Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Powell: Data terkini buat Fed lebih yakin inflasi akan reda

Jul 16, 2024 | 5:19 PM
Pengerusi Lembaga Simpanan Federal (Fed), Encik Jerome Powell (kiri), berasa ada laluan untuk menurunkan inflasi kembali kepada matlamat 2 peratus secara berterusan tanpa perlu menanggung “rasa sakit dalam pasaran tenaga kerja”.
Pengerusi Lembaga Simpanan Federal (Fed), Encik Jerome Powell (kiri), berasa ada laluan untuk menurunkan inflasi kembali kepada matlamat 2 peratus secara berterusan tanpa perlu menanggung “rasa sakit dalam pasaran tenaga kerja”. - Foto EPA-EFE

Pengerusi Lembaga Simpanan Federal (Fed), Encik Jerome Powell, berkata pada 15 Julai bahawa data terkini telah meningkatkan keyakinan bank pusat Amerika Syarikat itu bahawa inflasi sedang turun ke arah sasaran 2 peratus.

Ia satu trend yang menandakan kadar faedah dijangka dikurangkan tidak lama lagi.

“Kami tidak bertambah yakin pada suku pertama tetapi tiga bacaan pada suku kedua, termasuk bacaan dari minggu lalu, sedikit sebanyak menambah keyakinan,” kata Encik Powell dalam satu temu bual bersama, Encik David Rubenstein, daripada Kelab Ekonomi Washington DC.

Walaupun bank pusat itu pada umumnya memberi tumpuan pada inflasi, yang melonjak berikutan pandemik Covid-19, ia kini turut memantau dengan teliti mandatnya menggalak guna tenaga maksimum, tambah Encik Powell.

“Jika kami melihat kelemahan yang tidak dijangka dalam pasaran tenaga kerja, itu juga mungkin menjadi alasan kami memberi reaksi,” katanya.

Untuk mengurangkan permintaan dan meredakan inflasi, Fed pada 2022 dengan cepat menaikkan kadar faedah penanda aras bagi pinjaman.

Sejak itu, ia telah mengekalkan kadar faedah tersebut pada paras tertinggi sejak beberapa dekad, dalam usaha mengekang harga barangan dan perkhidmatan yang terus meningkat.

Namun pada minggu lalu, satu ukuran inflasi utama, iaitu Indeks Harga Pengguna (CPI) turun melebihi jangkaan, dalam perkembangan positif bagi pembuat dasar.

Trend serupa, di samping kadar pengangguran yang meningkat ke paras tertinggi sejak 2021, boleh mendorong Fed mengurangkan kadar faedah lebih awal.

Menurut Encik Powell, beliau sentiasa berasa terdapat laluan untuk menurunkan inflasi kembali kepada matlamat 2 peratus secara berterusan tanpa perlu menanggung “rasa sakit dalam pasaran tenaga kerja”.

Ini kerana kitaran dasar memperketat kewangan dan mengurangkan kadar inflasi biasanya membawa kepada kadar pengangguran lebih tinggi, jelasnya.

Namun, inflasi boleh diturunkan antara lain kerana pasaran tenaga kerja kini “terlalu panas” dan perlu diredakan.

Beliau menjangka langkah menurunkan inflasi tidak akan membawa kepada kemelesetan ekonomi.

Fed dijangka mengadakan mesyuarat dasar kewangan seterusnya pada akhir Julai.

Ramai penganalisis menjangka ia mungkin mula mengurangkan kadar faedah dalam mesyuaratnya pada September. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg