Saya belajar bidang pelancongan dan hospitaliti, dan merancang menyertai industri setelah lulus nanti. Namun, dengan keadaan sekarang, apakah yang harus saya lakukan? Haruskah saya menyelesaikan pengajian saya atau bertukar bidang?

Usah biarkan keadaan sekarang menjejas rancangan dan bidang pengajian anda. Meskipun bagaimana keadaan Covid-19 ini bakal berkembang dan kesannya kepada industri tidak dapat diramalkan, apa yang anda pelajari di sekolah akan mempersiapkan diri anda apabila anda mula bekerja kelak. Dalam anda memulakan perjalanan kerjaya anda, kecekapan, pengetahuan dan kemahiran perhubungan yang anda pelajari pasti berguna untuk membangunkan kerjaya anda.

Cuba berbincang dengan penasihat kerjaya di sekolah anda jika anda masih ragu-ragu atau berbincang dengan Duta Kerjaya di salah sebuah pusat Careers Connect WSG di Paya Lebar, Tampines atau Woodlands. Maklumat lanjut di www.wsg.gov.sg/career-services

Sedang industri kini terjejas teruk ekoran penularan Covid-19, ia tidak seharusnya menjejas secara drastik rancangan anda kerana saya pasti kita akan dapat mengatasi masa sukar ini. Mungkin, anda mahu mempertimbangkan untuk mendapatkan pengkhususan dalam bidang-bidang tertentu dalam industri dan mendapatkan kemahiran serta pengalaman menerusi program kerja sambil belajar dalam bidang tersebut untuk memberi anda kelebihan apabila tamat pengajian kelak.

Saya telah memandu teksi/Grab buat lebih sedekad. Sebelum itu, saya bekerja sebagai pekerja penghantaran. Saya mahu meningkatkan diri tetapi penguasaan bahasa Inggeris saya lemah kerana saya hanya berkelulusan sekolah menengah. Saya sanggup mencuba apa saja. Apakah kursus atau industri yang sesuai bagi saya?

Sebagai permulaan, anda boleh mempertimbangkan untuk menyertai kursus Program Literasi Tempat Kerja (Workplace Literacy) untuk memperbaiki keupayaan anda berbahasa Inggeris. Sedang anda memikirkan pilihan anda, fikirkan mengenai bidang yang anda minati dan kemahiran yang anda miliki yang boleh anda manfaatkan dalam pekerjaan yang sedang dipertimbangkan.

Anda juga boleh berkunjung ke Pusat Kerjaya dan Kemahiran SGUnited di salah sebuah daripada 24 lokasi Kelab Masyarakat untuk berbincang dengan Duta Kerjaya kami bagi mendapatkan nasihat. Dapatkan maklumat mengenai lokasi pusat-pusat ini di www.wsg.gov.sg/career-services

Haruskah saya menukar pekerjaan sedangkan ekonomi masih dalam kemelesetan?

Sebelum bertukar industri, sebaiknya ialah bagi anda memastikan mengapa anda mahu bertukar kerjaya. Cuba lihat jika ada peluang untuk anda melakukan peranan baru dalam syarikat yang sama, contohnya bertukar jabatan dalam syarikat yang dapat memenuhi aspirasi kerjaya anda.

Jika tidak ada peluang sesuai dalam syarikat, kenal pasti sektor dan peranan yang ingin anda ceburi yang sepadan dengan nilai kerjaya, minat, keperibadian dan kemahiran anda.

Sedang Covid-19 telah menjejas sesetengah industri secara negatif, ia juga telah membuka peluang dan mempercepat perkembangan dalam industri seperti e-Dagang, Pengilangan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Perkhidmatan Kesihatan dan Sosial serta perkhidmatan Kewangan.

Lakukan penyelidikan mengenai sektor berkenaan dan berbincang dengan rakan-rakan atau kenalan yang bekerja dalam sektor tersebut untuk memahami dengan lebih baik mengenai pekerjaan dan budaya sektor itu. Jika sektor dan peranan itu adalah sesuatu yang baru bagi diri anda, bersiap secara mental untuk penyesuaian gaji.

Saya baca mengenai keluhan lulusan yang mengatakan peluang di bawah Program Pelatih SGUnited tidak sesuai bagi kami. Apakah program alternatif bagi lulusan seperti saya?

Program Pelatih SGUnited menyediakan latihan bagi lulusan yang mengalami cabaran untuk mendapatkan pekerjaan sepenuh masa. Dengan menyertai program pelatih ini, anda akan dapat meraih kemahiran industri yang relevan dan membangunkan rangkaian profesional anda, sekali gus memperkukuh peluang anda mendapatkan pekerjaan. Kami menggalak para lulusan agar tidak mensia-siakan peluang menerusi program pelatih ini dan melihatnya sebagai batu loncatan kepada pekerjaan. Terdapat pelbagai peranan meliputi pelbagai industri yang tersedia untuk para lulusan.

Anda juga boleh meneroka peluang-peluang lain dan mencari perkerjaan yang sesuai menerusi MyCareersFuture dengan melakukan pencarian peranan dengan menggunakan #SGUnitedJobs. Untuk bantuan kerjaya, anda boleh mengunjungi pusat Careers Connest WSG.

Kededua anak saya di sekolah menengah dan maktab rendah. Naratif yang saya dengar sejak beberapa bulan lalu ialah perniagaan dan pekerjaan akan berubah buat selama-lamanya. Apakah nasihat yang boleh saya berikan kepada anak-anak? Apakah bidang pengajian yang harus mereka ikuti dan apa pula yang perlu dielak?

Tiada pendidikan yang dapat mempersiapkan pelajar 100 peratus untuk alam pekerjaan. Apa yang mereka pelajari di sekolah membangunkan keupayaan kognitif mereka untuk terus menimba ilmu. Ini bermakna, anak-anak anda meninggalkan sekolah dengan pengetahuan, kemahiran dan lebih penting lagi keupayaan untuk menyesuaikan diri dan kebolehan untuk berkembang.

Adalah mustahil untuk meramalkan apa yang akan berlaku pada masa depan, justeru saya menggalak anda agar membantu anak-anak untuk memikirkan apa yang penting bagi mereka, apakah minat dan nilai mereka dan kemudian meneroka peranan pekerjaan atau industri yang sepadan dengan keupayaan dan kecenderungan mereka.

Dengan melakukan penilaian sendiri ini, ia akan memberi mereka titik permulaan untuk memikirkan dan membuat keputusan mengenai kerjaya mereka.

Untuk mendapatkan gambaran mengenai peluang yang tersedia, mereka boleh melakukan penyelidikan mengenai maklumat dan trend pasaran pekerjaan serta berbincang dengan Kaunselor Pendidikan dan Kerjaya di sekolah mereka untuk mendapatkan nasihat.