Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyewa Parkway Parade tutup kedai, pilih ruang lebih kecil ekoran sewa naik

Feb 14, 2025 | 12:36 PM
Cawangan Marks & Spencer di Parkway Parade akan ditutup mulai 16 Februari selepas lebih dua dekad beroperasi di sana.
Cawangan Marks & Spencer di Parkway Parade akan ditutup mulai 16 Februari selepas lebih dua dekad beroperasi di sana. - Foto ST

Kedai runcit dari Britain, Marks & Spencer, akan menutup cawangan mereka di Parkway Parade mulai 16 Februari selepas beroperasi lebih dua dekad di sana, sejak Mei 2004.

Ia merupakan satu lagi kehilangan besar yang terpaksa ditanggung pusat beli-belah berusia 42 tahun di Marine Parade itu.

Marks & Spencer mengambil keputusan itu ekoran kenaikan kos sewa dan kebimbangan berterusan mengenai aliran pengunjung dalam kalangan penyewa di kompleks beli-belah itu yang dibuka pada 1983.

Sekurang-kurangnya tujuh penyewa lain telah meninggalkan Parkway Parade sejak 2024, dengan beberapa mengaitkan keputusan mereka itu dengan kenaikan sewa sehingga 30 peratus, menyusuli pembukaan stesen MRT Marine Parade di Laluan Thomson-East Coast (TEL) pada Jun 2024, lapor The Straits Times (ST).

Antara penyewa lain yang telah meninggalkan Parkway Parade baru-baru ini ialah Ole Ole, gerai kueh yang telah beroperasi lebih 30 tahun; rangkaian restoran tempatan, Putien, yang telah beroperasi selama 15 tahun; kedai makan Go Noodle House; butik peralatan rumah, Dyson; kedai serbaneka, 7-Eleven; dan kedai aksesori telefon bimbit, Gadget Solution.

Meski terdapat laporan peningkatan aliran pengunjung oleh Lendlease, pihak pengurusan pusat beli-belah itu, beberapa penyewa memberitahu ST mereka tidak melihat peningkatan dalam hasil jualan mereka.

Kerja pembinaan laluan bawah tanah yang menghubungkan stesen Marine Parade dengan lantai bawah Parkway Parade yang dijangka siap pada 2027, juga memberi kesan kepada perniagaan.

Marks & Spencer memaklumkan ST bahawa penutupan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk menambah baik portfolionya dan memberi tumpuan kepada lokasi utama serta perniagaan dalam talian di Singapura. 

Encik Xu Hwa Heng, 41 tahun, pemilik Gadget Solution, berkata sewanya telah dinaikkan kepada sekitar $14,000 – 30 peratus lebih tinggi daripada kontrak sebelum ini, dan apabila perjanjiannya tamat pada Januari 2025, beliau memutuskan untuk menutup kedai kerana kos sewa yang tinggi.

Penyewa ruang sebelah, Encik Tang F.Y., 69 tahun, yang mengendalikan Pavilion Optics & Contact Lens Centre, berkata sejak memulakan perniagaannya pada Disember 1983, sewanya telah meningkat daripada $3,500 sebulan kepada lebih $15,000.

Menjawab pertanyaan ST, Cik Jenny Khoo, ketua pengurusan runcit dan ruang pejabat Lendlease, berkata pelarasan sewa mengambil kira faktor seperti permintaan pasaran, prestasi penyewa dan keadaan ekonomi secara keseluruhan.

“Sebagai respons terhadap perubahan dalam permintaan pasaran, Lendlease berusaha untuk mencapai keseimbangan antara menyokong penyewa lama dan memastikan pusat beli-belah ini kekal dinamik dan kompetitif, dengan gabungan penyewa yang dapat memenuhi keperluan pengunjung yang berubah-ubah,” kata Cik Khoo, tanpa mengesahkan jumlah kenaikan sewa yang dilaporkan penyewa.

Encik Alan Cheong, pengarah eksekutif penyelidikan dan perundingan di Savills Singapore, berkata pihak pengurusan biasanya akan menaikkan sewa jika mereka menjangka kemudahan baru akan dibina berdekatan tapak mereka.

Kenaikan sewa boleh menyukarkan penyewa untuk mengekalkan keuntungan mereka, dan hanya masa yang akan menentukan sama ada ia wajar, kata Encik Cheong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg