Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ghairah sambut pelanggan duduk makan

Jun 18, 2020 | 5:30 AM
TETAP TERJEJAS: Encik Abdul Malik Hassan (tengah) berkata perniagaannya mengalami kerugian sekitar 50 peratus walaupun dengan khidmat penghantaran makanan yang diteruskan. Foto ini diambil pada April 2019. - Foto fail
TETAP TERJEJAS: Encik Abdul Malik Hassan (tengah) berkata perniagaannya mengalami kerugian sekitar 50 peratus walaupun dengan khidmat penghantaran makanan yang diteruskan. Foto ini diambil pada April 2019. - Foto fail -

Khidmat makan di tempat-tempat makanan dan minuman seperti restoran dan pusat penjaja akan disambung semula bermula esok. Namun, makan di luar hanya terhad kepada lima orang setiap kumpulan dan tidak harus ada interaksi antara kumpulan berbeza. BERITA HARIAN menemuramah tiga individu dalam sektor makanan dan minuman mengenai persiapan mereka menjelang kelonggaran sekatan.

WALAUPUN dengan khidmat penghantaran makanan yang berjalan terus sepanjang tempoh pemutus litar, perniagaan Nasi Lemak Crave tetap mengalami kerugian hampir separuh berbanding sebelum ini.

Biarpun hasil perniagaan terjejas secara ketara, pemilik Crave, Encik Abdul Malik Hassan, berkata 'tamparan' Covid-19 ini memang dijangkakan.

Dalam temu bual beliau bersama Berita Harian baru-baru ini, Encik Malik berkata antara cawangan yang terjejas teruk semasa tempoh pemutus litar termasuk lima cawangan bandar dan juga Lapangan Terbang Changi.

"Memang bohong kalau cakap kami tak terjejas.

"Sebelum ini, boleh dikatakan perniagaan kami dalam keadaan 'selesa' tapi semasa Covid-19 ini setiap sen untung dan rugi memang terasa," katanya.

Sehubungan itu, Encik Malik mengutarakan rasa leganya Fasa Dua bakal bermula dan pelanggan boleh duduk makan di restoran.

Menurutnya, keuntungan yang diperolehi daripada khidmat penghantaran cukup untuk menampung kos gaji pekerja dan sewa namun menjejas hasil perniagaan secara keseluruhan.

Sebelum ini, 60 peratus keuntungan diraih daripada pelanggan 'dine-in', manakala lagi 40 peratus daripada khidmat penghantaran elektronik (e-delivery).

Kini, perniagaan Crave bergantung sebanyak 70 peratus daripada hasil khidmat tersebut, dan hanya 30 peratus daripada pelanggan yang mengunjungi kedai.

Meskipun begitu, Encik Malik tetap berfikiran positif dan berharap pembukaan Fasa Dua ini dapat mengembalikan kemeriahan dengan menarik pelanggan ke cawangan Crave yang terletak di pusat beli-belah.

"Perniagaan kami mungkin tak akan terus kembali serta-merta seperti sebelum Covid-19.

"Saya jangkakan hasil kami hanya akan meningkat 5 peratus hingga 10 peratus dalam minggu-minggu awal Fasa Dua kerana mungkin ada orang yang masih takut keluar rumah.

"Tapi saya harap dengan strategi pemasaran yang akan kami laksanakan orang ramai akan kembali mengunjungi cawangan-cawangan Crave," ujarnya.

Menurut Encik Malik, antara strategi itu termasuk promosi menarik yang akan diumumkan tidak lama lagi.

"Ramai juga yang telefon saya cakap tak sabar nak jumpa Jumaat ni," katanya sambil tertawa.

"Mereka beritahu saya mereka suka duduk makan nasi lemak dengan teh tarik sambil bersembang dengan teman-teman.

"Memang kalau dibandingkan dengan makanan yang dibungkus, yang dimakan 'fresh' di kedai memang lagi sedaplah."

Pengalaman yang dilalui syarikatnya dalam suasana Covid-19 ini menekankan lagi pentingnya prinsip menabung yang dipegang Encik Malik dalam perniagaan.

"Kami tidak pernah membelanjakan 100 peratus keuntungan yang kami perolehi, simpanan itu mesti ada.

"Disebabkan pegangan ini kami masih boleh bertahan semasa tempoh Covid-19," katanya.

Memandang ke hadapan, Encik Malik berkata Crave mungkin meneroka penyediaan khidmat penghantaran sendiri.

Ia juga akan mempertimbang mengembangkan perniagaan ke kawasan dengan kadar sewa yang rendah, seperti di kawasan perindustrian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg