Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rangkaian kafe Spinelli henti operasi di S’pura jelang akhir 2023

Nov 30, 2023 | 12:42 PM
TUTUP KEDAI: Spinelli dilaporkan mengalami kerugian sepanjang 2018 hingga 2022.
TUTUP KEDAI: Spinelli dilaporkan mengalami kerugian sepanjang 2018 hingga 2022. - Foto ST

Rangkaian kafe Spinelli akan ditutup baki enam cawangannya pada akhir 2023, menurut laporan pada 29 November.

Dua cawangan di kampus Universiti Nasional Singapura (NUS) akan berhenti beroperasi pada 15 Disember sementara cawangan di Changi Business Park dan One Raffles pula difahamkan akan tutup tidak lama lagi.

Laman web Spinelli menunjukkan baki dua cawangannya adalah di International Business Park dan di bangunan Singtel di Pickering Street.

Jenama anak syarikatnya – A Spinelli Joint – telah menutup semua cawangannya di Singapura, termasuk di Aperima Mall, Galaxis, MYP Centre dan Ocean Financial Centre, lapor The Business Times (BT).

Satu cawangan dengan jenama Brewing Kakis, yang menyediakan kopi tempatan, mempunyai cawangan di Standard Chartered Bank di Changi Business Park Crescent, menurut laman web Spinelli.

Spinelli mengalami kerugian sepanjang 2018 hingga 2022, menurut rekod yang dilihat BT.

Namun, syarikat itu mengecilkan kerugian pada 2022, dengan mencatat pendapatan $1.8 juta, berbanding dengan kerugian $1.6 juta dalam tahun kewangan sebelumnya.

Syarikat itu mencatat kerugian bersih $839,638 pada 2022, kurang daripada kerugian $1 juta pada 2021.

Spinelli ditubuhkan di San Fransisco pada 1983 dan mula beroperasi di Singapura pada 1996 melalui satu perjanjian francais utama bersama YTC Corporation, sebuah syarikat yang memiliki rangkaian hotel di sini dan di Indonesia.

Jurucakap Spinelli enggan memberikan komen apabila dihubungi The Straits Times (ST) pada 29 November manakala YTC tidak memberi respons bagi pertanyaan sehingga waktu akhbar diterbitkan.

Pada Oktober, sebuah rangkaian kafe, Flash Coffee, menutup kesemua 11 cawangannya di Singapura secara mendadak.

Syarikat itu mengemukakan notis pada 12 Oktober bahawa ia tidak dapat meneruskan perniagaannya disebabkan liabiliti.

Ia mengemukakan permohonan penutupan sukarela dan diletakkan di bawah pembubaran sementara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg