjaman, kata pengurusnya.
“Mengguna pakai pendekatan berdisiplin dan berhemat terhadap pengurusan modal, kebanyakan pinjaman yang matang pada 2024 telah dibiayai semula dan tiada keperluan pembiayaan semula yang ketara untuk baki 2024,” katanya.
Pengurus Keppel Reit menambah bahawa majoriti pinjaman yang perlu dibayar pada 2025 akan matang pada separuh pertama 2025 dengan perbincangan pembiayaan semula bermula dengan pemberi pinjaman.
Unit Keppel Reit ditutup rata pada Isnin pada $0.94.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg