Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peniaga buat niaga logistik, kereta untuk terus menakat

Oct 10, 2021 | 5:30 AM
LAKUKAN APA SAHAJA: Encik Rafeeq bersama anaknya, Haris, telah membuka kedai menjual kereta terpakai, Brilliant Cars bagi menampung pendapatannya. - Foto ihsan RAFEEQ MOHAMED
LAKUKAN APA SAHAJA: Encik Rafeeq bersama anaknya, Haris, telah membuka kedai menjual kereta terpakai, Brilliant Cars bagi menampung pendapatannya. - Foto ihsan RAFEEQ MOHAMED -

ADA kalanya, sehari berlalu tanpa seorang pun pelanggan yang datang menukar wang di firma pengurup di Clifford Gems & Money Exchange.

Hanya pemiliknya, Encik Mohamed Rafeeq Mohamed Yusoof menanti setia di kedai menunggu pelanggan.

Kesemua tujuh pekerjanya yang lain sudah meneruskan kehidupan mereka.

Ada yang menjadi pemandu Grab, pengawal keselamatan dan ada juga yang bekerja di kedai makan.

Setiap hari yang berlalu bagai satu penantian yang perit bagi Encik Rafeeq, 47 tahun, yang meneruskan perniagaan yang merupakan legasi bapanya.

"Saya tidak boleh tutup. Ini adalah perniagaan peninggalan bapa saya. Apa yang boleh saya lakukan ialah berdoa agar keadaan akan kembali seperti sedia kala. Kalau tidak tahun ini, mungkin tahun depan. Lebih lama saya menunggu, lebih banyak wang simpanan yang sudah saya habiskan,'' keluh Encik Rafeeq, yang enggan mendedahkan kerugian yang dialami setiap bulan.

Dengan lebih ramai orang masih bekerja di rumah, kedai beliau yang terletak di pusat beli-belah Raffles City masih sunyi sepi.

Kalau pun ada pelanggan yang datang, mereka merupakan warga tempatan yang ingin menukar duit.

Beliau mengongsi pengalaman seorang pelanggan yang membeli banyak duit euro dengan harapan untuk melancong.

"Beliau sudah beli banyak euro tetapi tidak boleh melancong. Katanya, duit dolar Singapuranya pun sudah menipis, baik beliau tukar sahaja duit euronya itu,'' katanya, tergelak.

Meskipun Covid-19 sudah berlaku hampir dua tahun, beliau mengambil masa untuk mengalihkan ke perniagaan lain demi menakat.

"Setiap hari jantung saya berdegap-degup memikirkan masalah perniagaan. Hendak tidur pun susah,'' kongsinya.

Hanya dua bulan lalu, beliau memutuskan untuk membuka sebuah firma logistik, Clifford Logistic Pte Ltd, walaupun tidak ada pengalaman langsung dalam bidang ini.

Tetapi, demi penakatan, beliau sanggup melakukan apa sahaja.

Dibantu anak dan isterinya, mereka menyediakan khidmat penghantaran bagi syarikat korporat.

Beliau sendiri yang memandu kenderaan bagi membuat penghantaran dari dokumen, sampel atau apa sahaja.

"Ia adalah bidang baru bagi saya. Saya masih belajar tetapi saya rasa penting untuk saya meneruskan kehidupan,'' katanya.

Beliau juga membantu anak lelakinya, Encik Mohamed Haris Mohamaed Rafeeq, yang baru membuka perniagaan jual beli kereta terpakai yang dikenali sebagai Brilliant Cars yang kedainya terletak di 39 Woodlands Close.

"Saya masih mempunyai keyakinan sempadan antarabangsa akan dibuka kembali. Apabila ia mula dibuka, perniagaan pengurup wang saya akan kembali rancak. Itulah harapan saya,'' kata Encik Rafeeq, penuh harapan.

TIDAK MAHU MENYERAH KALAH

"Saya tidak boleh tutup. Ini adalah perniagaan peninggalan bapa saya. Apa yang boleh saya lakukan ialah berdoa agar keadaan akan kembali seperti sedia kala. Kalau tidak tahun ini, mungkin tahun depan. Lebih lama saya menunggu, lebih banyak wang simpanan yang sudah saya habiskan.'' - Encik Rafeeq

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg