Saham Second Chance naik 39.5% selepas tawaran jadi milik persendirian
Saham Second Chance naik 39.5% selepas tawaran jadi milik persendirian
Saham Second Chance Properties meningkat 39.5 peratus semasa sesi pembukaan pada 11 Julai selepas pelabur menerima berita tentang usaha pengasasnya untuk menjadikan syarikat itu milik persendirian.
Pada 10 Julai, Encik Salleh Marican, pengasas dan ketua eksekutif Second Chance, dan keluarganya membuat tawaran tanpa syarat secara sukarela sebanyak $0.30 sesaham secara tunai untuk menjadikan kumpulan itu milik persendirian atau diswastakan, lapor The Business Times.
Syarikat itu mempunyai modal saham sudah ditawarkan dan berbayar bernilai kira-kira $174.7 juta, terdiri daripada 927.8 juta saham.
Encik Salleh dan keluarganya memiliki sekitar 789.2 juta saham Second Chance, mewakili sekitar 85.06 peratus daripada jumlah saham yang diterbitkan.
Harga tawaran $0.30 sesaham adalah sekitar 39.5 peratus lebih tinggi berbanding harga dagangan terakhir Second Chance sebanyak $0.215 pada 9 Julai, hari dagangan penuh terakhir sebelum pengumuman tawaran itu.
Ia juga merupakan potongan 0.5 peratus kepada nilai aset bersih sesaham kumpulan sebanyak $0.3016 pada akhir Februari.
Harga tawaran itu juga adalah kira-kira 40.8 peratus, 37 peratus, 33.3 peratus dan 28.2 peratus lebih tinggi berbanding harga purata satu bulan, tiga bulan, enam bulan dan 12 bulan, sehingga dan termasuk tarikh dagangan terakhir.
Encik Salleh dan keluarganya berkata mereka berhasrat untuk terus membangun dan mengembangkan perniagaan sedia ada.
Mereka menambah bahawa tawaran itu memberikan pemegang saham “peluang keluar tunai bersih” untuk mencapai pelaburan mereka pada harga premium tanpa menanggung kos pembrokeran dan dagangan lain.
Sebab lain termasuk kecairan dagangan yang rendah bagi saham Second Chance, dengan purata jumlah dagangan harian mewakili kurang daripada 0.01 peratus daripada jumlah saham terbitan pada 10 Julai.
Selain itu, syarikat tersebut telah menanggung kos yang berkaitan dengan mengekalkan status penyenaraiannya, yang boleh dielakkan jika dinyahsenarai.
Second Chance telah disenaraikan di papan utama Bursa Singapura (SGX) pada 2004, dan perniagaan terasnya termasuk pelaburan hartanah, peruncitan pakaian dan barang kemas serta pelaburan dalam instrumen kewangan.
Syarikat itu memohon pemberhentian dagangan pada 10 Julai – sekali sebelum pasaran dibuka dan satu lagi selepas ia membuat pengumuman tersebut.

