Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Penjualan flat jualan semula naik pada Mei

Jumlah naik 3.2 peratus kepada 2,259 flat walau harga tumbuh lebih perlahan
Jun 08, 2023 | 05:14 PM



Lebih banyak flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bertukar tangan pada Mei di tengah-tengah pertumbuhan harga yang lebih perlahan.

Jumlah flat jualan semula meningkat 3.2 peratus kepada 2,259 flat pada Mei, berbanding April.

Berbanding dengan tempoh yang sama setahun lalu, jualan meningkat sebanyak 4.8 peratus, menurat perangkaan awal yang dikeluarkan oleh portal hartanah, 99.co dan SRX pada Khamis.

Pasaran jualan semula juga menunjukkan daya tahannya, dengan harga jualan semula HDB meningkat 0.3 peratus, turun daripada pertumbuhan 1.1 peratus yang dilihat pada April.

Secara keseluruhannya, harga flat jualan semula pada Mei naik 7.7 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Penganalisis mengaitkan peningkatan dalam jualan dan pertumbuhan harga yang lebih perlahan kepada pelbagai faktor.

Encik Nicholas Mak, ketua pegawai penyelidik di portal hartanah Mogul.sg berpendapat perangkaan pada Mei mungkin disebabkan oleh kesan langkah meredakan pasaran, yang diperkenalkan pada September 2022 dan peningkatan bekalan flat Bina Mengikut Tempahan pada 2023.

“Kenaikan harga marginal adalah petanda bahawa pasaran jualan semula HDB semakin stabil. Bagaimanapun, saya tidak fikir harga jualan semula akan jatuh melainkan kita mengalami kelembapan ekonomi yang sangat teruk.

“Pada masa ini, masih terdapat permintaan asas yang sihat,” tambahnya.

Sejak 30 September 2022, pemilik rumah privet mesti menunggu 15 bulan selepas penjualan rumah mereka sebelum mereka boleh membeli flat jualan semula tanpa geran perumahan. Kriteria untuk pinjaman HDB juga diperketatkan.

Encik Mak menjangkakan indeks harga jualan semula HDB akan mencatatkan kenaikan 3 peratus hingga 6 peratus pada 2023.

Cik Wong Siew Ying, ketua penyelidikan dan kandungan PropNex, menyatakan bahawa peningkatan dalam geran perumahan untuk pembeli yang layak boleh mendorong lebih ramai pembeli ke pasaran, katanya.

Faktor lain mungkin ialah rumah privet baru dan kondo eksekutif (EC) yang sudah siap dibina dalam masa tiga bulan pertama 2023, yang menyebabkan beberapa pemilik flat menjual flat HDB mereka apabila mereka menerima kunci rumah mereka yang baru siap, kata Cik Wong .

Menukil data daripada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) bahawa 2,965 unit rumah privet dan 820 unit EC telah siap pada suku pertama 2023, beliau berkata beliau menjangkakan sebilangan besar pembeli adalah pemilik rumah HDB yang akan menjual flat mereka.

Ini akan meningkatkan sedikit bekalan flat jualan semula dalam beberapa bulan akan datang.

Encik Mak berkata:

“Beberapa projek Bina Mengikut Tempahan baru yang dilancarkan oleh pemerintah dalam tempoh 12 bulan lalu terletak di lokasi yang menarik... Projek-projek ini akan menarik ramai pembeli kali pertama dan pembeli kali kedua untuk memohon flat baru, yang mana akan meredakan sedikit permintaan untuk pasaran jualan semula HDB.

“Akibatnya, urus niaga jualan semula HDB boleh merosot dalam beberapa bulan akan datang, yang membawa kepada penurunan sekitar 3 peratus hingga 5 peratus dalam jumlah penjualan flat jualan semula tahunan untuk keseluruhan 2023 berbanding tahun sebelumnya.”

Perangkaan pada Mei menunjukkan harga naik 0.7 peratus di estet matang, dan 0.3 peratus di estet perumahan tidak matang, mulai April.

Kenaikan harga dicatatkan untuk flat tiga bilik dan empat bilik dan EC, manakala harga untuk flat lima bilik turun sebanyak 0.6 peratus.

Kira-kira 62 peratus daripada urus niaga flat jualan semula adalah di estet tidak matang, dengan Woodlands, Sengkang dan Punggol menjadi tiga estet paling popular, kata Cik Wong.

Beliau menambah bahawa momentum pertumbuhan harga yang perlahan bermula dari tiga bulan terakhir 2022.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >