Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pentadbir lebih celik IT selepas latihan

Oct 28, 2020 | 5:30 AM
PEKERJA PERLU SENTIASA PERTINGKAT KEMAHIRAN: Cik Nurrashidah berpendapat, seorang pekerja perlu sentiasa meningkatkan kemahirannya, apatah lagi dalam dunia yang pesat berkembang.
PEKERJA PERLU SENTIASA PERTINGKAT KEMAHIRAN: Cik Nurrashidah berpendapat, seorang pekerja perlu sentiasa meningkatkan kemahirannya, apatah lagi dalam dunia yang pesat berkembang. -

SELAMA lebih tujuh tahun berkecimpung dalam bidang pentadbiran, Cik Nurrashidah Tukiran tidak pernah terlintas bahawa teknologi akan menjadi sebahagian daripada tugasan harian beliau yang sering dianggap manual dan menggunakan banyak tenaga.

Namun setelah menjalani latihan digital dan penerapan automasi dalam kerja harian, ia telah membuka mata Cik Nurrashidah, 34 tahun, terhadap manfaat teknologi.

Ini kemudian mendorong konsultan kanan pentadbiran itu menggalak rakan sekerja sepasukannya lain supaya mendakap perubahan teknologi dan terus meningkatkan kemahiran.

Sebagai usaha pendidikan digital, PwC Singapore, menerusi Akademi Digitalnya, mengendalikan program latihan lapan jam untuk kakitangan dan rakan kerjanya, khusus kepada keperluan unit perniagaan masing-masing.

Seperti Cik Nurrashidah, kakitangan syarikat khidmat profesional itu mempelajari antara lain mengenai analitik data dan automasi proses robotik.

Menurut Cik Nurrashidah yang memimpin lima rakan kerja lain, program latihan seumpama itu yang dijalani akhir tahun lalu, memastikan pekerja seperti dirinya terus relevan dan tidak ketinggalan dengan perubahan dalam dunia hari ini.

"Latihan itu adalah pertama kali saya diperkenalkan kepada kemahiran digital.

"Ia adalah satu pembuka mata kerana sebelum ini saya meneliti data dan menggunakannya secara manual menerusi kaedah tradisional seperti Microsoft Excel.

"Tetapi saya pelajari bahawa sebenarnya ada automasi dan sofwe lain yang membolehkan kami menjalankan tugas dengan lebih produktif dan berkesan - misalnya tugasan berkaitan data yang dahulu memerlukan dua hari kini boleh dilakukan dalam masa dua hingga tiga jam sahaja," kongsi lulusan diploma dalam pengurusan pelancongan dari Pusat Latihan dan Pendidikan Persatuan Hotel Singapura (Shatec) itu.

Sejajar dengan perubahan dalam sekitaran perniagaan, proses kerja Cik Nurrashidah juga telah berubah dengan lebih banyak automasi diperkenalkan.

Ini termasuk penggunaan 'bot' yang dihasilkan pasukan inovasi digital syarikat dalam membantu dan menyokong pasukan beliau dalam sistem akses kad.

Idea itu terbit ekoran penularan pandemik Covid-19.

"Sebagai langkah keselamatan Covid-19, semua kad kerja pekerja tidak dibenarkan akses masuk ke pejabat. Kini dengan lebih ramai kakitangan kembali ke pejabat, pasukan saya lazimnya akan mengaktifkan secara manual kad akses mereka.

"Tetapi dengan adanya 'bot' ini, proses pengaktifan itu boleh dijalankan secara automasi. Justeru ini amat membantu dan membolehkan kami memberi tumpuan kepada tugasan lain," terang beliau.

Pendedahan yang diterima sejauh ini telah menguatkan lagi azam Cik Nurrashidah untuk menggalak rakan-rakan pasukannya supaya lebih mengenali teknologi dan memanfaatkan aplikasi atau sofwe yang sedia ada.

Beliau akur bahawa bukan mudah untuk meyakinkan rakan kerjanya - yang rata-rata berusia 50-an tahun - untuk lebih terbuka kepada teknologi.

"Misalnya, kami ada memanfaatkan sofwe Google Suite di pejabat, yang benar-benar memudahkan skop tugasan, dan saya sentiasa menggalak mereka melakukannya.

"Ini adalah contoh langkah pendigitalan kecil yang kita boleh lakukan untuk memastikan kerja kita lebih produktif," tambah Cik Nurrashidah.

Dalam hal ini, beliau berasa beruntung kerana sentiasa diberi peluang didedahkan kepada pengetahuan dan pengalaman baru di syarikatnya itu.

Cik Nurrashidah berpendapat, seorang pekerja perlu sentiasa meningkatkan kemahirannya apatah lagi dalam dunia yang pesat berkembang.

"Ini memerlukan seseorang itu mempunyai minda yang sentiasa sedia berubah.

"Dengan pemikiran seperti itu, beliau akan fikirkan bagaimana menjadikan tugasnya lebih berkesan dan produktif dan bukan sekadar bekerja dari 9 pagi hingga 5 petang sahaja.

"Ini yang saya cuba amalkan setiap hari di tempat kerja," tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg