Kita semua tahu adalah bijak dan wajar untuk mengatur kewangan kita sebelum kita bersara. Tetapi pada hakikatnya, ramai yang berlengah-lengah dalam perkara ini.
Tinjauan yang dijalankan oleh Pusat Kajian mengenai Penuaan yang berjaya (Rosa), Universiti Pengurusan Singapura, (SMU), melibatkan 6,430 rakyat Singapura berusia antara 53 dengan 78 tahun pada Januari 2023, mendapati hanya satu pertiga daripada rakyat Singapura menilai kesediaan persaraan mereka sebagai baik, manakala 27 peratus lagi tidak mempunyai rancangan persaraan.
Adalah berbaloi untuk merancang dan menabung bagi persaraan awal, supaya kita dapat mengelakkan apa yang dikenali sebagai kemiskinan hari tua, tidak terjamin dari segi kewangan dan tidak dapat mengekalkan kualiti hidup yang baik pada hari tua kelak.
Jika anda belum mula memikirkan tentang persaraan, dan ingin mengambil langkah pertama, anda boleh mulakan dengan mengikuti senarai semak mudah ini.
Pertama, adalah penting untuk memahami cara memperuntukkan pendapatan bulanan anda. Terdapat dua kategori perbelanjaan yang perlu diambil kira.
Kategori pertama, perbelanjaan melibatkan keperluan seperti makanan, perumahan, pengangkutan, utiliti dan penjagaan kesihatan.
Kedua, perbelanjaan mengikut budi bicara anda – fikirkan perjalanan, hobi dan aktiviti lain yang ingin anda lakukan selepas bersara.
Sebaik sahaja anda telah menganggarkan jumlah perbelanjaan, anda perlu fikirkan berapa banyak yang anda perlu simpan dan berapa banyak yang perlu ketepikan untuk pelarasan pada sebarang perbelanjaan jika perlu.
Inflasi juga merupakan faktor yang lazimnya diabaikan. Ia perlu anda ambil kira dalam pengiraan anda kerana ia secara halus boleh menghakis simpanan seseorang dengan mengurangkan kuasa beli kita.
Selain daripada menerima pembayaran melalui CPF LIFE, pelan anuiti persendirian dan pelan insurans, anda juga harus mempertimbangkan bagaimana anda boleh menjana pendapatan pasif daripada portfolio pelaburan.
Portfolio ini sepatutnya terdiri daripada pelbagai aset seperti saham, bon, hartanah dan – jika anda memenuhi kriteria untuk menjadi pelabur bertauliah – aset pasaran alternatif dan swasta.
Adalah penting untuk mempelbagaikan portfolio anda untuk mengurus risiko dan menyemak peruntukan serta prestasi secara kerap.
Ini bagi membolehkan anda meneliti sama ada pengimbangan semula diperlukan untuk mengikuti pergerakan pasaran atau menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan dalam situasi dan matlamat kewangan anda.
CPF LIFE ialah skim anuiti insurans hayat yang menyediakan pembayaran bulanan sepanjang hayat untuk warga Singapura dan pemastautin tetap, bermula pada usia 65 tahun.
Jumlah pembayaran bulanan bergantung kepada berapa banyak yang anda ada dalam Akaun Persaraan (RA) Tabung Simpanan Pekerja (CPF) anda dan pelan CPF LIFE yang anda pilih.
Tidak kurang yang menyewakan rumah mereka untuk meraih wang tunai tambahan selepas bersara, tetapi ambil perhatian bahawa anda perlu membayar cukai ke atas pendapatan sewa yang diperoleh.
Kita harus sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan keadaan yang tidak dapat dijangka seperti kematian atau penyakit kritikal.
Adalah lebih baik untuk membeli pelan insurans hayat, insurans pendapatan hilang upaya atau pelan insurans penyakit kritikal bagi menyediakan keluarga anda dengan jaminan kewangan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diduga.
Memandangkan kos penjagaan kesihatan di Singapura telah meningkat sejak beberapa tahun, anda mungkin juga perlu mempertimbangkan untuk membeli perlindungan insurans swasta tambahan. Ini boleh melengkapkan MediShield Hayat yang merupakan pelan insurans kesihatan asas yang ditadbir oleh Lembaga CPF.
Akhir sekali, perancangan warisan penting jika anda ingin mewariskan aset anda kepada orang tersayang selepas kematian anda.
Ini melibatkan cara memelihara kekayaan anda dan cara menyampaikannya kepada orang yang anda sayangi.
Anda mungkin mahu mula memikirkan tentang keputusan penting seperti siapa yang akan dilantik sebagai pelaksana Surat Kuasa Berkekalan (LPA) anda, siapa yang akan dicalonkan bagi menerima baki CPF anda, cara keseluruhan aset anda akan diagihkan dalam kalangan penerima yang anda pilih, dan keutamaan anda untuk rawatan perubatan jika kesihatan anda sendiri merosot.
Pastikan wasiat anda dikemas kini dengan arahan yang jelas dan dokumen anda boleh diakses sekiranya berlaku kecemasan.
Terdapat banyak perkara yang perlu dipertimbangkan semasa merancang untuk persaraan, jadi mengikut senarai semak boleh membantu memastikan anda berada di landasan yang betul.
Sebaik sahaja anda telah menentukan jumlah sumber yang anda perlukan untuk menikmati tahun keemasan anda, anda boleh memastikan bahawa rancangan kewangan anda sejajar dengan matlamat anda bagi membantu memberikan ketenangan fikiran dan secara beransur-ansur membina “sarang telur” yang mencukupi untuk diri anda.
Penulis ialah Pengarah Penyelidikan Pelaburan, Endowus.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg