Presiden Persekutuan Majikan Nasional Singapura (Snef), Encik Robert Yap, akan melepaskan jawatannya selepas 10 tahun berkhidmat.
Dalam satu kenyataan pada 11 Jun, persekutuan itu berkata pihak majlisnya dimaklumkan mengenai terdapatnya kepincangan prosedur tadbir urus ketika semakan rutin dalaman dijalankan.
“Majlis segera mengambil perunding luar untuk menjalankan semakan menyeluruh terhadap proses dalaman kami,” kata Snef.
Ia menambah bahawa semakan bebas sedang dijalankan dan majlis Snef memastikan pihaknya dan pengurusan badan majikan berada pada standard tadbir urus tertinggi.
“Pada ketika ini, majlis tidak mengetahui sebarang implikasi kewangan yang timbul daripada kepincangan ini.
“Majlis memandang serius tanggungjawab persekutuan dalam menegakkan tadbir urus yang ideal dan diharapkan oleh semua pihak berkepentingan kami dan akan menyelia secara langsung semakan bebas ini,” tegas Snef.
Encik Yap, yang juga anggota majlis Snef dan pengerusi eksekutif syarikat pembekal logistik YCH Group, berkata adalah satu penghormatan baginya dapat berkhidmat dengan Snef sejak sedekad lalu, lapor The Straits Times.
“Saya telah bekerja keras untuk memajukan kepentingan anggota saya dan pendekatan pakatan tiga pihak atau tripartisme (majikan, kesatuan sekerja dan pemerintah) di Singapura. Ia tidak pernah mudah tetapi saya telah melakukan apa yang saya mampu. Ia juga masa untuk menyerahkan tampuk pimpinan.
“Saya faham keputusan majlis melibatkan perunding luar untuk meneruskan semakan bebas. Adalah baik untuk menyemak semula prosedur tadbir urus supaya organisasi boleh terus menambah baik dan belajar daripada sebarang kelemahan organisasi,” jelasnya.
Encik Yap berkata majlis Snef akan terus membina kekuatan persekutuan, bekerjasama rapat dengan semua majikan, ahli dan rakan kongsi untuk memajukan kepentingan tiga pihak dan meningkatkan fleksibiliti pasaran pekerja untuk majikan melaksanakan amalan pekerjaan yang bertanggungjawab di Singapura.
Dalam satu kenyataan pada 10 Jun, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata ia telah dimaklumkan oleh Snef mengenai pengunduran Encik Yap.
“Walaupun tidak ada tanda sebarang implikasi kewangan yang timbul daripada kepincangan ini setakat ini, MOM telah meminta Snef untuk memberikan kami maklumat terkini tentang hasil semakan mereka dan berkongsi dokumentasi penting dengan MOM sebaik saja ia selesai kelak,” tambah kenyataan itu.
MOM akan menilai tindakan seterusnya selepas itu. Ia menambah bahawa tidak akan ada perubahan kepada proses tiga pihak yang ada sekarang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg