JOHOR BAHRU: Pembinaan projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) antara Johor Bahru dengan Singapura sedang berjalan mengikut jadual dan sehingga 31 Mei, ia sudah hampir 80 peratus siap.
Mass Rapid Transit Corporation Malaysia (MRT Corp) berkata depoh penyelenggaraan, bahagian penting prasarana kereta api yang terletak di kawasan Wadi Hana di Johor Bahru, sudah 82.14 peratus siap dan pemasangan sistem ditetapkan menjelang akhir 2024.
“Pada masa ini, kerja-kerja lantai aras trek dan seni bina, mekanikal dan elektrik, serta kerja-kerja luaran sedang berjalan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan pada 11 Jun.
“Platform untuk stesen Bukit Chagar akan siap untuk akses sistem menjelang akhir tahun (2024), dengan kemajuan semasa pada 71.16 peratus berikutan siapnya galang di atas landasan (syarikat kereta api) KTMB.”
MRT Corp menambah bahawa tumpuan kini adalah untuk membina lantai stesen.
“Semua tiang di sepanjang Jalan Tun Abdul Razak dan Jalan Sultan Ismail telah dipasang.
“Dengan lebih separuh daripada rentang laluan yang menghubungkan tiang jeti di sepanjang jajaran selesai, kemajuan kini mencapai 65 peratus dan berada di landasan untuk siap menjelang akhir tahun (2024).
“Sementara itu, semua tiang jeti marin telah didirikan dan kerja-kerja pemasangan bagi rentang laluan pandu yang menghubungkan tiang itu sedang dijalankan.
“Ini menjadikan kemajuan keseluruhan pembinaan bahagian marin kepada 74.76 peratus, dan kami jangkakan siap sepenuhnya pada akhir November 2024.
“Pembinaan bahagian marin termasuk saluran navigasi antara jeti yang ditetapkan, berukuran 75 meter lebar dan 25 meter tinggi, untuk membolehkan laluan bot dan tongkang.
“Dengan semua bidang berjalan seperti yang dirancang, pengendali RTS Link, Sistem Operasi RTS, akan mempunyai akses menjelang akhir tahun ini (2024) untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan sistem.”
RTS Link ialah perkhidmatan ulang-alik transit aliran ringan empat kilometer antara stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura.
Laluan itu mempunyai kapasiti 10,000 penumpang sejam di setiap arah, dan dijangka dapat mengurangkan kesesakan di Tambak Johor-Singapura, yang kini merupakan lintasan sempadan paling sibuk di dunia.
Bahagian kerja prasarana Malaysia, yang termasuk pembinaan stesen, depoh, dan jejambat darat dan laut sepanjang 2.7 kilometer, dikendalikan oleh anak syarikat MRT Corp Malaysia Rapid Transit System, sebagai Syarikat Infrastruktur Malaysia. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg