Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah merakamkan pelaburan sebanyak RM88.83 bilion ($28.04 bilion) yang diluluskan antara Januari 2025 dengan Jun lalu, dengan 45 peratus daripadanya telah dilaksanakan.

Ini bermakna sebanyak RM40.3 bilion daripada jumlah itu telah dilaksanakan sejauh ini, kata pihak berkuasa kedua-dua negara menyusuli satu mesyuarat dua hala peringkat tinggi pada 2 November.

Projek yang diluluskan itu dikaitkan dengan potensi mewujudkan 28,755 peluang pekerjaan, termasuk 12,796 pekerjaan menerusi projek yang telah dilaksanakan.

Peluang pekerjaan itu melibatkan pelaburan dari Singapura, termasuk syarikat berpangkalan di Singapura yang dirujuk kepada Pusat Pemudah Cara Pelaburan Johor (IMFC-J) oleh Singapura.

Angka tersebut didedahkan dalam satu kenyataan bersama oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat; Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir; dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam satu kenyataan bersama susulan mesyuarat pertama Jawatankuasa Menteri Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC).

Mesyuarat itu diadakan di Flower Field Hall, Gardens by the Bay, yang turut dihadiri Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling.

Ditemui media selepas mesyuarat itu, Encik Chee berkata perkembangan tersebut mencerminkan kemajuan positif JS-SEZ serta keyakinan berterusan masyarakat perniagaan terhadap potensi zon ekonomi berkenaan.

Beliau menambah pencapaian itu hanya dapat direalisasikan menerusi kerjasama erat antara Singapura dengan Malaysia, khususnya Johor, dalam mewujudkan persekitaran mesra perniagaan yang mampu menarik minat pelabur.

“Sejak JS-SEZ dibentuk, kita telah mencapai kemajuan yang amat baik.

“Saya amat gembira melihat projek pelaburan yang telah diluluskan dan peluang pekerjaan yang diwujudkan.

“Ramai pelabur berasal dari Singapura, namun terdapat juga pelabur dari seluruh dunia.

“Saya berpendapat bahawa minat berterusan yang kukuh daripada masyarakat pelaburan dan perniagaan ini merupakan hasil daripada kerjasama erat yang telah kita bina antara Singapura dengan Malaysia, serta antara Singapura dengan Johor,” kata beliau.

Tambah Encik Chee, kedua-dua negara akan terus memperkukuh kerjasama dalam beberapa bidang utama, termasuk pembangunan bakat, pergerakan orang dan barangan, kemudahan perdagangan dan pelaburan, serta usaha promosi bersama.

Usaha meningkatkan keterhubungan turut menjadi keutamaan, termasuk dalam mempertingkat perkhidmatan teksi rentas sempadan antara Singapura dengan Johor, selain operasi Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) yang dijangka bermula Februari 2027, serta perbincangan bagi menambah baik perkhidmatan feri.

Sementara itu, Encik Akmal berkata Singapura dan Malaysia telah bersetuju untuk mengadakan forum pelaburan bersama menjelang suku pertama 2027.

“Kami mahu mengekalkan momentum yang baik ini, dan sudah pasti ia akan membawa manfaat kepada kedua-dua negara, kepada rakyat, serta kepada masyarakat perniagaan di kedua-dua wilayah ini,” kata beliau.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti