Syarikat insurans Prudential melantik Cik Angel Ng, mantan pemimpin kanan di Citi, sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baru untuk perniagaan pelanggan dan kekayaan syarikat itu di Greater China.
Cik Ng akan menggantikan pengarah urusan kumpulan perniagaan strategik Prudential, Cik Lilian Ng, yang akan bersara pada akhir 2024.
Beliau akan melaporkan diri kepada CEO Anil Wadhwani dan akan berpangkalan di Hong Kong, lapor The Business Times (BT).
Encik Wadhwani pada 5 Ogos berkata pengalaman luas Cik Ng di Greater China, dan dalam perniagaan pengedaran, pelanggan dan pengurusan kekayaan, serta pemikiran keusahawanannya, menjadikan beliau calon ideal untuk mengetuai pasukan itu.
Greater China merangkumi China, Taiwan, Hong Kong dan Macau.
Cik Ng mempunyai pengalaman 25 tahun dalam perkhidmatan kewangan.
Semasa berkhidmat di Citi, beliau mengetuai kelompok Asia Utara dan Australia syarikat itu.
Beliau juga pernah menjadi ketua Asia bagi Citi Global Wealth dan berperanan menyelia bank swasta Asia itu dan segmen perbankan pengguna.
Cik Ng juga pernah berkhidmat sebagai CEO bagi Citi Hong Kong dan Macau.
Beliau akan menyertai jawatankuasa eksekutif kumpulan Prudential mulai 1 Oktober.
Sementara itu, Cik Lilian Ng, yang akan melepaskan jawatannya, akan terus menjalankan peranan yang dipegangnya ketika ini sehingga akhir tahun ini.
Beliau kemudian akan menjadi penasihat kepada CEO sehingga Jun 2025.
Pada 2015, Cik Lilian dinamakan sebagai CEO segmen insurans Prudential di Asia dan berperanan menyelia perniagaan insurans hayat dan prestasi operasi syarikat itu di seluruh rantau ini.
Beliau menyertai jawatankuasa eksekutif kumpulan Prudential pada Julai 2022 dan bertanggungjawab mengurus perniagaan Prudential di Greater China, selain melakar strategi pelanggan dan pengedaran syarikat itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg