Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

PERTINGKAT KEMAHIRAN PERTENGAHAN KERJAYA : Program Latihan SkillsFuture

Permintaan bagi pekerja mahir digital, penjagaan dan ekonomi hijau meningkat

Nov 23, 2022 | 05:30 AM



PERMINTAAN bagi pekerja yang mempunyai kemahiran dalam bidang digital, penjagaan dan ekonomi hijau telah meningkat sepanjang empat tahun lalu, menurut laporan terkini oleh SkillsFuture Singapore (SSG).



Laporan itu, yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, di majlis Anugerah Biasiswa SkillsFuture dan Anugerah Majikan SkillsFuture di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands semalam, turut berkata permintaan untuk kemahiran dalam pengurusan kemudahan hijau telah berkembang sehingga 23 kali.



Permintaan bagi pengurusan pelaburan mampan pula, katanya, telah meningkat sebanyak 15.5 kali.



Laporan Permintaan Kemahiran Untuk Ekonomi Masa Hadapan itu menambah, permintaan bagi kemahiran, seperti ujian perisian dan reka bentuk pengalaman pengguna telah berkembang hampir dua kali ganda dalam tempoh masa yang sama di samping permintaan untuk kemahiran penjagaan, seperti perundingan profesional dan penglibatan keluarga.



Encik Chan berkata laporan itu menunjukkan peluang pertumbuhan dan panduan bagi orang ramai mengikuti program latihan dan pembiayaan yang relevan.



Laporan tersebut adalah edisi kedua yang dikeluarkan oleh SSG dan memperincikan kemahiran yang diperlukan oleh ekonomi negara.



Ia mengkategorikan kemahiran-kemahiran itu kepada tiga bidang utama iaitu ekonomi digital, hijau dan penjagaan.



Ia juga menghasilkan kadar permintaan dengan menyusun permintaan pekerjaan oleh para majikan di Singapura dan membandingkan jumlahnya di antara 2018 dengan 2022.



Laporan itu juga memperincikan kadar di mana permintaan bagi setiap kemahiran telah meningkat, serta peranan pekerjaan yang menggunakan kemahiran ini dan di mana untuk mempelajarinya.



Terdapat juga sebahagian daripada laporan itu untuk para pekerja pertengahan kerjaya dan bagaimana untuk membantu mereka meningkatkan atau memperoleh kemahiran baru sedang ekonomi berkembang.



Laporan Permintaan Kemahiran Untuk Ekonomi Masa Hadapan tahun itu meninjau potensi peningkatan kemahiran dan pilihan kerjaya bagi para pekerja Singapura di pertengahan kerjaya mereka, berdasarkan pengalaman kerja dan kepakaran mereka yang sedia ada, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing semalam.



"Kami berminat menyokong usaha mereka dalam penukaran pekerjaan dalam sektor yang sama atau merentas sektor dengan mengetengahkan laluan yang boleh meningkatkan kemahiran serta sumber yang ada," kata beliau.



Sebagai contoh, mereka boleh mempelajari kemahiran baru untuk memasuki pekerjaan dalam ketiga-tiga ekonomi pertumbuhan tinggi; meningkatkan kemahiran untuk peluang dalam peranan yang serupa dengan peranan mereka sekarang; atau meningkatkan kemahiran untuk kekal relevan dalam peranan mereka sekarang, tambah beliau.



Siri Program Latihan SkillsFuture bagi kursus-kursus latihan pendek bersubsidi juga akan disusun semula dengan tumpuan kepada tiga bidang pertumbuhan:- ekonomi digital, ekonomi penjagaan dan ekonomi hijau serta Industri 4.0, mulai 1 Januari tahun hadapan.



Ini menandakan perubahan daripada lapan kategori sekarang termasuk perkilangan maju, keselamatan siber, dan analitik data.



Siri Program Latihan SkillsFuture adalah satu contoh bagaimana SkillsFuture Singapore (SSG) sedang bekerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi dan penyedia latihan privet untuk melancarkan kursus-kursus yang bermutu.



Ia bertujuan menangani keperluan kemahiran dalam bidang-bidang pertumbuhan tinggi, kata Encik Chan di Anugerah Biasiswa SkillsFuture dan Anugerah Majikan SkillsFuture.



Edisi kedua laporan itu juga melihat dengan lebih mendalam "kemahiran keutamaan" yang diperlukan dalam tiga bidang itu dan menilainya dalam dua aspek.



Aspek pertama menilaikan berapa banyak permintaan kemahiran telah berkembang sejak tahun prapandemik 2018 dan aspek kedua menilaikan sama ada kemahiran itu boleh dipindahkan merentasi pekerjaan dan industri yang berbeza.



Menurut satu kenyataan oleh SSG, para pekerja boleh menggunakan laporan itu untuk menilai kemahiran yang mereka ada dan apakah kemahiran yang mereka boleh raih untuk menjadi kekal relevan dalam permintaan pekerjaan pada masa hadapan.



Encik Chan juga menyatakan bahawa laporan itu adalah hasil kerjasama SSG dengan firma analitik tenaga kerja bagi melakarkan data daripada portal pekerjaan dan rangkaian bakat untuk mengenal pasti kemahiran baru dan kemahiran yang akan muncul.



Dalam ekonomi hijau, contoh kemahiran yang diperlukan dalam infrastruktur hijau dan mobiliti termasuk pengurusan kemudahan hijau, yang mungkin diperlukan oleh penyelia bangunan; kenderaan elektrik dan pengurusan penyenggaraan kenderaan hibrid, bagi seorang teknisyen automotif; dan ciri-ciri pengurangan iklim dalam persekitaran binaan, untuk rakan seni bina.



Terdapat juga permintaan yang semakin meningkat untuk kemahiran dalam kewangan mampan, perladangan dalam bandar, teknologi makanan dan pembangunan makanan.



Kemahiran yang boleh dipindah termasuk dalam pengurusan alam sekitar dan kemampanan, yang diperlukan dalam lebih daripada 400 peranan merentasi bidang-bidang seperti pembangunan perniagaan, pembangunan projek kejuruteraan dan pengurusan kemudahan.



Dalam ekonomi digital, kemahiran pembangunan sofwe mempunyai pertumbuhan permintaan tertinggi sebanyak 83 peratus antara 2018 dengan 2021, serta kebolehpindahan yang tinggi.



Ini termasuk ujian perisian, reka bentuk pengalaman pengguna dan reka bentuk perisian, untuk peranan pekerjaan seperti jurutera perisian, pereka produk dan penguji jaminan kualiti.



Pada masa hadapan, lebih banyak peranan pekerjaan juga akan memerlukan kemahiran dalam e-Dagang dan pemasaran digital seperti pengurusan pengalaman pelanggan serta dalam kecerdasan buatan, data dan analitik.



Bagi ekonomi penjagaan, nasihat sumber manusia dan pembimbing kerjaya didapati mempunyai pertumbuhan permintaan yang tinggi dan kebolehpindahan.




“Untuk kekal berdaya saing, perusahaan perlu berubah dan berkembang, dan ini memerlukan kemahiran dan kecekapan baru. Daripada hanya mendapatkan pekerja dari pasaran untuk mengatasi jurang kemahiran itu, syarikat-syarikat juga boleh melabur untuk melatih kumpulan pekerja mereka yang sedia ada. Ini akan meningkatkan kumpulan bakat secara keseluruhan dan mengelakkan situasi di mana majikan bersaing antara satu sama lain untuk graduan baru dan pekerja mahir dalam pasaran buruh yang ketat.”
- Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >