SEKTOR perniagaan runcit Singapura terus mencatatkan penurunan bagi bulan Februari, menguncup 8.6 peratus tahun ke tahun disebabkan ketibaan pelancong semakin berkurangan dan penggunaan domestik lebih rendah disebabkan pandemik koronavirus yang semakin buruk, menurut Jabatan Statistik Singapura (DOS), hari ini.
Tanpa mengambil kira kenderaan bermotor, penjualan runcit jatuh 10.2 peratus tahun ke tahun pada Februari lalu, berbanding pertumbuhan 0.6 peratus pada Januari 2020. Secara keseluruham penjualan runcit jatuh 5.3 peratus tahun ke tahun pada Januari lalu.
Jumlah penjualan bagi Makanan dan Minuman (F&B) menyaksikan penguncupan 16.6 peratus pada Februari, merubah pertumbuhan 9.1 peratus yang dinikmati pada Januari.
Anggaran nilai jualan mencecah $3.1 bilion pada Februari, turun $4.1 bilion dalam Januari. Februari juga menyaksikan penjualan secara dalam talian membentuk bahagian lebih besar jualan pada 7.4 peratus, berbanding 5.8 peratus pada bulan sebelumnya.
Dari segi penjualan dalam talian, 8.5 peratus datangnya dari pasar raya dan pasar raya besar bagi Februari, naik dari 7.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Peralatan komputer dan telekomunikasi membentuk 30.4 peratus penjualan dalam talian Februari lalu, meningkat dari 25.9 peratus. Peralatan isi rumah dan perabot membentuk 14 peratus peningkatan, berbanding 10.9 peratus pada Januari.
Bagi jualan online untuk F&B pula, ia turut mencatat kenaikan 12.5 peratus dari 9.8 peratus pada Januari.
Secara keseluruhan, kebanyakan industri menyaksikan penurunan dalam jualan, kecuali pasar raya dan pasar raya besar (15.5 peratus), perabot dan kelengkapan isi rumah (5.9 peratus), stesen minyak (3.9 peratus) dan kenderaan bermotor (1.3 peratus) yang menikmati pertumbuhan.
Kategori pakaian dan kasut menyaksikan penurunan terbesar pada 41 peratus tahun ke tahun. Ini diikuti dengan makanan dan alkohol, yang menguncup 40.5 peratus tahun ke tahun. Pusat beli-belah mengalami penguncupan tahun ke tahun sebanyak 36.3 peratus.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg