Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengarah bank SG di Zurich galak timba pengalaman kerja luar negara

Apr 21, 2022 | 5:30 AM
MEKAR DI LUAR NEGARA: Encik Mohd Salim (dua dari kanan) bersama rakan-rakan sejawatannya dalam satu sidang puncak diadakan bank itu pada 2020. - Foto CITI
MEKAR DI LUAR NEGARA: Encik Mohd Salim (dua dari kanan) bersama rakan-rakan sejawatannya dalam satu sidang puncak diadakan bank itu pada 2020. - Foto CITI -

IKUT kata hati dan lakukan pengembaraan seperti yang diinginkan.

Itulah kata-kata perangsang daripada seorang warga Singapura yang telah bertugas selama 23 tahun di Switzerland dengan sebuah bank terkemuka dunia, Citi, kepada warga tempatan yang ingin bekerja di luar negara.

Dalam satu temu ramah melalui e-mel dengan Berita Harian (BH) minggu lalu, Encik Mohd Salim, yang merupakan pengarah Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) bagi Bank Privet Citi dan Pengurusan Produk Khidmat Penjagaan dan Servis Aset Pelanggan (Custody) di Zurich, berkata:

"Bagi mereka yang menimbangkan untuk bekerja di luar negara, nasihat saya ialah untuk ikut kata hati anda dan lakukan pengembaraan itu.

"Setiap peluang adalah pengalaman pembelajaran dan menjadikan anda lebih kaya. Mungkin tidak mudah untuk menyesuaikan diri pada mulanya, tetapi dengan keazaman dan ketabahan, ia akan memberi anda pengalaman yang memberikan perspektif yang berbeza dan lebih luas,'' katanya, yang berusia 50-an tahun dan mempunyai pengalaman lebih dua dekad di luar negara.

Dari 27 tahun Encik Mohd Salim bekerja dengan bank antarabangsa itu, 23 tahun diluangkan bekerja di cawangan bank itu di Switzerland.

Beliau bertanggungjawab dalam pembangunan produk khidmat penjagaan aset pelanggan dan penjualan bagi individu mewah (yang mempunyai aset yang boleh dilaburkan melebihi $30 juta) serta pejabat keluarga bagi pasaran EMEA di Zurich.

"Apabila saya menyertai Citi Singapore pada 1995 dalam bidang operasi sekuriti, saya terlibat dalam pemprosesan dan kawalan dalaman. Beberapa kali saya ke luar negara di Asia seperti Hong Kong, Malaysia dan Filipina. Pada 1999, saya ditugaskan menyemak proses operasi di Switzerland dan terlibat dalam beberapa peranan tempoh pendek di Eropah," kata Encik Salim.

Oleh kerana Switzerland merupakan pusat bagi Perbankan Privet dan EMEA, ia memberikan beliau banyak pengalaman untuk didedahkan dengan banyak jenis produk.

Lokasinya juga membolehkan beliau terdedah dengan undang-undang pasaran yang ditembusi Citi.

Setiap hari membawa pengalaman baru baginya dalam mengembangkan dan membangunkan produk.

"Ia termasuk mengharungi krisis seperti masalah hutang pada 2009/2010 yang dihadapi beberapa negara Eropah seperti Greece, Italy, Ireland, Portugal dan Sepanyol," jelasnya.

Menurutnya, cabaran utama bekerja di luar negara ialah memahami budaya dan norma negara asing itu.

"Komunikasi adalah kunci memahami dan menghormati perbezaan budaya penting jika seseorang itu ingin berjaya,'' ujarnya, yang berusia 50-an.

Berdasarkan pengalamannya bekerja lebih dua dekad di Zurich, beliau berkata penduduk Switzerland secara umum sopan santun dan suka menyendiri. Mereka juga menghormati masa dan privasi masing-masing.

"Contohnya, apabila saya mandi atau memvakum atau membersihkan rumah anda selepas jam 10 malam dianggap satu gangguan terhadap ketenteraman awam. Meskipun ia dianggap remeh bagi kita, ia merupakan satu penyesuaian serius atau anda akan mendapati terdapat pegawai polis yang berada di depan pintu rumah anda. Tetapi, ini telah mula berubah,'' katanya.

Berada di Switzerland juga memberikan peluang meneroka alam semula jadi seperti gunung-gunung yang luas di sana.

Baru-baru ini, Citi melancarkan rangkaian Overseas Singaporean Network sejajar dengan komitmen bagi membangunkan bakat tempatan. Ia bersempena dengan pemulaan ulang tahun Citi yang ke-120.

Rangkaian itu akan menyelaras dialog antara kakitangan warga Singapura Citi di luar negara dan kakitangan mereka di Singapura agar mereka dapat mendengar pengalaman rakan sejawatan mereka di luar negara.

Citi mempunyai sekitar 150 rakyat Singapura yang bekerja di 19 pasaran termasuk bandar utama seperti New York, London dan Hong Kong.

Pegawai Negara Citi bagi Singapura dan Ketua Asean, Encik Amol Gupte melahirkan komitmen untuk terus membangunkan bakat Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg