Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program P-Tech persiap pelajar untuk pekerjaan kolar biru

Aug 5, 2021 | 5:30 AM
JALANI LATIHAN: Penuntut Politeknik Temasek, Encik Mohd Iylia Rasyad Abdul Rasheed, sedang mengikuti program P-Tech.
JALANI LATIHAN: Penuntut Politeknik Temasek, Encik Mohd Iylia Rasyad Abdul Rasheed, sedang mengikuti program P-Tech. - Foto SPH

OLEH kerana minat bermain game di dalam talian, Encik Mohd Iylia Rasyad Abdul Rasheed, 19 tahun, dahulu hendak mempelajari cara mencipta laman web dan mendaftarkan diri dalam program Laluan dalam Teknologi (P-Tech) semasa berada di tahun pertama Institut Pendidikan Teknikal (ITE), mempelajari jurusan berkenaan teknologi.

Namun, program P-Tech itu membuka mindanya kepada pelbagai aliran dalam industri teknologi dan selepas satu kunjungan ke syarikat kewangan Citibank - sebahagian lawatan pejabat syarikat di dalam program P-Tech - di mana beliau berpeluang melihat bilik keselamatan siber syarikat itu, beliau berazam menceburi bidang keselamatan siber.

Kini, Encik Mohd Iylia merupakan penuntut diploma tahun pertama dalam jurusan forensik digital dan keselamatan siber dari Politeknik Temasek (TP).

Program P-Tech, anjuran syarikat teknologi global IBM, dilancarkan di Singapura pada 2019 dengan kerjasama tiga ITE dan lima politeknik - Politeknik Singapura, Nanyang, Ngee Ann, Republic dan Temasek.

Program enam tahun itu bertujuan mendedahkan pelajar kepada pekerjaan dalam jurusan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) dan disiplin Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ia juga mempersiap generasi muda untuk pekerjaan kolar biru dan meningkatkan bakat berkemahiran tenaga kerja setempat.

Pekerjaan kolar biru merujuk pada pekerjaan dalam industri teknologi yang berkembang pesat, dari keselamatan siber dan komputasi cloud ke rekaan digital dan perniagaan kognitif, yang tidak semestinya memerlukan ijazah universiti tetapi set kemahiran tertentu.

Singapura adalah negara Asean pertama melancarkan program P-Tech dan yang kelima secara global selepas program tersebut berjaya dilaksanakan di Amerika Syarikat, Australia, Taiwan dan Maghribi.

Kini, sebanyak dua kohort pelajar yang merangkumi sekitar 60 pelajar sedang menjalani program P-Tech itu dan kini berada dalam tahun ketiga.

Mengulas pengalamannya yang telah mengikuti program P-Tech selama tiga tahun, Encik Mohd Iylia berkata:

"Pada awalnya, saya sertai program P-Tech kerana mahu belajar pemprograman asas yang boleh membantu saya mencipta laman web. Tetapi, saya belajar lebih banyak perkara tentang teknologi AI dan keselamatan siber."

Beliau menambah bahawa beliau lebih memahami peranan berbeza yang ada dalam bidang keselamatan siber seperti penggodaman beretika (ethical hacking), pemasangan firewall, cara mencipta pelan keselamatan dan mengesan kegiatan melalui wadah digital.

Justeru, beliau berharap mendapat pekerjaan di dalam bidang keselamatan siber di syarikat berbilang negara seperti IBM atau lain selepas beliau tamat pengajian nanti.

Selain itu, menerusi program tersebut, Encik Mohd Iylia berpeluang mempelajari tentang pembangunan aplikasi, kejuruteraan cloud dan menyertai Konvensyen Think Singapore dan mengunjungi pejabat syarikat Citibank dan LinkedIn.

Dalam pada itu, Encik Mohd Iylia berkata program P-Tech itu telah menerapkan kemahiran soft skills pada dirinya dan membantunya membina keyakinan diri.

"Dahulu, apabila saya baru sertai program P-Tech, saya malu hendak bertanya di dalam kelas. Tetapi, mentor saya dalam program P-Tech baik dan sedia memberi pertolongan. Beliau juga banyak menggalakkan saya menanya soalan jika tidak faham.

"Lama-kelamaan, saya lebih konfiden bercakap atau bertanya soalan di dalam kelas," kata Encik Mohd Iylia yang telah menghadiri program P-Tech secara fizikal sebelum pandemik Covid-19. Program P-Tech tersebut juga telah mendorong Encik Iylia menjadi lebih fokus dalam pelajarannya.

PEMBIMBING BANTU PELATIH

Arkitek eksekutif, huraian AI dan data, Pasaran Global IBM-Penjualan Platform Awan, Encik Daryl Peh, yang juga juga mentor kepada pelajar program P-Tech, 49 tahun, berkata bahawa program tersebut bertujuan mengisi jurang dalam sistem pendidikan pusat pengajian tinggi setempat.

"Pusat pengajian tinggi yang menawarkan kursus berkenaan teknologi mungkin belum mengamalkan trend terkini dalam bidang teknologi. Sebagai syarikat teknologi, IBM sedia memberi latihan kepada para pelajar supaya mereka mempunyai kemahiran ICT dan STEM sejurus mereka bersedia melangkah ke alam pekerjaan nanti," kata Encik Peh.

Encik Peh sudah bekerja lebih 10 tahun dalam syarikat IBM, memberi tumpuan pada aliran data dan teknologi AI dan mereka huraian strategi AI dan data untuk pelbagai industri seperti industri bank, insurans dan juga pemerintah.

Sebelum ini, beliau telah bertugas dalam pelbagai syarikat teknologi berbeza, bermula dengan Badan Komputer Nasional (NCB) dan kemudian di syarikat bertauliah lain seperti Hewlett Packard (HP) tetapi memberi tumpuan pada aliran data.

Menurut Encik Peh, kian Singapura menuju ekonomi era digital, pelbagai industri seperti industri bank, insurans dan juga pemerintah menggunakan data dan teknologi AI untuk lebih memahami keperluan dan keinginan pelanggan mereka dan mengetahui langkah seterusnya dalam mencipta produk atau khidmat baru.

Justeru, program P-Tech yang merangkumi latihan tentang kemahiran digital baru seperti penggunaan teknologi AI, boleh membantu mempersiap para pelajar dengan pengetahun digital terkini.

Selain itu, membekalkan diri dengan kemahiran pemikiran reka bentuk (design thinking) juga sangat penting dalam era ekonomi digital kini.

Pemikiran reka bentuk ini adalah satu proses di mana ia menggalakkan seseorang memikirkan bagaimana mereka boleh mereka bentuk produk yang lebih baik, yang boleh memenuhi keperluan pengguna atau membantu menyelesaikan masalah pengguna.

Encik Peh turut menganjurkan bengkel rekaan pemikiran reka bentuk untuk syarikat IBM.

"Kami, pekerja di IBM menggunakan pendekatan rekaan pemikiran reka bentuk untuk mencipta produk lebih baik buat pelanggan kami. Pendekatan pemikiran reka bentuk juga memberi kami strategi baik dalam mengenal pasti keperluan pelanggan dan cara berkesan untuk menyelesaikan masalah.

"Sebab itu, kami mahu menerapkan kemahiran pemikiran reka bentuk ini di kalangan pelajar kerana mereka boleh menggunakan kemahiran ini semasa melakukan projek sekolah atau di tempat kerja," kata Encik Peh.

> Laporan ini dibawakan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI)

MANFAATKAN TEKNOLOGI AI, BANTU TINGKAT KEMAHIRAN, KEKALKAN PEKERJA

MENDORONG pekerja untuk terus-menerus mempertingkatkan kemahiran adalah kunci usaha syarikat teknologi global, IBM, untuk membantu bakat tempatan mengikuti perkembangan teknologi. Ia juga membolehkan mereka berjaya dalam ekonomi digital yang berkembang pesat kini.

"Sebagai syarikat teknologi, IBM mengutamakan pembinaan kemahiran. Tetapi, jangka hayat kemahiran dalam bidang teknologi pendek. Ini bermakna apa yang anda pelajari lima atau tiga tahun lalu mungkin sudah tidak relevan sekarang. Jadi, ia penting bagi pekerja kami untuk terus mempertingkat kemahiran," jelas Naib Presiden Sumber Manusia IBM Asia Pasifik (APAC), Cik Tanya Heng, 46 tahun.

Lantaran itu, IBM, syarikat berusia 110 tahun itu, telah menerapkan budaya pembelajaran di kalangan para pekerja, di mana menimba kemahiran adalah penting dalam pembangunan kerjaya.

Cik Heng berkata bahawa IBM menyediakan wadah pembelajaran yang dipanggil 'Your Learning' (Pembelajaran Anda) yang memaparkan pelbagai sumber pembelajaran dari klip video YouTube hingga aneka jenis kursus.

Antara ciri menarik tentang wadah ini ialah ia dibina dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan mereka mengetahui siapa penggunanya dan apa yang dipelajari penggunanya sebelum ini.

Malah, mereka juga boleh mengetahui aspirasi kerjaya pengguna, dan akan memberikan saranan dan menyenaraikan kursus yang pengguna boleh pelajari.

Cik Heng menyamakan pengalaman menggunakan wadah ini seperti pengalaman menggunakan khidmat penstriman Netflix.

Menerusi wadah ini, pekerja IBM boleh memilih kursus pilihan mereka dan mempelajari kursus itu pada waktu kelapangan mereka.

Satu lagi program yang menerapkan teknologi AI dan merangsangkan usaha pembangunan kerjaya pekerja IBM adalah program 'IBM Digital Badge'.

Program tersebut membolehkan pekerja berkongsi bukti pencapaian mereka yang disahkan dengan pantas dan mudah di dalam dan luar syarikat IBM.

"Kededua program tersebut adalah penting dalam pembangunan kerjaya pekerja IBM kerana ini membolehkan tenaga kerja kami mudah ketahui apakah kemahiran terkini yang mempunyai permintaan tinggi di IBM dan apakah kemahiran yang sedang hangat di dalam industri teknologi.

"Menerusi program sedemikian, pekerja kami boleh selaraskan gol kerjaya dan pembelajaran mereka atau berbincang dengan majikan mereka tentang arah tuju kerjaya mereka," kata Cik Heng, ibu seorang anak lelaki berusia 18 tahun.

Lebih penting lagi, dengan memanfaatkan teknologi terkini seperti AI dalam program tersebut, syarikat itu boleh mengenal pasti dan mengekalkan bakat sedia ada.

"Ada wadah bagi jabatan sumber manusia, di mana kami boleh mengimbas resume pekerja dan lihat jika pekerja itu boleh dipadankan dengan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahirannya.

"Sebagai sebuah syarikat, kami berusaha mengekalkan bakat sendiri bagi mengelakkan mereka mencari peluang lebih baik di syarikat lain," kata Cik Heng.

Menguruskan pembangunan kerjaya pekerja adalah antara tugasan Cik Heng, yang memimpin jabatan sumber manusia (HR).

Cik Heng, yang telah bertugas di jabatan HR IBM selama lebih 20 tahun dan pernah bertugas di ibu pejabat IBM di New York, Amerika Syarikat, lebih setahun, telah melihat teknologi membawa kepada perubahan tenaga kerja.

Misalnya, sistem berteknologi AI di IBM boleh membantu pengurus syarikat itu mengendalikan semua perkara antaranya daripada latihan pekerja, semakan mengenai prestasi pekerja dan rundingan tentang mengekalkan pekerja.

Syarikat itu juga mempunyai program yang dipanggil proactive retention program (program mengekalkan secara proaktif), di mana sistem ini boleh meneka jika seseorang pekerja hendak berhenti kerja dan ia akan memberi amaran kepada pengurusnya - dengan menyarankan agar pekerja itu ditawarkan peranan berlainan di dalam tugasnya, pekerja itu dinaikkan gaji atau dinaikkan pangkat.

"IBM telah dapat jimat sekitar $300 juta dalam kos kehilangan produktiviti dan kos pelantikan sejak syarikat kami melancarkan teknologi ini sekitar sembilan tahun lalu.

"Akibat perubahan teknologi ini, kami lebih banyak menggunakan sistem AI dalam pekerjaan kami dan ini memberi kesan kepada tenaga kerja kami," kata Cik Heng.

Lantas, Cik Heng berkata tenaga kerja setempat mesti bersedia menerima perubahan dalam era digital ini dengan memperbaharui dan mempertingkat kemahiran teknologi mereka.

Selain itu, tenaga kerja setempat juga harus memiliki kemahiran soft skill seperti memiliki keupayaan untuk bergabung, keupayaan berdaya tahan dan boleh mengambil risiko kian Singapura menuju ke arah ekonomi digital.

Memberi contoh tentang perubahan di jabatan sumber manusia IBM dengan penggunaan teknologi, Cik Heng berkata:

"Kami panggil perubahan di jabatan sumber manusia IBM ini, HR 3.0. Teknologi membuat kami bekerja dengan lebih cekap. Kami telah memuat naik segala data berkenaan tenaga kerja seperti pampasan dan pelantikan bakat ke wadah komputing awan (cloud).

"Melalui wadah cloud ini, ia membebaskan jabatan kami untuk melakukan perkara yang lebih strategik dan memberi kami peluang untuk mempertingkat kemahiran.

"Pada masa yang sama, pasukan saya kini meluangkan lebih masa untuk membantu pemimpin perniagaan kami menjadi pemimpin yang lebih baik sekaligus menambah nilai pada perniagaan IBM."

IBM yang telah berada di Singapura selama 70 tahun, telah menjadi rakan kongsi Singapura dalam memacu inisiatif bagi mempertingkat kemahiran di kalangan pekerja setempat.

Misalnya, sekitar September tahun lalu, IBM telah bekerjasama dengan SkillsFuture Singapore (SSG) untuk memperkenalkan "i.am-vitalize", satu program kemahiran khusus buat karyawan pertengahan kerjaya sebagai sebahagian daripada Program Laluan Pertengahan Kerjaya SGUnited.

Setiap program kemahiran sepenuh masa ini, yang disampaikan Akademi Kemahiran IBM, merangkumi dua aliran iaitu AI dan siber keselamatan.

Seramai 800 karyawan pertengahan kerjaya telah turut serta dalam program tersebut dan sejauh ini sekitar 381 pakar profesional pertengahan kerjaya itu telah tamat pengajian.

Selain itu, IBM juga kini menawarkan program Laluan dalam Teknologi (P-Tech) buat para pelajar di politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Program P-Tech ini bertujuan mengatasi kekurangan kemahiran kolar biru, sejajar dengan seruan Pemerintah Singapura untuk mengalihkan fokus dari kelayakan kertas ke kemahiran.

"Sebagai syarikat teknologi, IBM mengutamakan pembinaan kemahiran. Tetapi, jangka hayat kemahiran dalam bidang teknologi pendek. Ini bermakna apa yang anda pelajari lima atau tiga tahun lalu mungkin sudah tidak relevan sekarang. Jadi, ia penting bagi pekerja kami untuk terus mempertingkatkan kemahiran."

- Naib Presiden Sumber Manusia IBM Asia Pasifik (APAC), Cik Tanya Heng.

"Pusat pengajian tinggi yang menawarkan kursus berkenaan teknologi mungkin belum mengamalkan trend terkini dalam bidang teknologi dan sebagai syarikat teknologi, IBM sedia memberi latihan kepada para pelajar supaya mereka mempunyai kemahiran ICT dan STEM sejurus mereka bersedia melangkah ke alam pekerjaan nanti."

- Arkitek eksekutif, solusi AI dan data, Pasaran Global IBM - Penjualan Wadah Awan, Encik Daryl Peh, dan juga mentor kepada pelajar program P-Tech

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg